PENA WANITA

VAKSIN COVID-19 PENYELAMAT KEPADA KELETIHAN PANDEMIK?

14/04/2021 08:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Siti Marziah Zakaria

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada negara Eropah mengenai 'keletihan pandemik' yang boleh mengancam keupayaan benua itu untuk menangani penularan COVID-19. WHO mendefinisikan keletihan pandemik sebagai rasa tidak bermotivasi untuk mengikuti saranan pihak berkuasa bagi melindungi diri dan orang lain daripada virus.

Walaupun keletihan ini diukur daripada sudut yang berbeza bagi setiap negara, dianggarkan kini ia telah mencapai 60 peratus bagi sesetengah kes, menurut Pengarah WHO Eropah, Dr Hans Kluge. Di Malaysia, semua lapisan masyarakat telah melakukan pengorbanan sejak setahun yang lalu bagi mengelak penularan COVID-19, dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan patuh kepada arahan kerajaan.

Faktor Keletihan Pandemik

Kajian lepas mendapati ketidakseimbangan kehidupan-kerjaya, interaksi yang terbatas, pergerakan sosial yang terhad di samping keperluan mematuhi SOP dalam menjalani kehidupan seharian telah menyumbang kepada keletihan pandemik. Manakala data yang dilaporkan oleh WHO pula mendapati kebanyakan negara di dunia berhadapan keletihan pandemik berdasarkan peningkatan bilangan mereka yang dijangkiti disebabkan oleh sikap ketidakpatuhan terhadap sekatan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan. Tempoh perintah kawalan pergerakan yang lama ini juga telah menyebabkan berlakunya tekanan, hilang motivasi dan gangguan emosi dalam kalangan masyarakat berdasarkan dapatan kajian terdahulu.

Kajian keletihan pandemik yang dijalankan dalam kalangan masyarakat awam di Istanbul mendedahkan bahawa 64.1 peratus responden mengalami keletihan fizikal dan mental, rata-rata mereka berhadapan dengan keadaan cepat berasa letih, kelesuan mental dan fizikal, mengalami kekurangan tenaga, kurang keinginan untuk melakukan aktiviti, ketidakupayaan untuk memulakan dan melakukan aktiviti harian, kesukaran untuk berfikir dengan jelas serta kesukaran untuk memberi tumpuan terhadap kerja. Keletihan pandemik yang dialami ini mungkin berkaitan dengan sekatan pergerakan serta ketakutan dan kebimbangan akibat daripada pandemik ini.

Keletihan pandemik yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia harus dibendung bagi meneruskan perjuangan mengekang COVID-19. Pematuhan SOP dan arahan kerajaan dari semasa ke semasa masih lagi merupakan langkah pencegahan yang penting. Aspek-aspek lain juga perlu diberikan perhatian seperti tekanan emosi, konflik kerjaya-keluarga dan keselamatan pekerjaan. Vaksin COVID-19 adalah salah satu usaha dan strategi penting kerajaan bagi membendung penularan wabak itu. Namun, kita masih perlu berwaspada dengan mengambil langkah-langkah yang penting bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan sejagat.

Kajian

Kajian terkini yang dijalankan oleh penyelidik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM telah menganalisa tahap keletihan pandemik dalam kalangan masyarakat, kepatuhan kepada SOP dan arahan kerajaan, tekanan emosi, konflik kerjaya-keluarga dan risiko fizikal yang dialami masyarakat awam sepanjang tempoh pandemik. Seramai 2,047 orang responden daripada pelbagai latar belakang telah terlibat dalam kajian yang bermula pada Disember 2020 ini. Kajian menunjukkan bahawa 62.5 peratus daripada responden mengalami keletihan pandemik pada tahap yang agak membimbangkan. Sebahagian besar responden yang terlibat dalam kajian melaporkan bahawa mereka kerap merasa sangat penat secara fizikal dan mental kerana perlu berhadapan dengan pelbagai SOP susulan pandemik ini. Mereka juga mengeluh tidak dapat melakukan banyak perkara sepanjang hari.

Bagaimanapun, analisis ke atas tahap pematuhan SOP menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih lagi patuh. Sebanyak 70.9 peratus daripada responden menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi. SOP pemakaian pelitup muka mencatatkan peratusan kepatuhan yang sangat tinggi (98 peratus). Ini diikuti oleh SOP penjarakan fizikal (91.7 peratus) dan mencuci tangan dengan menggunakan sanitizer (90 peratus). Pematuhan yang tinggi dalam pemakaian pelitup muka mungkin hasil daripada ketegasan kerajaan dalam pemantauan dengan mengenakan kompaun ke atas kecuaian pemakaian pelitup muka.

Penelitian ke atas tekanan emosi yang dialami oleh masyarakat juga menunjukkan hasil yang konsisten. Sebanyak 31 peratus responden mengakui kerap menghadapi tekanan kewangan susulan pandemik ini. Sebilangan besar juga melaporkan mengalami gangguan tidur, mudah marah walaupun hal yang kecil dan mudah tersinggung. Gejala-gejala ini merupakan indikator kepada tekanan emosi yang sedang dilalui kerana berhadapan dengan kesulitan hidup dalam krisis pandemik. Ramai juga yang melahirkan rasa kesunyian dan tidak bermotivasi sepanjang tempoh ini. Situasi ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih teruk seperti burnout dan kemurungan.

Konflik kerjaya-keluarga juga telah dianalisa bagi melihat keseimbangan hidup masyarakat Malaysia semasa berhadapan dengan pandemik. Memandangkan sebahagian besar masyarakat diarah bekerja dari rumah (BDR), elemen ini harus diberikan perhatian. Sebahagian besar responden (26 peratus) mengeluh kerana kerap bekerja tanpa had masa. Mereka terpaksa menghadap kerja yang diberikan oleh majikan hingga ke waktu malam yang menganggu masa berkualiti bersama keluarga. Mereka juga melaporkan kerap merasa kurang produktif dan hilang fokus untuk bekerja kerana perlu juga memenuhi tugas-tugas lain di rumah. Apabila sekolah ditutup, ibu bapa perlu turut berperanan sebagai guru di rumah dan perlu memantau aktiviti pembelajaran anak-anak di rumah. Bagi yang mempunyai anak yang ramai, rutin harian menjadi sangat sibuk dan memenatkan.

Risiko fizikal adalah elemen terakhir yang dinilai bagi menentukan kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Responden melaporkan mereka kerap bekerja dalam postur badan yang tidak sihat, terdedah kepada persekitaran kerja yang tidak kondusif dan bekerja dalam stesen kerja yang tidak selesa. Aspek-aspek risiko fizikal ini perlu diberikan perhatian oleh majikan supaya pekerja mereka boleh terus bekerja dari rumah dalam keadaaan yang sihat dan selamat. Insentif dan bantuan perlu disediakan kepada pekerja yang bergaji rendah contohnya dengan menyediakan atau memberi pinjaman komputer riba, kerusi ergonomik, stesen kerja dan meja kerja yang sesuai. Hasil kajian menunjukkan bahawa kepatuhan kepada SOP, tekanan emosi, konflik kerjaya-keluarga dan risiko fizikal merupakan penyumbang utama kepada keletihan pandemik.

Keletihan pandemik akan dapat diatasi dan dikurangkan jika kesemua elemen ini diberikan perhatian oleh majikan, pekerja, komuniti dan kerajaan. Vaksin COVID-19 akan membantu usaha mengekang penularan wabak itu. Ia merupakan berita baik kepada semua kerana telah memberi satu harapan baharu kepada kehidupan yang normal. Dalam masa yang sama, keletihan pandemik juga perlu dibendung supaya masyarakat dapat bertahan dalam situasi krisis yang dihadapi negara.

-- BERNAMA

Dr Siti Marziah Zakaria merupakan pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)