SUARA BELIA

PENDIDIKAN MASA DEPAN TANPA SEKOLAH HARIAN

14/10/2020 03:03 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Irfan Faruqi

Oleh: Irfan Faruqi

Selain daripada kerancakan aktiviti dan usaha membasmi pandemik COVID-19, hari ini kita secara aktif membincangkan tentang keberkesanan kebiasaan baharu yang dialami bersama.

Antaranya adalah kebaikan dan keburukan amalan kerja di rumah, kelas dalam talian, perniagaan kecil tanpa kedai fizikal, peluang pekerjaan baharu, langkah pemulihan ekonomi yang lebih kreatif dan seterusnya. Dan pastinya kerancakan ini merupakan suatu reaksi bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran pascapandemik ini.

Kerana itu, perbualan luar kamera antara saya, penerbit dan tetamu Darah Muda edisi 27 Julai lepas sangat menarik. Pada malam itu Darah Muda memberikan apresiasi kepada guru-guru daripada Institut Pendidikan Swasta (IPS) yang terjejas akibat pandemik yang melanda negara. Di samping itu, berkongsi pengalaman mereka memenuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Perbincangan kami sangat produktif. Melihat sektor pendidikan daripada kaca mata pengusaha pusat tuisyen. Sumbangan mereka kepada pembelajaran dan pendidikan murid-murid. Keberkesanan pembelajaran dalam talian untuk murid berusia tujuh hingga sepuluh tahun. Malah, banyak cerita menarik yang tidak dapat dikongsi dalam penulisan kali ini.

SPM dan masa depan, kerjaya murid

Tetapi, ada satu perkara yang mustahak untuk dikongsikan dengan pembaca. Daripada perbualan kami, saya bangkitkan kepada Mohd Azrin Ahmad Zahar, Pengarah Urusan Pusat Tuisyen Ilmu Studio, tetamu Darah Muda, mengenai kemungkinan untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa perlu ke sekolah. Cikgu Arin, panggilan mesra Mohd Azrin, membenarkan bahawa tiada keperluan sedemikian – tidak pergi sekolah pun boleh ambil SPM asalkan mendaftar.

Susulan itu, saya tarik perbualan kami kepada kisah-kisah anak muda yang berjaya dalam karier masing-masing yang pelbagai. Bibi Qairina, 15, contohnya, merupakan selebriti media sosial terkenal dengan 1.2 juta pengikut di Instagram. Lagi, Faris Zakaria, 26, atau lebih dikenali sebagai ‘Maharaja Soloz’ yag merupakan atlet e-sukan dan empunya kepada penstriman langsung permainan video paling popular di Malaysia. Untuk rekod, siaran YouTube Soloz Club mempunyai 902,000 langganan.

Kami mencapai persetujuan bahawa hari ini memang ada peningkatan trend dalam kalangan belia dan remaja khususnya mencebur dalam keusahawan media sosial ini. Mereka menjana pendapatan daripada populariti yang diraih. Dan cerita sebalik tabir belia-remaja ini beragam dan setiap satunya mempunyai keunikan sendiri.

Gaya ‘sekolah’ baharu – belajar tanpa ke sekolah

Daripada situ, saya tanyakan pula kepada Cikgu Arin, sama ada memang ada amalan ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah, sebaliknya hanya menghantar mereka ke kelas tuisyen. Jawabnya, betul, ada. Dan menariknya amalan ini tidak terbatas kepada golongan berada sahaja.

Antara lain, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat tahfiz kebiasaannya menghabiskan pengajian di tahfiz. Kemudiaannya dihantar ke kelas tuisyen untuk persiapan mengambil SPM tanpa perlu ke sekolah harian.

Tambahan pula, ada juga ibu bapa yang memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah harian dan hanya mendaftarkan anak mereka ke kelas tuisyen sebagai persediaan peperiksaan untuk memberikan ruang kepada anak-anak mendalami bidang lain.

Anak-anak ini sudah didorong ke kelas yang mereka minati seperti kelas muzik, sukan kuda, dan sebagainya seawal usia 16 tahun. Sebelah siang ditumpukan kepada kelas atau kursus dalam bidang yang mereka minati, kemudian pada sebelah malam hanya hadir ke kelas tuisyen berdurasi dua ke tiga jam sahaja.

Sekolah harian dan universiti, adakah masih relevan?

Dalam perbualan itu, benak saya tertumpu kepada idea masa depan sekolah harian. Sekiranya, sekolah dan universiti tidak mampu memberikan nilai masa depan kepada setiap jam yang dihabiskan dalam kelas dan pada masa yang sama, kemahiran teknikal dan amali boleh didapati dengan lebih efisien dan berkesan melalui kursus-kursus khas. Maka, apa perlunya sekolah harian?

Semakin canggih teknologi maklumat, semakin mudah belia atau remaja mendapat akses kepada internet dan ilmu-ilmu praktikal di YouTube atau pelbagai platform pendidikan percuma yang ada, semakin kuranglah keperluan untuk menghabiskan enam hingga lapan jam di sekolah. Begitu juga, tidak lagi perlu kepada jam kredit yang bertimbun di institusi pengajian tinggi (IPT).

Soal kos pengajian merupakan isu yang lama dibincangkan. Mungkin pembelajaran berasaskan minat dan kelas berasaskan kursus pilihan sendiri ini boleh menjadi jawapan kepada masalah berbangkit. Daripada belajar dengan dibiayai hutang PTPTN, adalah lebih baik mengambil kursus percuma yang dibiayai oleh pelbagai program yang dikelola oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Daripada membayar kos persekolahan yang meliputi yuran perpustakaan, uniform sekolah, uniform sukan, uniform persatuan, duit kelas, duit persatuan, jamuan kelas, jamuan rumah sukan dan segala macam yuran-yuran kecil di sekolah. Bukankah lebih baik, membayar yuran tuisyen yang sedikit mahal dan lebihan duit yang dapat dijimatkan daripada tidak pergi ke sekolah harian itu dimanfaatkan untuk menyertai latihan kemahiran yang lebih spesifik.

Idea ini rasional. Sekiranya isunya ialah meringankan beban kewangan ibu bapa yang terkesan akibat pandemik ini. Dan sekiranya kita mengakui bahawa karier masa depan yang terkesan daripada kemajuan teknologi (Revolusi Industri ke-4) memerlukan kepada kefahaman dan kemahiran asas data raya, analisis data, pengekodan, reka bentuk aplikasi, reka bentuk laman sesawang dan seterusnya.

Soal pendidikan – akhlak dan sahsiah

Pastinya, soal nilai kependidikan yang asasi terkait soal akhlak dan sahsiah tidak boleh diabaikan. Dalam hal ini, buku berjudul ‘Manifesto Sekolah Masa Hadapan: Platform Perubahan Pendidikan Malaysia’ (terbit 2017) wajar disingkapi dengan teliti. Buku ini merupakan kompilasi penulisan daripada pendidik dan aktivis pendidikan.

Buku ini, yang turut menampilkan penulisan Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, membahaskan secara komprehensif mengenai nilai pendidikan yang seharusnya dicapai dan diserap dalam nurani anak-anak murid.

Pendidikan yang tidak terbatas kepada istilah sekolah atau kelas empat tembok atau silibus pentaksiran formal. Hakikat pendidikan ialah elemen yang disuburkan dalam jiwa pelajar sehingga lahir kehalusan budi dan keupayaan melangsungkan hidup dengan seimbang.

Penulis yang paling dekat dengan topik penulisan kali ini ialah Naim Jaafar. Beliau mengasaskan inisiatif Foresight yang telah melatih ramai belia untuk menubuhkan dan memajukan perniagaan kecil atau startup. Dan belia yang dilatih ramai dalam kalangan belia terpinggir.

Nilai semula keberkesanan sekolah-universiti sebagai institusi pendidikan

Justeru itu, pasca-COVID-19 ini sekolah harian dan universiti mungkin akan kehilangan status relevannya. Pun begitu, ini bukan cubaan mencetuskan perubahan radikal dalam sistem pendidikan negara. Tulisan ini hanya menyentuh dua aspek daripada pelbagai aspek pendidikan formal negara; pembangunan sahsiah dan kemahiran praktikal (industri).

Pun begitu, tidak boleh dinafikan selera ibu bapa dan belia atau remaja sendiri yang sudah berubah. Akibat tekanan dan persekitaran semasa, ada pilihan lain daripada sekolah harian untuk mendapatkan pendidikan yang holistik.

Sama ada perlu kepada suatu aliran pendidikan khas atau memansuhkan aliran pendidikan yang ketinggalan zaman, Apapun, setakat ini, kita boleh nyatakan secara yakin bahawa tidak ada lagi alasan untuk mana-mana belia atau remaja ketinggalan dalam arus pendidikan.

Pilihan untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran kini terbuka luas. Manfaatkan akses teknologi dan peluang-peluang yang ada. Akhirnya, pengetahuan yang diraih itu akan menumbuhkan manfaat yang akan kembali kepada negara. Hidup biar berjasa.

-- BERNAMA

Irfan Faruqi adalah pengacara program Darah Muda, BERNAMA TV

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)