PENA WANITA

TANGGUNGJAWAB SOSIAL DIGITAL PEMANGKIN EKONOMI DIGITAL

13/05/2020 11:44 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Shifa Mohd Nor

Ekonomi negara sedikit sebanyak terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpunca daripada pandemik COVID-19. Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) yang menjalankan kajian ke atas syarikat perniagaan di Malaysia mendapati 67.8 peratus perniagaan itu menyatakan mereka hilang punca pendapatan. Cabaran utama yang dihadapi adalah untuk membayar gaji pekerja (76.6 peratus), tiada urusan perniagaan daripada pelanggan (65.5 peratus) dan tanggungjawab membayar sewa premis (61.4 peratus). Majoriti syarikat perniagaan yang terkesan dengan krisis ini menjangkakan tempoh lebih kurang 6 bulan atau lebih untuk memulihkan kembali perniagaan mereka.

Menariknya, laporan daripada DOSM menunjukkan
12.3 peratus daripada syarikat perniagaan ini telah menjalankan perniagaan dalam talian. Ini menunjukkan sambutan ekonomi digital di Malaysia masih di peringkat yang rendah. Ekonomi digital merupakan satu langkah yang baik untuk menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara namun kita tidak boleh hanya bergantung dengan subsidi daripada kerajaan. Bagi membantu meringankan bebanan ini, tanggungjawab sosial korporat (CSR) amat penting untuk melengkapi insentif yang diberikan oleh kerajaan. Slogan “#kita jaga kita” yang dilaungkan dalam media sosial ketika tempoh PKP ini amat relevan dengan aspirasi tanggungjawab sosial korporat.

Tanggungjawab sosial korporat

Lazimnya, kita mengaitkan tanggungjawab sosial korporat dengan amalan kebajikan di mana syarikat menyediakan sedikit dana bagi meringankan bebanan masyarakat atau memulihara alam sekitar. Walaupun secara teorinya CSR bersifat sukarela, namun bagi menggalakkan amalan tanggungjawab sosial korporat dalam sektor swasta, kerajaan menawarkan pengecualian cukai bagi yang melaksanakannya. Konsep CSR bermula pada 1950-an dengan tujuan melaksanakan tanggungjawab setiap perniagaan terhadap masyarakat telah melalui pelbagai evolusi. Kini, CSR bukanlah sekadar satu aktiviti sukarela untuk pembangunan masyarakat, tetapi ianya telah dijadikan sebagai satu strategi dalam perniagaan. Amalan tanggungjawab sosial korporat dilihat sebagai satu penciptaan nilai yang penting untuk menjadikan sebuah perniagaan itu mempunyai daya saing dan mengikut aspirasi pembangunan mampan.

Tanggungjawab sosial korporat terbahagi kepada tiga peringkat iaitu peringkat sampingan, taktikal dan strategik. Peringkat sampingan ini merupakan peringkat yang paling minimum di mana syarikat melaksanakan CSR sebagai aktiviti sampingan atau pematuhan untuk menonjolkan imej yang baik dan diterima oleh masyarakat. Antara aktiviti yang dijalankan adalah berbentuk kebajikan dan lazimnya ianya tidak berterusan.

Peringkat taktikal pula adalah peringkat pertengahan dimana syarikat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan matlamat mendapat pulangan keuntungan dalam jangka masa yang panjang. Aktiviti yang dilaksanakan pula adalah terancang dan berterusan namun sedikit sahaja pelaporan yang dibuat. Kedua-dua peringkat ini kurang memberi impak sosial yang besar kepada masyarakat.

Peringkat terakhir pula merupakan peringkat strategik, dimana syarikat mengadaptasikan tanggungjawab sosial sebagai satu strategi perniagaan. Ia dijadikan sebagai satu nilai tambah kepada syarikat dan setiap aktiviti yang dilaksanakan adalah terancang, berterusan dan mempunyai pelaporan yang telus dengan objektif untuk memenuhi tuntutan pembangunan mampan. Di peringkat ini, tanggungjawab sosial merupakan satu budaya korporat.


Tanggungjawab sosial digital

Dalam situasi yang dihadapi sekarang, tanggungjawab sosial korporat harus dilihat dari pandangan strategik. Sektor swasta wajar diberikan pertimbangan untuk melaksanakan inovasi dalam tanggungjawab sosial untuk pembangunan ekonomi digital yang dilihat sebagai satu peluang untuk membantu sektor swasta dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kembali pulih. Justeru itu, tanggungjawab sosial digital atau dikenali dengan digital social responsibility (DSR) merupakan satu langkah yang penting untuk memperkasakan agenda ekonomi digital.

Tanggungjawab sosial digital merupakan inovasi daripada tanggungjawab sosial korporat yang asal di mana ia memperkasakan penggunaan teknologi digital dalam kesemua inisiatif ekonomi dan sosial yang dilaksanakan. Bagi mencapai hasrat kerajaan untuk pembangunan ekonomi digital, pemerkasaan literasi digital kepada masyarakat amatlah penting. Agenda ini dapat dijayakan dengan bantuan sosial dalam bentuk biasiswa atau geran perniagaan untuk menyediakan latihan ilmu digital kepada masyarakat khususnya peniaga dan usahawan.

Ekonomi digital merupakan satu kebiasaan baharu yang perlu diterima oleh segenap lapisan masyarakat kerana ia mampu menyumbang kepada pemulihan ekonomi dan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Terdapat pelbagai manfaat ekonomi digital, antaranya adalah ekonomi yang efektif, tadbir urus yang cekap dan telus serta urusan perniagaan tanpa kontak dan tanpa sempadan.

Sinergi bersama

Sinergi antara pelbagai sektor merupakan jalan terbaik untuk menjayakan tanggungjawab sosial digital ini. Sebagai contoh, sektor swasta membuat sumbangan sosial strategik dengan kerjasama daripada agensi-agensi yang dapat menyediakan latihan dan ilmu perniagaan digital sebagai satu persiapan awal kepada peniaga dan usahawan. Selain daripada persediaan latihan digital, sumbangan sosial juga boleh berbentuk penyediaan barangan teknologi digital seperti telefon pintar, tablet atau komputer.

Kemudahan untuk capaian internet yang laju juga amat penting, untuk permulaan ini, cadangan untuk memberikan sedikit dana bulanan bayaran kemudahan internet dapat meringkan bebanan peniaga dan ushawan bagi kelangsungan perniagaan masing-masing. Tidak ketinggalan juga untuk mendidik masyarakat umum yang merupakan pihak berkepentingan, untuk bersedia dan yakin menggunakan kemudahan perniagaan dalam talian dengan lebih meluas.

Kesan daripada inisiatif ini adalah dapat meningkatkan penggunaan perniagaan dalam talian. Oleh yang demikian, untuk mengatasi krisis ini, semuanya perlu kembali semula kepada sikap tanggungjawab yang harus dipikul oleh setiap pihak.

--BERNAMA

Dr. Shifa Mohd Nor adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Keutuhan Tadbir Urus dan Akauntabiliti (GRACe), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)