TINTA MINDA

JANGAN KETEPIKAN PROSES PEMBELAJARAN DALAM TALIAN SEPENUHNYA

29/04/2024 09:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Walaupun terdapat beberapa kelemahan di dalam pelaksanaan proses pembelajaran dalam talian namun kita tidak seharusnya mengetepikan proses pembelajaran dalam talian sepenuhnya dari arus sistem pendidikan negara kita.

Proses pembelajaran dalam talian dapat menawarkan pilihan alternatif kepada proses pembelajaraan sedia ada. Proses pembelajaran dalam talian memiliki banyak kebaikannya khususnya kepada para pelajar.

Pembelajaran dalam talian kurangkan beban

Melalui proses pembelajaran dalam talian ini, para pelajar tidak perlu bersusah payah untuk bergerak ke sekolah setiap hari serta hadapi masalah serta kesukaran yang boleh menjejaskan tahap kesihatan serta keselamatan diri mereka.

Proses pembelajaran dalam talian ini juga dilihat dapat mengurangkan beban pelajar sekaligus memberi keselesaan pada pelajar untuk memberi tumpuan pada proses pembelajaran mereka.

Baru-baru ini negara kita telah didedahkan dengan isu atau masalah kepadatan jumlah pelajar di dalam kelas yang boleh menganggu tahap keselesaan pelajar dan ini ditambah lagi dengan keadaan cuaca panas dan kering yang sedang dihadapi oleh negara kita pada masa kini yang dibimbangi boleh menjejaskan tahap kesihatan dan keselamatan para pelajar.

Segala isu atau masalah berbangkit ini dapat diatasi melalui pelaksanaan proses pembelajaran dalam talian. Pada awal tahun 2023 yang lalu juga, negara kita telah dikejutkan dengan insiden beberapa orang murid yang sedang dalam perjalanan ke sekolah terjatuh ke dalam laut selepas jeti yang dilalui oleh mereka secara tiba-tiba roboh.

Banyak lagi insiden yang hampir sama yang turut dilaporkan beberapa tahun sebelumnya. Oleh itu, semua pihak harus memberi keutamaan dan fokus bagi melindungi tahap kesihatan dan keselamatan para pelajar dan ini dapat dilakukan melalui pelaksanaan proses pembelajaran dalam talian.

Jimatkan kos pelajar dan semua pihak

Perlu diketahui juga, selain daripada selamat, proses pembelajaran dalam talian dapat menjimatkan kos kewangan dan perbelanjaan semua pihak khususnya para pelajar.

Dengan melaksanakan proses pembelajaran dalam talian, para pelajar sekolah tidak perlu lagi membazirkan wang mereka untuk bergerak ke sekolah setiap hari dan pulang semula ke rumah mereka dengan menaiki kenderaan awam seperti bas atau van sekolah, membelanjakan wang mereka untuk membeli makanan di kantin atau di kedai-kedai makanan, membeli pakaian saragam baru, membeli bahan bacaan dan beg sekolah, dan pelbagai jenis perbelanjaan lagi.

Faedah yang sama juga dapat diperolehi oleh pelajar universiti. Bagi pelajar universiti, mereka juga tidak perlu lagi membazir wang mereka untuk menyewa rumah–rumah sewa berdekatan dengan universiti mereka, mereka juga tidak perlu lagi membazirkan wang mereka untuk menyewa atau membeli pelbagai jenis kenderaan semata–mata untuk ke dewan kuliah, dan mereka juga tidak perlu lagi membelanja wang mereka untuk membeli buku dan makanan harian.

Sekiranya aktiviti pembelajaran dilakukan secara dalam talian sama ada diperingkat sekolah ataupun diperingkat universiti, banyak proses penjimatan wang dapat dilakukan sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan dan perbelanjaan para pelajar.

Dalam talian lebih fleksibel, keselamatan lebih terjamin

Selain daripada itu, proses pembelajaran dalam talian ini boleh memberi banyak kemudahan kepada para pelajar untuk melakukan proses pembelajaran mereka secara fleksibel tanpa perlu bergerak ke banyak tempat seperti bergerak ke sekolah ataupun kampus universiti semata-mata untuk mendengar sesi pengajaran daripada guru ataupun pensyarah mereka.

Dengan kurangnya aktiviti bergerak secara fizikal ini ia dapat meringankan beban para pelajar itu sendiri didalam proses pembelajaran mereka. Tanpa banyak pergerakan, ia juga dapat menjamin aspek kesihatan dan keselamatan diri pelajar itu sendiri.

Pihak ibu bapa ataupun penjaga juga tidak perlu merasa risau terhadap tahap kesihatan dan keselamatan diri anak–anak mereka yang perlu bergerak ke sekolah ataupun ke kampus setiap hari.

Proses pembelajaran melalui dalam talian ini juga dapat mengurangkan pengunaan bahan-bahan seperti kertas kerana segala tugasan yang diberikan oleh guru ataupun pensyarah dapat dilaksanakan melalui alam maya ataupun secara online.

Ini dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar serta proses pembaziran kertas. Pada masa yang sama juga, para pelajar juga dapat didedahkan dengan pelbagai jenis aplikasi dan teknologi terkini yang sekaligus boleh mengasah bakat dan kemahiran mereka untuk hadapi dunia pekerjaan moden masa kini.

Laksana mengikut hari-hari tertentu

Sekiranya proses pembelajaran ini tidak sesuai dilakukan sepenuhnya setiap hari, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk melaksanakan proses pembelajaran secara dalam talian ini secara hibrid atau hari – hari tertentu setiap minggu.

Langkah mudah ini sudah pasti dapat menjamin tahap kesihatan dan keselamatan serta menjimatkan wang saku para pelajar.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam melaksanakan proses pembelajaran dalam talian ini seperti masalah kekurangan akses kepada internet serta ketiadaan kemudahan atau aplikasi bagi melakukan proses pembelajaran berkenaan namun ia tidak seharusnya dilihat dan dijadikan sebagai batu penghalang bagi terus melaksanakan proses pembelajaran dalam talian.

Pihak kerajaan terutamanya pihak kementerian – kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menyiasat segala rungutan yang diterima mereka daripada guru, pensyarah dan pelajar serta melakukan proses penambahbaikan bagi memastikan kaedah pembelajaran moden ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam negara kita buat selama–lamanya.

Proses pembentangan bajet negara pada masa–masa akan datang perlu memberi keutamaan khusus bagi menjayakan proses pembelajaran dalam talian ini di semua sekolah dan universiti dalam negara kita.

Peruntukan kewangan yang secukupnya perlu diberikan supaya setiap guru, pensyarah serta para pelajar disekolah dan universiti dapat menjayakan proses pembelajaran dalam talian ini buat selama-lamanya dan bukan hanya mengunakannya ketika kita sedang hadapi waktu kecemasan ataupun penularan wabak penyakit sahaja.

--BERNAMA

Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)