TINTA MINDA

KELESTARIAN BANDARAYA DIRAJA KLANG

26/02/2024 10:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Fairus Muhamad Darus

Klang sebuah kota lama yang penuh warisan sejarah mengalami perkembangan pesat seiring peredaran masa. Kini perubahan status daripada 'pembandaran' kepada 'bandaraya' dengan nama baru Banda Raya DiRaja Klang akan terus membangun dan lestari selari dengan visinya "Klang Bandaraya DiRaja dan Warisan Yang Mampan".

Klang merupakan sebuah lokasi penting dalam pentadbiran di Selangor dan antara bandar tertua di negara ini. Lokasi geografinya strategi dengan Selat Melaka telah menjadikan titik tumpuan aktiviti perdagangan dan ekonomi di masa silam. Malahan catatan sejarah menyatakan asal usul nama Klang itu sendiri membawa maksud gudang bagi merujuk banyak bilangan gudang yang terdapat di bandar ini pada suatu ketika dahulu.

Ada juga menyatakan maksud Klang itu merujuk kepada terusan atau jalan air yang banyak bagi aktiviti perdagangan iaitu anak-anak sungai seperti Sungai Klang, Sungai Bertek, Sungai Pinang, Sungai Sementa, Sungai Kapar Indah, Sungai Agas, Sungai Kandis, Sungai Binjai, Sungai Kapar, Sungai Jati, Sungai Aur, Sungai Rasau dan Sungai Putus. Anak-anak sungai ini masih wujud dan namanya terus kekal sehingga ke hari ini.

Klang pernah dijadikan ibu Negeri Selangor pada tahun 1875 sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan kemudiaan ditukarkan lagi kepada Shah Alam pada tahun 1978. Di sini juga terdapat istana pemerintahan Sultan Selangor dikenali sebagai Istana Mahkota Puri yang dibina pada tahun 1905 ketika pemerintahan Sultan Selangor kelima Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Pada hari ini istana tersebut telah berubah wajah dan namanya dikenali sebagai Istana Alam Shah.

Bandar berdaya huni

Bermula sebagai Lembaga Kesihatan Klang pada tahun 1890 dan beberapa siri perubahan, organisasi ini terus berkembang maju hingga dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK) bermula Februari 2024. Kejayaan ini menjadikan ianya sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) keempat di Selangor berstatus bandar raya selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Bandar raya Diraja Klang merupakan bandar ketiga yang mempunyai populasi penduduk tertinggi di Selangor dengan jumlah 1,088,942 orang. Dengan jumlah populasi sebegini ini akan dapat memberi peluang kepada penduduknya untuk mengambil bahagian pembangunan ekonomi berdaya saing, membina interaksi sosial yang ceria dan selamat serta mewujudkan persekitaran fizikal berkualiti dan mampan.

Perubahan status menjadi sebuah bandar raya membolehkan MBDK untuk menjana kawangan mampan dan meningkatkan tahap perkhidmatan dalam tadbir urus guna tanah dan penggunaan sumber berkesan serta menyediakan infrastruktur asas berkualiti bagi menjadi bandaraya ini sebuah bandar sejahtera dan berdaya huni.

Tersenarai antara sepuluh bandar paling bahagia di negara ini melalui Program Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar Luar Bandar Malaysia (MURNInets) pada tahun lalu, jelas membuktikan tahap kesejahteraan dan kebahagiaan penduduk Klang. Program ini mengambil maklum balas penduduk berdasarkan beberapa kriteria seperti aspek kehidupan, kesihatan, hubungan kekeluargaan dan jiran, pengurusan kewangan, aktiviti komuniti dan keselamatan. Antara aspek lain yang turut terlibat dalam penilaian ini ialah penyediaan kemudahan masyarakat, perkhidmatan PBT, perkhidmatan wakil rakyat dan kualiti alam sekitar.

Bandar rendah karbon

Bandar Raya DiRaja Klang tidak terkecuali di dalam membantu menangani isu dan mengurangkan kesan perubahan iklim di negara ini. Usaha ini dilakukan bagi menjaya agenda negara untuk melaksanakan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia dan Garis Panduan untuk Bandar Rendah Karbon dan Berdaya Tahan Perubahan Iklim.

Pembangunan dan pelaksanaan sistem Green Earth Smart (GES) oleh MBDK merupakan satu inisiatif ke arah bandaraya pintar dan rendah karbon bagi mencapai keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Sistem dalam talian ini membantu mengukur, merekod, memantau dan menganalisis pelaksanaan segala usaha mengurangan kesan gas rumah hijau melalui pengurangan karbon dioksida dan gas lain. Usaha ini adalah selari dengan matlamat MBDK untuk menjadi bandar pertama di negara ini mendapat pengiktirafan bandar rendah karbon pada tahun 2027.

Di samping itu, usaha berterusan membina dan menaik taraf kemudahan awam seperti ruang hijau, tempat rekreasi dan menyediaan kemudahan pengangkutan awam yang berdekatan dengan kediaman akan membantu mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti hidup penduduk serta memberi faedah sosial dan keterangkuman antara individu dan komuniti di bandar raya Diraja Klang ini.

-- BERNAMA

Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)