TINTA MINDA

AKTA KEBEBASAN MAKLUMAT: KETELUSAN DAN TADBIR URUS YANG BAIK KUNCI MASA DEPAN EKONOMI DIGITAL

30/10/2023 09:57 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ngo Sheau Shi

Malaysia, sebagai antara pemain utama di Asia Tenggara, berada di persimpangan ekonomi baharu antara inovasi digital dan aktiviti perniagaan tradisional. Dalam ekonomi global yang berkembang pesat, ketelusan, akauntabiliti, dan akses kepada maklumat bukan sahaja merupakan antara elemen penting dalam proses demokratik, tetapi merupakan tunjang tadbir urus ekonomi yang kukuh.

Pengumuman oleh kerajaan Madani Malaysia mengenai penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) pada 14 September 2023 menandakan langkah penting dalam agenda Kerajaan Madani dari segi tadbir urus yang baik, telus dan bertanggungjawab.

Hal ini membawa implikasi bahawa setiap ringgit perbelanjaan awam kini akan berada di bawah penyeliaan pemegang taruh utama yang berkepentingan, iaitu rakyat Malaysia. Akta sedemikian boleh berfungsi sebagai penghalang kepada pembaziran, salah guna kuasa, dan rasuah.

Impak ekonomi

Daripada perspektif pertumbuhan ekonomi dalam masa terdekat, apabila dana awam dibelanjakan dengan lebih cekap, ia mengarah kepada pelaburan yang lebih produktif, sama ada dalam bidang infrastruktur, kesihatan, atau pendidikan. Dalam jangka masa panjang, ini boleh diterjemahkan ke dalam pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Seiring peralihan dunia ke arah paradigma digital, ekonomi yang dikuasai oleh teknologi maklumat, infrastruktur digital dan pembuatan keputusan berdasarkan data telah terbukti menjadi yang paling relevan dan dinamik. Bagi pasaran baharu seperti Malaysia, Akta Kebebasan Maklumat (FOI) bukan sahaja langkah menuju demokrasi yang inklusif, tetapi juga melompat ke arah memupuk ekonomi digital yang lebih tahan lasak, menarik, dan bersifat fleksibel.

Dalam usahanya untuk menjadi magnet bagi pelaburan asing, pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) oleh kerajaan Malaysia mendemonstrasi kepada dunia bahawa negara ini komited kepada ketelusan dan tadbir urus terbuka dalam sektor perniagaan.Pelabur global sering mencari tanda tadbir urus yang stabil dan akauntabiliti sebelum memutuskan untuk melabur. Dengan menjamin akses kepada maklumat, Malaysia pada dasarnya menyediakan landasan kepada pelabur, memastikan mereka mempunyai instrumen untuk membuat keputusan yang tepat dan tindakan kerajaan akan terdedah kepada pemeriksaan.

Potensi data

Dalam era digital, data menjadi nadi kepada pertumbuhan dan inovasi. Akta Kebebasan Maklumat (FOI) mewakili satu transformasi besar dalam cara kita mengakses dan memanfaatkan data. Sebelum pelaksanaan akta ini, banyak set data berharga dibiarkan atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya, kemungkinan disebabkan keterhadan akses atau kurangnya kesedaran tentang potensinya.

Namun, dengan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), data tersebut bukan sahaja dapat diakses dengan lebih mudah, tetapi juga membuka peluang untuk analisis, penyelidikan, dan pembangunan aplikasi atau perkhidmatan yang baharu. Misalnya, usahawan atau syarikat teknologi boleh menggunakan data tersebut untuk menghasilkan solusi yang lebih cekap dalam sektor-sektor seperti perkhidmatan awam atau pendidikan.

Selain itu, pengkaji dan ahli akademik juga boleh memanfaatkan data ini untuk kajian mereka, yang seterusnya dapat memberikan pandangan dan penyelesaian baharu kepada isu-isu semasa.

Kemakmuran ekonomi berkait rapat dengan kepercayaan awam terhadap institusi. Apabila orang percaya bahawa institusi mereka berfungsi dengan telus dan demi kepentingan terbaik mereka, ini mengarah kepada penyertaan awam dan kerjasama yang lebih besar.

Dengan akses yang lebih jelas kepada peraturan, prosedur lesen, dan maklumat relevan lain, perniagaan domestik dan korporat multinasional dapat beroperasi dengan pemahaman yang lebih jelas tentang peraturan permainan. Ini dapat menggalakkan persaingan yang adil, menggalakkan inovasi dan kecekapan. Hal Ini pasti akan menjadi faktor utama yang mendorong pertumbuhan ekonomi.

Lebih daripada itu, dengan mudahnya akses ke data awam, ia akan mendorong budaya kolaborasi dan inovasi terbuka di kalangan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk sektor swasta, kerajaan, dan komuniti sivil. Akhirnya, semangat ketelusan dan pembaharuan yang dibawa oleh Akta Kebebasan Maklumat (FOI) akan membantu Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat inovasi digital di rantau ini.

Dengan pertambahan interaksi antara perniagaan serantau atau global, keperluan untuk ketelusan menjadi semakin penting. Dengan melaksanakan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), Malaysia bukan sahaja menetapkan piawaian untuk dirinya tetapi juga menjadi salah satu pemimpin di rantau ASEAN untuk menggalakkan jirannya untuk mengambil langkah yang sama.

Ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak hanya bersedia untuk mengikut norma ekonomi global moden, tetapi juga berusaha menjadi contoh terbaik untuk negara-negara lain. Hal ini dapat membuka jalan bagi kerjasama dan integrasi ekonomi rantau yang lebih lancar.

Yang lebih penting, melalui komitmen Malaysia ke arah keterbukaan dan akauntabiliti, negara ini berada dalam posisi yang menguntungkan di arena global.

Kesimpulannya, Akta Kebebasan Maklumat (FOI) bukan sahaja merupakan batu loncatan demokrasi bagi Malaysia tetapi juga pemangkin ekonomi baharu yang penting. Usahawan, pembuat dasar, dan terutamanya warga Malaysia akan memperoleh faedah maksimum daripada inisiatif terpuji ini.

-- BERNAMA

Ngo Sheau Shi merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)