NOTA KAMPUS

​​​​​​​KESAN COVID-19 KEPADA MANUSIA DAN ALAM

18/05/2020 08:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Datuk ChM Dr. Taufiq Yap Yun Hin

Penularan wabak COVID-19 secara global telah menjangkiti lebih 4.7 juta manusia dan mengakibatkan kehilangan lebih 300,000 nyawa sehingga artikel ini ditulis. Selain itu, penyebaran jangkitan koronavirus juga telah mengubah corak kehidupan manusia serta merencatkan pertumbuhan ekonomi dengan begitu drastik.

Pandemik COVID-19 mendatangkan kesan langsung kepada ekosistem perniagaan domestik seperti industri makanan dan minuman, industri pembinaan dan pembuatan, industri pelancongan, serta industri pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Ini sekaligus mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan.

Sebanyak 20.5 juta orang hilang pekerjaan di Amerika Syarikat pada April lalu yang merupakan paling teruk pernah berlaku sekali gus menyebabkan tahap pengangguran meningkat kepada 14.7 peratus. Di Malaysia pula, jumlah pengangguran pada Mac lalu mencatatkan peningkatan 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lepas.

Kawal pergerakan

Untuk menghalang penularan virus ini, pergerakan manusia seluruh dunia telah dihadkan dan ini memberikan impak yang luar biasa ke atas alam sekitar. Data yang direkodkan oleh Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China antara Januari dan Mac lalu mendapati adanya peningkatan sebanyak 84.5 peratus hari dengan kualiti udara yang baik di 337 buah bandar raya di negara itu.

Data satelit yang diambil oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan penurunan nitrogen dioksida di China. Di Malaysia pula, Sungai Kim Kim yang sebelum ini pernah menjadi ‘popular’ berikutan pencemaran sisa toksik kimia dan berwarna kehitaman, kini telah berubah menjadi semakin jernih. Malah kelihatan ikan-ikan kecil berenang-renang yang mustahil untuk dilihat sebelum ini. Begitu juga dengan Sungai Melaka yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat kini telah bertukar jernih dan berwarna kehijauan (Bernama, 24 April 2020).

Ini jelas menunjukkan bahawa apabila manusia ‘menghentikan’ aktivitinya, maka ia dapat menyelamat dan memulihkan keadaan alam sekitar yang begitu sukar untuk dipulihkan dalam keadaan biasa.

Gangguan rakus

Penurunan secara mendadak pembebasan gas yang dihasilkan menunjukkan bahawa manusia dan alam mempunyai hubungan yang sangat rapat. Ketua Ekonomi Alam Sekitar bagi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) telah menggunakan konsep analisis perdagangan (trade-off analysis) dan paradigma perdagangan (trade-off paradigm) untuk menerangkan hubungan kompleks antara manusia dan alam.

Wabak COVID-19 mendedahkan bahawa selama ini manusia dengan rakusnya telah mengganggu ekosistem alam seperti pemusnahan hutan, pencerobohan ke atas habitat haiwan dan kehilangan biodiversiti.

‘Gangguan’ ini adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan manusia yang tidak pernah puas sementara planet ini pula mempunyai keupayaan yang terhad. Sudah sampai masanya kini untuk manusia berusaha memahami serta menghayati batasan manusia yang boleh dilakukan ke atas alam ciptaan ini sebelum munculnya impak yang jauh lebih teruk lagi.

Hubungan rapat

Untuk memahami bagaimana pandangan Islam berhubung dengan manusia dan alam, kita perlu memahami hakikat Allah SWT sebagai Tuhan Pencipta dan hubungan sesama mereka iaitu Allah, manusia dan alam dari segi hak dan tanggungjawab masing-masing. Allah Maha Sempurna yang menciptakan manusia dan segala alam ini dengan penuh kesempurnaan. Oleh sebab Allah Maha Pengasih dan Penyayang, maka Allah juga mencipta alam ini dengan penuh kasih sayang.

Begitu juga, oleh sebab Allah Maha Bijaksana, maka Allah SWT mencipta alam ini dengan serba kesempurnaan serta lengkap. Allah juga tahu segala kelemahan, kekurangan, keperluan dan kekuatan alam ini. Oleh yang demikian, Allah telah menurunkan peraturan untuk dipatuhi bagi memelihara alam ciptaan-Nya agar ekosistem alam ini dapat memberikan manfaat secara berterusan kepada seluruh manusia yang hidup bersamanya.

Manusia telah dijadikan sebagai makhluk yang paling mulia di dunia ini. Manusia mestilah menginsafi dirinya dan bersyukur atas nikmat kurniaan Allah SWT. Sebagai makhluk yang diangkat sebagai khalifah di muka bumi ini manusia diberikan mandat oleh Allah SWT untuk mentadbir, memerintah dan memakmurkan alam ini dengan baik tanpa mengekploitasi alam ini secara melampau.

Penciptaan alam semesta ini adalah untuk kemudahan dan kesenangan manusia dalam jangka panjang. Manusia memegang amanah untuk memanfaatkan dan memakmurkan alam semesta ini untuk kepentingan manusia untuk waktu sekarang dan masa depan. Keseimbangan alam dan manusia mesti dipelihara untuk kelestarian kehidupan dan kesejahteraan manusia.

--BERNAMA

Professor Datuk ChM Dr. Taufiq Yap Yun Hin, FASc, FMIC, FRSC (UK) ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)