TINTA MINDA

PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT LAHIRKAN GENERASI BERDAYA SAING

13/09/2023 09:34 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Ts. Dr. Musli Mohammad

Pendidikan adalah kunci untuk membuka pelbagai peluang dan mencapai kejayaan dalam kehidupan. Namun, terdapat trend pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi. Keadaan ini boleh menyebabkan negara kekurangan tenaga kerja mahir dalam pasaran serta menurunkan produktiviti dan daya saing negara.

Menurut kajian Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 390,000 (72 peratus) pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Walaupun data berkenaan adalah pada tahun 2019, trend ini dijangka berterusan dari tahun ke tahun. Selain itu, terdapat juga individu yang terus bekerja selepas tamat peperiksaan SPM dan diploma, tetapi tiada kelayakan akademik mencukupi untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi. Satu daripada alternatif untuk mengangani isu ini adalah menerusi Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Bengkel PSH Malaysia 2021

Berdasarkan hasil bengkel PSH Malaysia 2021, ia diklasifikasikan sebagai satu proses pembelajaran menyeluruh dan berterusan, merangkumi semua bentuk aktiviti pembelajaran untuk semua peringkat umur dan latar belakang sosio-ekonomi bagi memenuhi keperluan pembelajaran yang dilaksanakan dengan pelbagai kaedah. PSH meliputi pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal sebagai bentuk pembelajaran yang saling melengkapi.

Pembelajaran formal melibatkan kurikulum berstruktur dan persekitaran pembelajaran formal (seperti di universiti, politeknik dan kolej) serta menghasilkan pengiktirafan formal (diiktiraf badan kelayakan atau melibatkan akreditasi) seperti diploma dan ijazah. Pembelajaran bukan formal pula melibatkan kurikulum berstruktur dan boleh dijalankan di luar persekitaran pembelajaran formal seperti menghadiri latihan, seminar dan persidangan. Sementara itu, pembelajaran bukan formal pula berlaku dalam kehidupan seharian dan di luar persekitaran pembelajaran formal seperti dalam komuniti dan tempat kerja.

Dalam usaha untuk mempromosikan dan mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia, terdapat pelbagai inisiatif penting yang telah dilaksanakan. Satu daripadanya adalah inisiatif Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu atau Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL). Inisiatif APEL ini dipelopori dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency (MQA). APEL merupakan satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. Penilaian APEL mengambil kira pembelajaran formal, pembelajaran bukan formal, dan pembelajaran tidak formal. APEL terbahagi kepada APEL.A, APEL.M, APEL.C, dan APEL.Q.

APEL A dan APEL M

APEL A dan APEL M boleh digunakan untuk tujuan melanjutkan pengajian akademik dalam bidang yang relevan dengan pembelajaran dan pengalaman terdahulu. APEL.A menyediakan laluan atau akses kemasukan alternatif kepada mereka yang memiliki pendidikan formal yang kurang mencukupi untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, APEL A memberi peluang untuk individu yang mempunyai diploma dan pengalaman kerja berkaitan untuk terus menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana, tanpa melalui pengajian sarjana muda.

Setelah berjaya memiliki ijazah sarjana, individu berkenaan boleh memohon jawatan yang lebih tinggi berbanding diploma dan boleh memperoleh gaji yang lebih baik. APEL M pula melibatkan pengumpulan kelayakan-micro (Micro-credentials). Individu yang telah mengumpul kredit melalui kelayakan mikro yang berkaitan dengan program akademik yang diakreditasi kini boleh memohon ke program pengajian tinggi melalui laluan APEL M, sekiranya mereka tidak memenuhi kelayakan kemasukan program akademik yang diperlukan.

APEL C dan APEL Q

APEL C dan APEL Q boleh mengurangkan masa dan kos untuk menamatkan pengajian akademik. APEL C memberi peluang untuk pindah kredit bagi kursus atau subjek dalam program akademik yang sedang diikuti. Sebagai contoh, seorang guru berpengalaman telah diterima masuk ke program Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional. Beliau boleh memohon untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus atau subjek ‘Pengajaran Mikro’ dalam program berkenaan berdasarkan pengalaman mengajar dan latihan relevan yang beliau pernah ikuti sebelum ini.

APEL Q pula membolehkan individu untuk mendapatkan kelayakan akademik bagi program yang dimohon. Sebagai contoh, seorang pemilik syarikat yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berpengalaman boleh memohon program Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) menerusi APEL Q. Beliau boleh memohon untuk mendapatkan kelayakan akademik bagi program berkenaan berdasarkan pengalaman pentadbiran perniagaan dan latihan yang beliau pernah ikuti sebelum ini berkaitan subjek-subjek yang ditawarkan seperti pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, etika perniagaan dan tadbir urus korporat, undang-undang perniagaan, pengurusan strategik, pemasaran dan pengurusan operasi.

Sesiapa yang berminat untuk menyambung pengajian akademik ke peringkat lebih tinggi boleh memohon dan membuat penilaian APEL di Pusat Penilaian APEL. Salah satu Pusat Penilaian APEL yang dilantik dan diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) adalah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). UTHM merupakan Pusat Penilaian APEL yang pertama yang mendapat kelulusan MQA dalam kalangan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia atau Malaysian Technical University Network (MTUN).

APEL menjadikan sistem pendidikan tinggi kita lebih fleksibel dan setanding negara maju yang rata-ratanya telah mengiktiraf pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu. Oleh itu, marilah kita bersama mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia. Jadikan pembelajaran sebagai gaya hidup. Teruslah belajar sepanjang hayat menerusi program akademik, latihan serta pembelajaran yang diperolehi melalui komuniti dan tempat kerja. Pendidikan adalah aset berharga dalam kehidupan manusia yang dapat memberi harapan dan masa depan yang cerah bagi rakyat Malaysia, terutama bagi mereka yang ingin terus berdaya saing dalam dunia yang serba mencabar ini.

--BERNAMA

Profesor Madya Ts. Dr Musli Mohammad ialah Pengarah, Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)