TINTA MINDA

‘LADANG TENAGA’ DI JALAN RAYA

29/09/2023 09:35 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ts. Dr. Salmia Beddu

Pernahkah terfikir sekiranya kita dapat menghidupkan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan sumber alam semulajadi? Bukan menggunakan tenaga elektrik sedia ada, tetapi tenaga boleh diperbaharui yang lestari? Bayangkan satu senario tenaga yang menghidupkan peralatan rumah dihasilkan daripada jalan raya berhampiran. Selain itu, bayangkan sekiranya lampu jalan dan lampu isyarat juga dapat dihidupkan oleh sumber tenaga yang sama. Mungkinkah ini menjadi kenyataan?

Malaysia merupakan sebuah negara beriklim tropika yang terletak di Asia yang panas dan lembap sepanjang tahun. Terletak berhampiran garisan khatulistiwa, Malaysia mempunyai julat suhu sekitar 21 darjah Celsius hingga 35 darjah Celsius. Tambahan pula, turapan asfalt yang biasanya digunakan untuk membuat jalan raya, berkemampuan untuk menyerap haba yang tinggi sehingga 70 darjah Celsius, terutamanya semasa cuaca panas.

Tidak seperti sel tenaga suria yang terdapat pada hari ini, haba yang terperangkap di dalam turapan asfalt mampu bertahan dan mengekalkan tenaga yang telah diserap walaupun matahari sudah terbenam. Mengambil kira kemampuan penyerapan haba yang tinggi serta banyak digunakan di kawasan parkir kereta dan jalan tar, penjanaan tenaga haba daripada turapan asfalt menggunakan medium pengumpul suria mampu menjanjikan potensi yang baik.

Teknologi jalan raya suria

Menurut Statistik Jalan Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), jalan persekutuan adalah sepanjang 20,017.97 km (12,438.59 batu), jalan negeri 247,027.61 km (153,495.84 batu), menjadikan jumlah keseluruhan jarak adalah 290,099.38 km (180,259.40 batu). Angka-angka ini tidak termasuk jalan-jalan tempatan dan kawasan perkampungan yang berada di bawah kuasa kerajaan tempatan. Dengan jaringan jalan raya yang luas serta cuaca panas di Malaysia, ia mampu memanfaatkan tenaga suria sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Jalan raya suria merupakan teknologi yang sedang dibangunkan bagi menjana kuasa tenaga elektrik terhadap infrastruktur kemudahan dan pengangkutan. Ia dijangka menawarkan penyelesaian berkesan bagi mengurangkan kesan pulau haba dan pencemaran alam sekitar, pada dasarnya mengubah turapan menjadi ‘ladang tenaga’ baharu.

Alternatif kos efektif untuk sumber tenaga boleh diperbaharui adalah sejajar dengan prinsip kemampanan, terdiri daripada tiga teras: ekonomi, sosial dan alam sekitar. Bersempena dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi bagi mempercepatkan usaha peralihan tenaga negara yang telah dilancarkan pada 27 Julai lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tenaga Nasional Berhad (TNB), merupakan sebuah syarikat pengagihan tenaga di Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan penghasilan karbon serta menggalakkan kelestarian alam sekitar. Pada peringkat global pula, UNESCO telah memperkenalkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi mendorong kepada kemakmuran serta melindungi planet. Matlamat ini menekankan pembasmian kemiskinan mesti digabungkan dengan pelbagai strategi pertumbuhan ekonomi, memenuhi keperluan sosial seperti pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan peluang pekerjaan disamping menangani perubahan iklim serta perlindungan terhadap alam sekitar.

Beberapa negara lain termasuk China, Perancis dan Netherlands telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam membangunkan jalan raya suria. Pada sekitar 2017, China telah memasang sepanjang satu kilometer di Jinan, iaitu bandar utama daerah Shandong, berkeluasan 5,875-meter persegi. Lebuh raya suria ini mampu menghasilkan sehingga 1GWh elektrik setahun, cukup untuk membekalkan tenaga untuk 800 buah rumah.

Kerajaan China merancang untuk menggunakan elektrik bagi menyalakan lampu jalan, papan iklan, kamera CCTV, serta memanaskan permukaan jalan untuk mencairkan salji. Dalam tempoh 14 minggu pertama pengoperasian, jalan raya menghasilkan 96MW tenaga. Di negara lain seperti Perancis telah membuka jalan raya suria sepanjang satu kilometer di Normandy. Jalan raya suria sel fotovoltaik berkeluasan 2,800-meter persegi telah dibina oleh Colas, iaitu syarikat pembinaan Inggeris-Perancis yang terkemuka. Dianggarkan tenaga elektrik yang terhasil mencukupi untuk menyalakan lampu jalan berdekatan, iaitu rumah kepada 3,400 orang penduduk.

Belanda telah memperkenalkan laluan basikal penuaian tenaga diturap dengan panel suria bersalut kaca. Selepas setahun, laluan basikal panel suria SolaRoad telah menjana 70kWj bagi setiap meter persegi, melangkaui jangkaan serta membekalkan tenaga yang cukup untuk anggaran tiga buah rumah.

Secara keseluruhannya, aplikasi penjanaan tenaga daripada jalan raya suria ini menjanjikan banyak potensi di dalam industri penjanaan tenaga baharu. Pihak berkepentingan seperti TNB, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), JKR serta institusi penyelidikan seperti UNITEN memainkan peranan penting bagi memastikan kejayaan visi ini.

-- BERNAMA

Ts. Dr Salmia Beddu ialah Pensyarah Kanan di Kolej Kejuruteraan, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)