DIARI MEDIA

KESUSAHAN MOHON I-SINAR BERAKHIR?

13/02/2021 09:15 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Dr Chamil Wariya

Saya telah bersara, jadi saya tidak layak untuk memohon i-Sinar.

Tetapi kesusahan untuk mengeluarkan caruman sendiri dalam akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program tersebut yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan tujuan untuk meringankan beban para pencarum berikutan kehilangan kerja atau pendapatan akibat pandemik COVID-19 memang sampai ke telinga saya.

Memang kesian.

Misalnya, seorang pekerja yang telah diberhentikan kerja dan tidak mencarum KWSP selama dua bulan berturut-turut pada penghujung 2020, memohon pengeluaran pada awal Januari 2021 sebagai pencarum kategori 1.

Malangnya permohonannya tidak dapat diproses untuk kelulusan serta merta.

Hal ini kerana tempoh dua bulan tidak mencarum tidak dapat diproses kerana belum cukup haul lagi.

Dia kena menunggu sebulan lagi selepas tempoh dua bulan tidak mencarum itu bagi mencukupkan haulnya oleh sistem komputer KWSP.

Dalam syarat yang ditetapkan, tempoh haul sebulan selepas caruman dihentikan, tidak pula disebut.

Syarat yang dinyatakan adalah apabila pekerja diberhentikan kerja dan majikan dan pekerja tidak lagi mencarum selama dua bulan, dia sudah layak memohon pengeluaran i-Sinar.

Syarat haul sebulan lagi tidak dinyatakan sebagai syarat. Ia hanya diketahui kemudian.

Seorang sahabat yang telah tidak lagi bekerja, tetapi tidak mengeluarkan caruman penuhnya pada usia 55 tahun, juga membuat permohonan i-Sinar untuk mengeluarkan 10 peratus carumannya dalam Akaun 1 KWSP beliau.

Dia juga mengalami nasib yang sama. Permohonannya tidak diluluskan serta merta sekalipun dari segi syarat dia sebenarnya layak kerana dia memang tidak lagi bekerja. Rekod dia tidak lagi mencarum ada dalam data KWSP. Kesilapannya adalah dia tidak mengeluarkan keseluruhan caruman Akaun 1 sewaktu berusia 55 tahun.

Satu lagi rungutan yang kendengaran ialah apabila status permohonan di semak secara atas talian oleh pemohon i-Sinar kategori 1 ini, keluar pemakluman bahawa “permohonan anda sedang diproses.”

Dalam halaman yang sama, pemohon diminta untuk memuat naik dokumen sokongan yang berupa penyata gaji atau pendapatan walhal bagi kategori pertama, dokumen sokongan itu tidak diperlukan.

Dokumen itu hanya diperlukan oleh pemohon bagi kategori kedua iaitu mereka yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan gaji sekurang-kurang sebanyak 30 peratus.

Tetapi oleh kerana sistem KWSP tidak mesra pengguna, maka bagi pemohon kategori satu pun seolah-olah diminta berbuat demikian. Memang amat mengelirukan.

Sebenarnya ada cerita-cerita lain mengenai kesukaran permohonan i-Sinar yang menyusahkan yang sampai ke telinga saya. Tetapi ia tidak lagi perlu dipanjangkan lagi di sini.

Hal ini kerana, Alhamdulilah, semalam segala syarat yang menyusahkan untuk mengeluarkan wang sendiri pencarum melalui i-Sinar itu telah dimansuhkan oleh Kementerian Kewangan atas arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka yang terbabit tentulah berasa lega kerana arahan terbaharu kerajaan kepada KWSP bermakna, siapa yang memohon pengeluaran KWSP melalui i-Sinar secara automatik layak.

Status mereka sebagai pekerja yang diberi cuti tanpa gaji, atau diberhentikan kerja atau mengalami pengurangan pendapatan tidak lagi diambil kira.

Semoga langkah tanpa syarat ini melenyapkan gundah gulana dalam kalangan mereka yang permohonan mereka sedang diproses oleh KWSP. Mereka amat mengharapkan permohonan yang diminta diluluskan secara automatik dengan segera.

Ini kerana hakikatnya maklumat tentang pencarum itu sendiri memang tersedia di dalam data KWSP.

KWSP sepatutnya secara automatik juga tahu bila pencarum mencarum dan bila caruman seseorang itu terhenti. Tidak perlu lagi meminta pemohon memuat naik dokumen itu dan ini. Semuanya terletak dijari pegawai dan petugas KWSP itu sendiri.

Apa yang penting di sini ialah nama di nombor akaun diberi pemohon adalah sama dengan nama pemohon itu sendiri.

Semoga langkah tanpa syarat ini membawa sinar baru kepada mereka yang amat memerlukan wang simpanan mereka sendiri itu.

Bukan untuk membeli jongkong emas seperti yang digembar gemburkan tetapi sekadar menampung keperluan mendesak hidup seperti membayar hutang piutang termasuk pinjaman kereta, rumah dan makan minum harian.

Hanya mereka yang kehilangan kerja tahu keperitan hidup akibat kehilangan kerja gara-gara Covid-19.

Mereka yang berkhidmat dengan sektor awam dengan gaji tetap yang lumayan mungkin termasuk para pegawai KWSP boleh menjalani hidup seperti biasa pada waktu sukar ini.

Bak kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Ada antara mereka yang sudah tidak mampu menanggung beban yang terletak di bahu.

Terima kasih Tan Sri. Tan Sri sekali lagi telah membuktikan yang sebagai pemimpin Tan Sri benar-benar mendengar keluh kesah rakyat yang kesempitan wang semasa pelaksanaan PKP.

Moga arahan Tan Sri Perdana Menteri untuk memudahkan pengeluaran i-Sinar dapat direalisasikan pada waktu yang segera.

Dengan itu barulah kesusahan dan kerumitan permohonan i-Sinar dalam kalangan mereka yang selama ini semacam didera oleh KWSP untuk mengeluarkan sepuluh peratus caruman dalam akaun 1 benar-benar berakhir.

--BERNAMA

Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)x

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)