PENA WANITA

TINGKAT KESELAMATAN JALAN RAYA, KURANGKAN RISIKO KEMALANGAN MUSIM PERAYAAN

12/04/2024 09:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr. Nurrul Hafeezah Sahak dan Dr. Zuritah A. Kadir

Musim perayaan memberi peluang kepada individu untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan melalui amalan menziarahi.

Amalan ini membawa kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat, namun menyebabkan peningkatan trafik yang ketara dan aktiviti perjalanan lebih tinggi di jalan raya berbanding luar musim perayaan.

Oleh yang demikian, keadaan keselamatan jalan raya semasa musim perayaan sering kali menjadi perhatian utama kerana risiko pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan adalah lebih tinggi.

Kemalangan jalan raya berpunca sikap pemandu

Menurut statistik kemalangan jalan raya dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), 90 peratus kemalangan berlaku adalah berpunca dari sikap pemandu.

Sehubungan dengan ini, bersempena musim perayaan Aidilfitri yang akan bermula dalam masa kurang dari seminggu lagi, sikap pemandu yang berhemah merupakan salah satu usaha yang penting untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dan menjadikan perjalanan masa musim perayaan lebih selamat.

Bagi memastikan pengguna jalan raya tiba dengan selamat ke destinasi masing-masing, beberapa sikap yang baik untuk dicontohi pemandu boleh diamalkan sebelum dan semasa perjalanan. Memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan adalah amalan yang bijak.

Dengan melakukan pemeriksaan ini, individu boleh mengesan masalah kecil sebelum menjadi masalah besar yang akhirnya boleh menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku. Ini adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Pakai tali pinggan keledar

Sebelum memulakan perjalanan, setiap individu perlu memastikan pemakaian tali pinggang keledar.

Amalan ini sangat penting untuk menghalang pemandu dan penumpang daripada tercampak keluar dari kenderaan akibat brek mengejut.

Menurut kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, individu yang tidak memakai tali pinggang keledar adalah 30 kali lebih cenderung tercampak keluar dari kenderaan semasa kemalangan.

Selain itu, kajian ini merekodkan tiga daripada empat mangsa kemalangan maut akibat kecederaan serius yang dialami apabila tercampak keluar dari kereta.

Kenderaan dipandu laju lebih berbahaya

Kenderaan yang bergerak pada kelajuan yang lebih rendah mengalami kesan kemalangan yang lebih ringan berbanding pada kelajuan yang tinggi. Menurut kajian, impak kemalangan pemanduan yang laju diibaratkan seperti jatuh dari bangunan tinggi.

Realitinya, pemandu tidak melihat kelajuan berbahaya. Contohnya, setiap individu memahami jatuh dari ketinggian adalah sangat merbahaya, namun mereka tidak menganggap pemanduan pada 90 kilometer sejam adalah bahaya kerana kurang pengetahuan tentang impak kemalangan pada kelajuan tinggi.

Bertanggungjawab kepada diri sendiri

Bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan keselamatan orang lain di jalan raya amat penting.

Contohnya penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Perbuatan ini mampu mengurangkan keupayaan pemandu untuk menumpukan perhatian kepada tugas pemanduan.

Ia boleh menyebabkan penurunan prestasi pemanduan seperti peningkatan masa tindak balas serta kegagalan untuk mengelakkan kemalangan. Akibatnya, tindakan ini membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Merancang perjalanan jauh semasa musim perayaan adalah penting untuk mengelakkan keletihan dan mengantuk semasa memandu. Ini termasuklah waktu berhenti, tempat berhenti dan jarak perjalanan yang sesuai.

Disarankan pemandu berhenti berehat dan menghirup udara segar setiap dua jam perjalanan untuk merehatkan mental. Selain itu, minum air secara kerap boleh mengelakkan keletihan akibat dehidrasi. Pemandu juga digalakkan untuk memeriksa keadaan jalan, cuaca dan keadaan trafik sebagai sebahagian daripada perancangan perjalanan ke destinasi.

Jangan jadi sebahagian daripada statistik kemalangan !

Kesimpulannya, dengan memahami faktor-faktor kemalangan dan mengambil langkah berjaga-jaga yang bersesuaian, persekitaran yang lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya dapat dicapai.

Diharapkan kita tidak tergolong dalam individu yang menyumbang kepada statistik kemalangan jalan raya. Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan yang berhemah untuk keselamatan semua pengguna jalan raya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

--BERNAMA

Dr Nurrul Hafeezah Sahak dan Dr Zuritah A. Kadir ialah daripada Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)