PENA WANITA

TEKNOLOGI VISUALISASI UNTUK PENDIDIKAN

18/06/2021 09:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ts Dr Faridah Hanim Yahya

Dunia pendidikan kini mengalami perubahan yang mendadak akibat wabak COVID-19. Masyarakat di Malaysia turut terkesan dengan fenomena pandemik ini termasuk yang terlibat dengan pendidikan. Norma baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia kini menampakkan penggunaan tiga pendekatan pengajaran iaitu bersemuka, dalam talian (online) dan hibrid. Ketiga-tiga pendekatan ini memerlukan teknologi untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Ini termasuk kepentingan fungsi deria mata yang dikenali sebagai visualisasi. Gabungan teknologi dan visualisasi boleh membantu mencapai matlamat melahirkan insan berguna yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan sejajar dengan konteks pendidikan sekarang.

Visualisasi

Deria mata memainkan peranan yang penting kepada manusia untuk melihat dan memahami alam sekeliling. Mata amat penting untuk merekod, menafsir dan menyampaikan maklumat yang betul dan tepat. Manusia boleh menggunakan deria untuk tujuan berimaginasi dan membuat refleksi. Kanak-kanak yang digalakkan berimaginasi dan membuat refleksi lebih kreatif dan berkebolehan berfikir di luar kotak.

Istilah visualisasi dikaitkan dengan bagaimana deria mata digunakan untuk imaginasi dan refleksi. Visualisasi ditakrifkan sebagai sebagai infomasi dalam bentuk visual yang boleh dipamerkan dalam bentuk grafik (Padilla, Creem-Regehr, Hegarty & Stefanucci, 2018). Oleh itu, visualisasi adalah penting untuk penjanaan gambaran imej secara mental di minda.

Di sinilah peranan guru untuk melatih minda murid membayangkan sesuatu yang dipelajari secara mental dan seterusnya berupaya untuk berkomunikasi dengan baik tentang perkara baharu yang dipelajari. Dalam bidang psikologi pula, visualisasi adalah proses membuat gambar visual dalam fikiran seseorang atau secara mental melatih pergerakan yang dirancang untuk mempelajari kemahiran atau meningkatkan prestasi. Seseorang individu perlu berkebolehan untuk menggambarkan atau membayangkan sesuatu imej atau objek yang diinginkan. Teknik imaginasi ini akan mendorong seseorang untuk berusaha mencapai apa yang dihajati.

Ibu bapa, penjaga dan keluarga juga memainkan peranan untuk melatih kanak-kanak menvisualisasi sesuatu yang dilihat dengan mata. Langkah pertama yang perlu dilakukan ibu bapa ialah memastikan kanak-kanak dapat menafsir maklumat hasil daripada penglihatan dengan tepat. Ini boleh dipastikan melalui komunikasi kanak-kanak tentang objek yang dilihat dan ibu bapa akan menilai dan membetulkan tafsiran yang dibuat. Ibu bapa juga perlu melatih kanak-kanak membuat refleksi tentang kejayaan dan kegagalan kanak-kanak untuk mencapai ‘kejayaan yang diimpikan’.

Alam persekolahan

Proses visualisasi yang bermula di rumah ini diteruskan apabila kanak-kanak ini menjejaki alam persekolahan yang bermula dengan prasekolah. Guru memainkan peranan penting untuk menerapkan konsep visualisasi dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah. Antara langkah yang boleh dilakukan oleh guru ialah mengaitkan konsep yang diajar dengan kehidupan seharian murid supaya murid dapat menvisualisasi konsep tersebut dengan mudah. Sebagai contoh, guru matematik boleh kaitkan konsep ‘garis lurus yang selari’ dengan memperlihatkan imej dua lebuh raya di negara kita. Lebuh raya tersebut adalah sinonim dengan garis lurus yang selari kerana kedua-dua lebuh raya tersebut tidak akan bertembung atau bersilang. Guru boleh menyediakan imej atau video tentang lebuh raya yang menunjukkan konsep garis lurus yang selari semasa pengajarannya. Di samping itu, guru perlu menggunakan laras bahasa yang sama digunakan oleh murid, bukan laras bahasa yang tinggi. Sebagai contoh, untuk menerangkan konsep ‘kecerunan’, guru boleh gunakan istilah yang biasa dengan murid seperti ‘cerun’ atau ‘curam’.

Bagaimana pula untuk aktiviti kokurikulum? Sebagai contoh, acara hari sukan yang wajib dijalankan di setiap sekolah bermula prasekolah hingga ke sekolah menengah. Guru dan ibu bapa perlu mendorong kanak-kanak untuk membayangkan ‘pingat’ yang akan diperolehi untuk acara-acara sukan yang diwakili atau membayangkan mereka berada di atas ‘podium’ untuk menerima anugerah pingat.

Kanak-kanak berkeperluan khas

Bagaimana dengan kanak-kanak berkeperluan khas seperti autism, disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Sindrom Down? Sudah pasti visual bagi kanak-kanak berkeperluan khas adalah berbeza dengan kanak-kanak normal. Sebagai contoh, kanak-kanak disleksia mempunyai visual yang unik. Kanak-kanak disleksia sering dikaitkan dengan masalah sukar membaca. Mereka keliru dengan arah huruf atau nombor dalam keadaan terbalik kerana masalah “mirror image” (Pavey, Meehan & Davis, 2013; Peer & Reid, 2001). Contohnya, mereka keliru antara huruf ‘b’ dengan huruf ‘d’.

Manakala austime merupakan salah satu kategori bagi kanak-kanak keperluan khas yang sering dikaitkan dengan kecelaruan neurologikal iaitu saraf deria kanak-kanak tesebut (seperti pendengaran, penglihatan dan rasa) memproses maklumat secara berbeza berbanding kanak-kanak normal. Nama Mary Temple Grandin sudah tidak asing lagi bagi golongan autisme. Walaupun dia mengalami masalah austime yang teruk, namun beliau mempunyai keupayaan menvisualisasi objek-objek secara mental sehinggakan beliau boleh merancang matlamat masa hadapannya hasil daripada imaginasi tersebut. Falsafah hidupnya iaitu “Different but Not Less”, telah membuktikan sikap positifnya sehingga berjaya dan kini seorang profesor di salah sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Pembelajaran ketika COVID-19

Bagaimanakah sumbangan visualisasi ketika dunia dilanda wabak COVID-19? PdP menggunakan teknologi berasaskan web merupakan norma baharu bagi penduduk dunia termasuk Malaysia. Tanpa disedari, sudah lebih setahun kita menempuhnya dengan pelaksanaan PdP berasaskan web. Kerajaan telah memperkenalkan istilah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Ternyata kini majoriti murid berkebolehan menggunakan teknologi internet seperti Facebook, YouTube, Telegram, Instagram, Whatsapp, Google classroom dan Google Meet.

Maka, beberapa soalan timbul dalam pemikiran pendidik yang berkaitan dengan visualisasi seperti keupayaan pengguna internet untuk menganalisis maklumat yang banyak disalurkan dalam pelbagai format (teks, audio, video, animasi dan imej) secara maya. “Adakah murid boleh menvisualisasi maklumat yang disampaikan secara maya?”. “Bagaimanakah cara guru untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran berkonsepkan visualisasi secara berkesan?”. “Apakah teknik untuk melatih pelajar untuk menvisualisasi dengan baik?” “Apakah peranan ibu bapa untuk membantu proses visualisasi anak-anak mereka di rumah?”.

Menurut Mishra dan Koehler (2006), teknologi yang digunakan oleh guru boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk: teknologi standard (umum) dan teknologi digital. Teknologi standard ialah alat (tools) yang biasa digunakan oleh guru seperti papan putih, pen marker dan buku. Manakala teknologi digital ialah segala alat dalam format digital seperti komputer, smartboard dan internet. Teknologi yang digabungkan dengan visualisasi dikenali sebagai ‘Teknologi Visualisasi’. Teknologi visualisasi adalah teknologi yang menukarkan maklumat bukan visual kepada imej dua dimensi (2D) atau tiga dimensi (3D) dan bertujuan untuk menggambarkan fenomena tertentu (Selkirk, 2019). Dalam erti kata yang lain, teknologi visualisasi ialah sebarang bentuk teknologi (sama ada digital atau bukan digital) yang digunakan untuk membantu murid dalam pembelajaran.

Antara teknik visualisasi ialah peta konsep (concept map). Peta konsep ialah bahan ilustrasi berbentuk struktur seperti pokok yang mempunyai dahan/ ranting. Selain itu, guru boleh juga menggunakan peta minda (mind map) seperti peta pemikiran i-Think. Kementerian Pendidkan Malaysia telah menekankan penggunaan peta pemikiran i-Think di semua sekolah untuk semua mata pelajaran. Terdapat lapan jenis bahan ilustrasi menggunakan peta pemikiran i-Think iaitu peta bulatan (circle map), peta buih (bubble map), peta buih berganda (double bubble map), peta pokok (tree map), peta dakap (brace map), peta alir (flow map), peta pelbagai alir (multi flow map) dan peta titi (bridge map). Penggunaan peta konsep dan peta minda boleh membantu visualisasi dan boleh diaplikasi untuk semua mata pelajaran. Sebagai contoh, peta buih berganda amat sesuai digunakan untuk membanding dan membezakan sesuatu konsep.

Peta konsep dan peta minda boleh dihasilkan secara digital dan bukan digital. Untuk digital, pelbagai sumber yang terdapat di internet berkaitan dengan peta konsep dan peta minda, boleh dijadikan bahan bantu mengajar guru seperti mind map template (https://www.canva.com/graphs/mind-maps/), concept mapping templates (https://creately.com/diagram-community/popular/t/concept-map) dan free concept map maker (https://www.visme.co/concept-map-maker/). Manakala, untuk bukan digital pula, guru boleh menggunakan bahan-bahan seperti kertas manila, kertas mahjong dan pen marker. Dengan cara ini, teknologi visualisasi dapat digunakan dalam PdP (sama ada hidbrid/ online atau bersemuka) melalui penggunaan peta konsep dan peta minda.

Selain itu, teknik visualisasi juga melibatkan elemen grafik/gambar/portrait/ lukisan atau imej. Guru boleh menggunakan imej yang relevan dengan konsep yang ajar supaya dapat membantu proses visualisasi pelajar. Guru digalakkan mengaitkan konsep yang abstrak dengan kehidupan supaya pembelajaran sesuatu konsep menjadi bermakna kepada pelajar. Guru boleh membawa bahan bukan digital (seperti lukisan) dalam pengajarannya, ataupun mendapatkan bahan digital daripada pelbagai sumber seperti daripada internet. Imej juga diperlukan untuk penghasilan video dan animasi yang menarik. Imej boleh dihasilkan dengan mudah menggunakan telefon pintar atau kamera digital. Penghasilan imej adalah penting untuk merangsang visualisasi pelajar.

Penggunaan bahan konkrit manipulatif juga merupakan satu teknik visualisasi yang penting. Dalam mata pelajaran matematik, bahan konkrit manipulatif digunakan untuk mengukuhkan konsep matematik serta melibatkan aktiviti ‘hands-on’ menggunakan sentuhan yang amat berguna dalam proses visualisasi. Contoh bahan konkrit manipulatif yang digunakan dalam matematik ialah blok, model 3D, carta 2D, jubin, butang, kad, guli dan lidi. Untuk menerapkan konsep teknologi visualisasi, guru perlu sama ada menggunakan bahan pengajaran yang telah sedia ada ataupun membuat bahan tersebut berdasarkan hasil pembelajaran yang ditetapkan. Guru boleh menggunakan sumber internet untuk mendapatkan bahan yang boleh diolah menjadi bahan konkrit manipulative. Dalam konteks ini, ibu bapa juga boleh menggunakan bahan internet seperti jigsaw puzzle untuk mendidik kanak-kanak sambil bermain. Di samping itu, teknik visualisasi juga termasuk teknik menggunakan teknik lipatan kertas seperti origami untuk menghasilkan sesuatu objek. Selain daripada merangsang visualisasi, origami juga dapat menarik minat serta meningkatkan kreativiti pelajar.

Penggunaan perisian komputer juga merupakan teknik visualisasi yang berkesan. Perisian membolehkan sesuatu objek dimanipulasikan seperti putar (rotate), potong (cut), dan menukar bentuk 3D ke 2D (transform) menggunakan alat (tools) tertentu. Alat-alat yang digunakan ini dikenali sebagai visual tools kerana menghasilkan animasi dan pergerakan yang membantu visualisasi pelajar. Perkara penting yang perlu diingat semasa memilih perisian ialah alat yang boleh digunakan untuk membantu proses visualisasi. Setelah memilih alat yang sesuai, guru perlu menyediakan aktiviti hands-on kepada pelajar supaya dapat menggunakan alat dalam perisian ini. Guru juga perlu sediakan latihan untuk menguji kefahaman pelajar tentang konsep yang dipelajari. Pengalaman menggunakan perisian ini adalah penting untuk melatih pelajar melakukan pergerakan (seperti rotate, cut dan transform) secara mental. Kebolehan ini membolehkan pelajar menyelesaikan masalah dengan mudah. Untuk subjek matematik, perisian dinamik manipulatif 2D dan 3D menyokong pembinaan konsep Geometri yang abstrak. Perisian ini boleh diperolehi daripada internet secara percuma dan boleh di muat turun dengan mudah.

Teknik visualisasi yang popular dewasa ini ialah penggunaan video. Ia amat popular dalam kalangan remaja seperti penghasilan video “TikTok”. Video yang hasilkan adalah gabungan elemen-elemen multimedia seperti imej, audio, teks dan animasi. Kelebihan video ialah dapat merangsang deria mata dan telinga. Video yang baik, dapat menerangkan simulasi tentang sesuatu proses dengan jelas. Guru amat memerlukan bahan pengajaran dalam bentuk video yang berkualiti untuk menerangkan sesuatu konsep atau konsep yang kompleks, di mana penerangan yang terdapat dalam buku teks/ rujukan adalah terhad. Mungkin guru perlu menghasilkan video untuk pengajarannya berdasarkan objektif pengajarannya. Video kini boleh dihasilkan dengan mudah menggunakan ‘Apps’ dan telefon pintar. Di samping itu, teknik visualisasi juga disokong oleh screencast video. Teknik screencast ialah rakaman pergerakan tetikus (mouse) di skrin komputer dengan menggunakan perisian tertentu. Teknik ini dapat merakam langkah-langkah untuk menerangkan sesuatu proses seperti proses menggunakan alat dalam perisian yang baharu untuk pelajar. Perisian yang digunakan untuk screencast boleh didapati secara percuma di Internet seperti screencast-o-matic.

Kesimpulannya, teknologi visualisasi amat sesuai digunakan untuk pengajaran bersemuka, pengajaran dalam talian dan juga pengajaran secara hibrid. Justeru, teknologi visualisasi perlu diterokai dari masa ke semasa, sejajar dengan perubahan teknologi yang dinamik, baik dari segi perkakasan, maupun dari segi perisian. Maka menjadi tugas kita untuk menyediakan tapisan (filter) yang sesuai supaya teknologi visualisasi ini dapat menjana minda dan melahirkan tenaga pekerja yang bakal menerajui negara di masa hadapan.

-- BERNAMA

Ts Dr Faridah Hanim Yahya merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)