TINTA MINDA

ADVOKASI PERKHIDMATAN KAUNSELING SEMPENA BULAN KAUNSELING KEBANGSAAN 2023

07/09/2023 10:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Sadli Osman

Berdasarkan laporan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia, isu atau masalah kesihatan mental serta tekanan emosi rakyat Malaysia merupakan antara isu utama kesihatan awam terutamanya selepas pandemik COVID-19. Masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) iaitu inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkat daripada 44,061 panggilan pada tahun 2020 kepada 212,319 pada tahun 2021. Corak peningkatan panggilan yang mendadak dalam kalangan rakyat Malaysia ini agak membimbangkan kerana isu kesihatan mental boleh menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial seseorang individu.

Aksesibiliti perkhidmatan kaunseling

Perkhidmatan kaunseling sangat diperlukan di Malaysia untuk membantu menangani isu kesihatan mental dalam masyarakat dengan pemerkasaan aksesibiliti perkhidmatan kaunseling kepada seluruh rakyat Malaysia. Matlamat kerajaan adalah agar pelbagai lapisan mayarakat daripada pelbagai latar, tempat dan sosioekonomi berbeza mempunyai peluang serupa untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling di Malaysia. Pada masa ini, negara kita telah mempunyai seramai 11,400 orang kaunselor yang terlatih dan berdaftar bagi membantu menangani masalah kesihatan mental dan kesejahteraan diri.

Aksesibiliti perkhidmatan kaunseling di Malaysia dilihat mula meningkat sejajar dengan penawaran khidmat tele-kesihatan mental. Berdasarkan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelbagai kaedah perkhidmatan kaunseling dan fasiliti bantuan sosial telah ditubuhkan untuk membantu masyarakat awam dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental dan kesejahteraan diri. Antara fasiliti yang telah ditubuhkan dengan bantuan badan kerajaan dan pihak NGO adalah perkhidmatan kaunseling melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), PSB, Talian Kasih 15999, HEAL 15555, HelplineFamilyCare@LPPKN, The Befrienders KL dan sebagainya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menerajui perkhidmatan kaunseling dan bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan kaunseling di Malaysia melalui Lembaga Kaunselor (Malaysia). PSSS telah diwujudkan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Lembaga Kaunselor (Malaysia) menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada golongan sasar yang terdiri daripada warga emas, wanita, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan semua lapisan masyarakat. PSSS dibantu oleh Sukarelawan Kaunselor Berdaftar (SKB) juga dengan kerjasama agensi-agensi lain termasuk NGO telah dijadikan sebagai pusat rujukan setempat untuk mengemukakan sebarang aduan dan pertanyaan termasuklah perkhidmatan kaunseling secara bersemuka. PSSS menyediakan perkhidmatan psikososial melalui trak bergerak (mobile truck) yang telah diubah suai untuk membantu memperluaskan aksesibiliti perkhidmatan ini kepada masyarakat setempat di pelbagai zon di seluruh negara.

Perkhidmatan tele-kaunseling juga merupakan aksesibiliti yang sangat penting dalam memberikan akses perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat awam. KPWKM telah melancarkan perkhidmatan tele-kaunseling bebas tol iaitu Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam sehari selama 365 hari setahun bagi memudahkan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling pada bila-bila masa. Terdapat seramai 528 kaunselor di bawah Lembaga Kaunselor (Malaysia) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah terlibat untuk memberikan perkhidmatan ini.

Terbaru, perkhidmatan talian HEAL 15555 iaitu Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan telah dilancarkan yang menempatkan pakar-pakar Kesihatan Awam dan pegawai Psikologi Kaunseling dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Talian ini beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12 malam setiap hari. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut mengadakan perkhidmatan tele-bimbingan dan e-bimbingan HelplineFamilyCare@LPPKN melalui talian bebas tol 1-800-82-0300. Perkhidmatan ini dijalankan dari pukul 9 pagi ke 12 tengah hari dan bersambung dari pukul 2 petang sehingga 5 petang setiap hari kecuali hari Sabtu dan hari pelepasan am.

Natijahnya, aksesibiliti perkhidmatan kaunseling telah dilihat bertambah baik dari segi penyediaan perkhidmatan kaunseling, advokasi secara berterusan turut dilakukan melalui kempen dan aktiviti Bulan Kaunseling Kebangsaan yang disambut pada Oktober setiap tahun. Sambutan terhadap kaunseling juga dilihat semakin memuaskan lebih-lebih lagi meningkatnya pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kepentingan peranan kaunselor menghadapi isu kesihatan mental. Perkhidmatan kaunseling kini telah disediakan secara meluas sama ada secara bersemuka dan tele-kaunseling melalui pihak-pihak kerajaan, NGO dan swasta.

Tahun ini, sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2023 (BKK 2023) akan disambut di seluruh negara dengan tema sambutan pada kali ini iaitu “Minda Madani, Masyarakat Harmoni”. BKK 2023 akan disambut pada 9 Oktober 2023. Sambutan ini dijalankan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat awam akan kepentingan dan faedah perkhidmatan kaunseling dalam berhadapan isu kesihatan mental dan kesejahteraan kendiri. Kita tidak boleh menafikan terdapat persepsi skeptikal dan stereotaip yang menghalang individu daripada cuba mendapatkan perkhidmatan kaunseling. Rakyat Malaysia perlu melihat hal sebegini dengan mata dan minda yang terbuka bahawa isu kesihatan mental misalnya mampu menjadi bebanan perasaan yang perlu dibantu walaupun hakikatnya tidak dapat dilihat daripada mata kasar.

--BERNAMA

Sadli Osman ialah Pendaftar Lembaga Kaunselor

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)