TINTA MINDA

CABARAN PSIKOLOGI REMAJA DI ASRAMA: MEMBINA KESEJAHTERAAN

09/02/2024 10:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Muhammad Hafizi Zamri

Zaman remaja merupakan peringkat kehidupan yang penuh dengan cabaran dan perubahan terutamanya bagi mereka yang menetap di asrama. Di sini, perkembangan psikologi remaja menjadi fokus penting memandangkan pelbagai faktor seperti perubahan emosi, perkembangan seksual dan keinginan untuk mencapai kemandirian yang semakin berkembang. Penting untuk menekankan bahawa perkembangan psikologi remaja di asrama tidak hanya menjadi tanggungjawab individu, tetapi juga melibatkan kerjasama aktif antara pakar kaunseling, pengurus asrama, dan pendidik. Dalam usaha menyokong perkembangan psikologi remaja di asrama, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian.

Perubahan emosi

Salah satu ciri utama remaja adalah perubahan emosi yang lebih stabil dan beragam. Ini mencipta keperluan untuk pemahaman dan pengurusan emosi yang efektif dalam kalangan remaja asrama. Pemikiran yang lebih abstrak, logik, dan idealistik juga perlu diperhatikan, dengan memberi penekanan kepada kemampuan remaja untuk menguji pemikiran diri sendiri dan orang lain. Pakar kaunseling di asrama dapat memainkan peranan penting dalam membimbing remaja merentasi perubahan ini dengan memberi mereka ruang untuk merungkai pemikiran mereka secara konstruktif.

Bagi remaja lelaki, perubahan hormonal yang berkaitan dengan kematangan seksual, termasuk perubahan akhil baligh, mungkin menjadi cabaran tambahan. Oleh itu, penyediaan pendidikan psikologi yang bersifat holistik perlu diutamakan untuk membantu remaja memahami dan mengelola perubahan tersebut dengan positif. Pendedahan kepada perkembangan psikologi mereka, baik dari segi emosional mahupun seksual, dapat membantu mengurangkan ketidakpastian dan kebingungan dalam kalangan remaja.

Hubungan interpersonal

Asrama sering menjadi arena untuk remaja mengenali dan mengekspresikan diri. Oleh itu, pembinaan hubungan interpersonal yang sihat dan berkelanjutan menjadi penting. Sistem Keluarga Asrama (SisKA) boleh diwujudkan sebagai satu bentuk sokongan, membantu remaja merasakan kehadiran komuniti yang memberi sokongan dan pemahaman. Kolaborasi dengan pengurus asrama dan pendidik adalah penting untuk memastikan persekitaran asrama menyokong perkembangan psikologi remaja.

Selain itu, pemantauan berterusan terhadap kesejahteraan psikologi remaja di asrama adalah kunci untuk menjejaki potensi masalah seperti perbuatan buli atau tekanan psikologi. Sesi kaunseling individu dan kelompok perlu disediakan untuk membantu remaja mengatasi masalah, mengelola emosi dan mengembangkan keterampilan sosial yang dapat membantu mereka di dalam dan di luar asrama.

Pakar kaunseling

Dalam menangani isu perbuatan buli dalam kalangan remaja asrama, peranan pakar kaunseling menjadi semakin kritikal. Terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk membantu remaja mengatasi perbuatan buli.

Pakar kaunseling perlu membina hubungan yang dipenuhi dengan kepercayaan. Mendengarkan remaja dengan penuh perhatian dan empati adalah langkah awal yang penting. Ini membolehkan mereka merasakan bahawa pengalaman mereka dihargai dan dapat membantu dalam proses pemulihan.

Menyediakan sokongan emosional kepada remaja yang mengalami perbuatan buli adalah kunci. Pakar kaunseling dapat membantu remaja membina kekuatan diri untuk mengatasi cabaran ini dan memberikan keyakinan bahawa mereka tidak sendiri.

Pendidikan adalah senjata utama dalam memerangi perbuatan buli. Pakar kaunseling boleh memberikan maklumat yang jelas dan mendalam tentang perbuatan buli, termasuk kesannya dan cara-cara untuk mengatasi atau melaporkannya. Ini boleh melibatkan sesi-sesi berkumpulan atau penerangan individu.

Mengembangkan keterampilan sosial dan emosional

Membantu remaja mengembangkan keterampilan sosial dan emosional adalah langkah penting dalam memperkuat daya tahan mereka terhadap perbuatan buli. Dengan meningkatkan pemahaman emosi dan kemahiran komunikasi, remaja dapat mengatasi konflik dan membangun hubungan yang sihat dengan teman sebaya dengan lebih berkesan.

Dengan mengambil pendekatan holistik, pakar kaunseling di asrama dapat memainkan peranan kritikal dalam membina kesejahteraan psikologi remaja. Pendidikan, pemantauan berterusan dan kolaborasi adalah elemen penting yang dapat membentuk asrama menjadi tempat yang memenuhi keperluan psikologi remaja dengan cemerlang.

-- BERNAMA

Muhammad Hafizi Zamri ialah Pengetua Kolej Kediaman Jasmine UiTM Puncak Perdana.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)