TINTA MINDA

PENGURUSAN PASCABANJIR: PEMULIHAN PSIKOLOGI BANTU MANGSA TRAUMA

08/01/2024 05:08 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Madya Dr Haryati Shafii

Perubahan cuaca dunia mengakibatkan berlaku bencana alam termasuk kejadian banjir. Sebagai sebuah negara yang beriklim khatulistiwa, Malaysia tidak terkecuali daripada kemungkinan menghadapi bencana ini. Trend banjir kini jelas menunjukkan peningkatan pada skala yang besar dan berulang-ulang.

Faktor semula jadi seperti curahan hujan yang tinggi pada satu-satu masa, tiupan angin yang kencang serta faktor kelemahan pengurusan manusia dalam menangani banjir telah memberi implikasi yang besar kepada mangsa. Banjir, sifatnya boleh diramal dan ada kalanya berlaku di luar jangkaan. Banjir yang berlaku di luar jangkaan dan tidak menepati ramalan boleh memberi impak yang besar kepada manusia dan persekitaran.

Kemusnahan akibat banjir

Banjir yang berlaku pada skala yang besar biasanya akan mengakibatkan kemusnahan harta benda, kerosakan fasiliti, kematian haiwan ternakan, memusnahkan hasil pertanian, kecederaan dan kematian. Impak yang paling besar daripada bencana, umpamanya banjir besar adalah kehilangan nyawa dalam kalangan ahli keluarga.

Kemusnahan dan kehilangan ini akan memberi beban daripada segi psikologi kepada mangsa yang terlibat terutamanya dalam aspek emosi secara langsung kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

Banyak kajian dan penulisan sebelum ini menumpukan perhatian terhadap bencana banjir dan kesannya ke atas kewangan, ekonomi, infrastruktur dan kemusnahan persekitaran. Bahkan di Malaysia tumpuan terhadap kesan banjir secara fizikal yang melibatkan kemusnahan harta benda dan infrastruktur telah mendapat perhatian kerajaan dan orang ramai.

Pampasan, bantuan keperluan harian serta kewangan juga turut diberikan oleh individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kerajaan dan pihak swasta kepada mangsa terlibat. Namun, kajian dan penulisan mengenai pengurusan pascabanjir dengan memberi penumpuan terhadap impak psikologi masyarakat kurang diketengahkan.

Impak psikologi

Oleh yang demikian, perhatian dan fokus terhadap pengurusan pascabanjir melibatkan impak psikologi mangsa banjir perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan. Ini kerana kesan psikologi boleh mempengaruhi emosi mangsa kepada trauma sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Pengurusan pascabanjir wajar diberi perhatian iaitu menitikberatkan aspek keselamatan psikologi secara strategik, taktikal dan operasional yang harus menjadi teras kepada bantuan dan juga pengurusan kepada mangsa banjir.

Fenomena bencana banjir berlaku hampir setiap tahun dan hampir seluruh negeri di Malaysia mengalaminya termasuk di Sabah dan Sarawak. Statistik menunjukkan mangsa banjir meningkat dari tahun ke tahun. Contohnya, banjir pada tahun 2014 mencatatkan sejarah paling buruk apabila Monsun Timur Laut yang melanda telah ‘menenggelamkan’ beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, dan Johor.

Banjir yang berlaku di Kelantan pada Disember 2023 merupakan paling buruk berbanding tahun sebelumnya iaitu mangsa sekitar 23,000 orang. Beberapa buah kampung yang berada di daerah Rantau Panjang telah ditenggelami air yang diibaratkan seperti “laut” kerana terletak antara dua benteng iaitu benteng di sebelah Thailand dan Pasir Mas. Kampung-kampung dan taman perumahan sekitar ditenggelami banjir. Keadaan ini benar-benar membangkitkan kemarahan penduduk kerana mereka berpandangan banjir besar ini disumbangkan oleh kelemahan dan kegagalan pengoperasian benteng banjir.

Kesan psikologi

Emosi seperti tertekan, kecewa, marah, takut dan sedih merupakan perasaan dalaman yang boleh mempengaruhi psikologi seseorang secara keseluruhan. Apatah lagi mangsa yang terlibat terdiri daripada pelbagai peringkat umur iaitu daripada bayi sehinggalah golongan warga emas.

Emosi yang tidak stabil boleh memberi gangguan terhadap mental mangsa. Mereka mungkin akan mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan yang serius, kemurungan dan mungkin juga boleh membawa kepada tahap yang tidak dapat dikawal seperti membunuh diri. Apabila keadaan ini tidak dikawal dan diuruskan dengan baik, ia akan memberi kesan terhadap kualiti hidup mangsa banjir secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, adalah wajar pihak kerajaan memberi tumpuan khusus terhadap pengurusan pasca banjir iaitu impak psikologi terhadap mangsa terlibat. Pengurusan yang komprehensif wajar dirancang dan diperhalusi selain menyediakan sistem yang memantau data penduduk berisiko dan berkeperluan. Penglibatan ketua kampung, penghulu dan wakil penduduk sangat penting dalam membekalkan data jumlah penduduk yang terkesan di kawasan mereka. Data ini sangat penting dan membantu bukan sahaja semasa operasi menyelamatkan mangsa ketika banjir, tetapi juga mampu membantu pihak berkuasa dalam menyediakan bantuan kaunseling kepada golongan yang terlibat.

Kerjasama semua pihak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam mengurus dan mengatasi isu kesihatan awam. Pihak yang terlibat merangkumi agensi-agensi seperti pengurusan kolej, universiti, kaunselor, agensi kerajaan seperti Bahagian Pendidikan Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia), agensi swasta dan agensi lain yang berkaitan bersama-sama membantu merancang dan merangka program-program bersifat pencegahan dan kesedaran, pendidikan kesihatan dan intervensi bagi memperkukuh strategi daya tindak dan daya tahan dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir.

Agensi kerajaan, swasta serta kaunselor yang mempunyai kepakaran dalam aspek ini wajar dilibatkan dalam pengurusan pasca banjir supaya mangsa banjir dapat pulih dengan cepat. Mereka bukan sahaja perlu dibantu daripada segi kewangan/pampasan dan aspek pembersihan rumah, bahkan aspek emosi dan psikologi mereka juga perlu diberi perhatian supaya mereka cepat pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Justeru, diharapkan saranan ini dapat memberi kesedaran dan mendapat tindak balas yang positif daripada pihak berkaitan supaya kita dapat bersama-sama membantu mangsa banjir bagi meningkatkan kualiti hidup daripada aspek fizikal dan psikologi mereka pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Haryati Shafii ialah Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Penyelidik Utama, Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)