PENA WANITA

KEPENTINGAN DATA DALAM ERA REVOLUSI INDUSTRI 4.0

31/08/2020 10:42 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Ngo Sheau Shi

Dalam persediaan menghadapi Revolusi Industri Keempat, rakyat, pihak industri dan kerajaan hanya akan mendapat manfaat maksimum sekiranya satu kerangka undang-undang yang menjaminkan pengaksesan maklumat awam dapat disediakan.

Hal ini perlu diberi keutamaan oleh kerajaan kerana hak untuk mendapat data awam dalam bentuk yang sistematik dan telus akan memperkasakan rakyat Malaysia dalam persekitaran ekonomi yang berubah menjadi semakin digital.

Cabaran dunia digital bukannya semata-mata pekerjaan manusia diambil alih oleh mesin dan teknologi robotik, cabaran utama terkini ialah industri-industri yang sedia wujud seperti bidang pertanian, pembinaan, penternakan, perkilangan, perkhidmatan dan sebaginya amat memerlukan maklumat yang berkualiti saintifik dan senang diakses secara sistematik untuk membuat perancangan dan membalas kepada perubahan yang terbawa oleh teknologi maklumat di sektor industri masing-masing.

Teknologi analitik data raya adalah antara model perniagaan digital baharu yang sedang menjadi satu norma baharu dalam bidang perniagaan terutamanya dalam mendorong inovasi produk serta proses yang lebih cekap menerusi peningkatan produktiviti pada kos yang lebih rendah.

Inovasi digital, kepentingan akses maklumat dan perusahaan kecil dan sederhana

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia berperanan penting menyumbang 37.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggajikan lebih 70 peratus daripada keseluruhan pasaran pekerja pada tahun 2017.

Malah, PKS merupakan antara industri yang amat terdesak untuk bertindak balas kepada teknologi digital yang bersifat global yang sedang memberi impak besar terhadap prospek bidang mereka.

Dalam konteks global, persaingan perniagaan antara negara semakin sengit terutamanya dari negara yang mempunyai teknologi maklumat yang lebih canggih seperti Amerika Syarikat dan China. Pengusaha tempatan yang dapat merangsang permintaan tempatan atau memahami perspektif pelanggan dengan pantas lebih berpeluang berjaya dalam inisiatif perniagaan yang baharu.

Peranan kerajaan ialah memastikan pengusaha PKS di Malaysia mendapat akses kepada maklumat yang berguna untuk memudahkan mereka membuat keputusan yang bijak semasa mencari penyelesaian baharu, seterusnya peluang untuk berjaya bagi pengusaha tempatan ini adalah lebih cerah untuk memajukan perniagaannya ke tahap global.

Sekiranya kerajaan melaksanakan polisi data terbuka (open data policy), PKS tentu akan menikmati manfaat daripada polisi ini. Sebagai contoh, pembekal perlengkapan perlindungan peribadi di hospital boleh mengetahui harga tender pembekalan yang lain dan mereka boleh cuba mendapatkan perlengkapan tersebut dengan harga yang lebih rendah atau/dan kualiti yang lebih baik supaya dapat bersaing dengan pembekal-pembekal yang sedia wujud.

Adalah penting pengusaha kecil dan sederhana diberi maklumat yang berguna pada masa yang sesuai. Persaingan ekonomi Malaysia di era Revolusi Industri 4.0 perlu dipertingkatkan daripada segi infrastruktur maklumat yang bersifat telus, sahih, sistematik dan terkini. Hal sedemikian bukan sahaja dapat meningkatkan persaingan PKS, malah perkara ini juga memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Kebebasan maklumat, peranan kerajaan dan persaingan Revolusi Industri 4.0

Inovasi projek pendigitalan perniagaan memerlukan maklumat yang bersifat sistematik dan terkini. Hakikatnya, kebanyakan maklumat yang berguna ini hanya disimpan dalam fail dalaman oleh pihak kerajaan yang tidak dapat diakses oleh rakyat Malaysia.

Antara penyelesaian digital yang harus diberi keutamaan oleh kerajaan ialah menyediakan kemudahan mengakses kepada maklumat yang dipegang oleh badan-badan awam. Dalam konteks ini, pihak kerajaan boleh memainkan peranannya sebagai penggiat yang dinamik untuk menaik taraf daya saing rakyat Malaysia dalam landskap perniagaan global.

Memandangkan kepentingan maklumat dan inovasi pendigitalan dalam pelbagai sektor industri semakin berkembang, kerajaan perlu memastikan maklumat yang dimiliki oleh kerajaan harus diambil kira sebagai satu aset untuk orang awam.

Dalam konteks ini, hak mengakses maklumat yang dimiliki oleh negara dan institusi pemerintahan yang berkaitan adalah satu hak asasi manusia bukan sahaja untuk memastikan ketelusan dan pemerintahan yang baik, tetapi ia juga dapat menjamin perkembangan ekonomi digital di negara ini.

Lebih daripada 115 negara di seluruh dunia mempunyai undang-undang yang mewajibkan pegawai-pegawai berkaitan untuk menyerahkan rekod awam kepada awam. Menurut UNESCO, kebebasan maklumat atau hak untuk mendapatkan maklumat boleh didefinisikan sebagai hak untuk mengakses maklumat yang dipegang oleh badan-badan awam.

Pada dasarnya, maklumat yang dimiliki kerajaan adalah bersifat umum dan hanya perlu ditapis sekiranya mempunyai alasan yang sah, seperti keselamatan negara atau isu privasi.

Mengharungi masa hadapan dalam era Revolusi Industri 4.0 yang sedang merubah perniagaan secara global, kerajaan Malaysia perlu mempercepatkan usaha bagi menyediakan transformasi digital dengan menyediakan satu akta yang bersesuaian dari segi pengurusan maklumat yang dimiliki oleh kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

Dr Ngo Sheau Shi merupakan Pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)