TINTA MINDA

PUASA RAMADAN DIDIK UMAT ISLAM HINDARI TREND IBADAH TULAR

22/03/2024 10:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Abdul Hanis Embong

Ramadan, bulan penuh berkat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia, ia tidak hanya mempunyai makna amalan puasa semata-mata dan lebih daripada sekadar menahan lapar dan dahaga.

Ramadan merupakan Madrasah Tarbawiyyah atau Sekolah Pendidikan yang amat signifikan dalam diri umat Islam, manakala puasa adalah sebuah proses pembelajaran yang mendalam dalam mengajarkan nilai-nilai moral, disiplin diri, dan ketaatan kepada Allah SWT secara ikhlas.

Namun, dalam era digital moden yang dipenuhi dengan kemudahan akses kepada pelbagai ibadah dan penyebaran informasi, terdapat cabaran baru yang perlu dihadapi oleh masyarakat Muslim kini iaitu trend ibadah viral.

Ibadah viral merujuk kepada fenomena di mana amalan-amalan ibadah tersebar dengan cepat dan meluas melalui media sosial dan internet. Meskipun pada permulaannya mungkin nampak baik dan bersebab, namun, tidak semuanya yang viral adalah benar atau sesuai dengan ajaran Islam yang benar.

Dalam kebanyakan keadaan, ibadah-ibadah viral ini boleh menimbulkan keraguan, kekeliruan, dan ketidak ikhlasan dalam agama yang tidak dipersetujui sama sekali.

Mendidik umat Islam agar menghindari ibadah viral menjadi satu aspek penting yang wajar dilakukan dalam bulan puasa. Ini bukanlah hanya tentang menahan diri dari makanan dan minuman siang hari, tetapi juga menuntut untuk memperbaiki kualiti ibadah secara menyeluruh.

Impak negatif trend ibadah viral

Ibadat viral atau ibadat tular kini menjadi trend ikutan umat Islam khususnya di Malaysia semata-mata untuk ‘content’.

Kebanyakan perkongsian ibadat dikongsikan oleh mereka terlibat dalam media sosial sama ada berbentuk gambar mahupun video pendek dengan caption tertentu.

Perkongsian tersebut akan mendapat perhatian warga media sosial yang lain serta mendapat tanda like sebelum ia ditularkan dengan perkongsian yang tinggi. Perkara ini secara langsung menaikkan populariti dan membuatkan mereka terkenal dan mendapat perhatian yang meluas, mendedahkan diri kepada unsur riak, sombong, ego, bangga diri dan takbur.

Keadaan ini menjadi semakin membimbangkan dari masa ke semasa apabila ia turut diikuti oleh para pempengaruh yang memiliki pengikut yang ramai serta para agamawan.

Ibadah tersebut jika dikongsikan oleh pihak lain dan menjadi viral, ianya boleh diterima, namun individu yang memuatnaik ibadat diri sendiri dengan niat viral adalah satu masalah. Ibadat khusus seperti solat, haji, zakat, umrah, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya sedaya upaya tidak perlu diviralkan kerana dibimbangi ibadah tersebut tidak diterima oleh Allah SWT.

Perkara tersebut dapat menjejaskan niat utama ibadah itu sendiri yang akhirnya merugikan pahala amalan serta memalingkan hati daripada Allah SWT, akhirnya membawa kepada kerugian dunia mahupun akhirat. Nabi SAW bersabda “Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalannya” (al-Thabarani, 5942) dan “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat” (al-Bukhari, 1).

Contoh Ibadat viral yang terdapat dalam haji dan umrah seperti mencium hajarul aswad, live ketika tawaf dan saie, yang sepatutnya dilaksanakan secara khusuk dan memperbanyakkan mengingati Allah SWT sepanjang ibadat berlangsung. Namun, sebaliknya ramai yang cenderung menularkannya kepada umum, perkara ini mendapat perhatian dari pihak berautoriti seperti respon daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2023), yang berpendapat melakukan aksi viral seperti di atas sebaiknya ditinggalkan.

Hal Ini kerana tawaf dan sa’ie termasuk dalam ibadat yang sepatutnya ditumpukan dalam acara ibadat seperti berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi SAW dan tawajjuh hati kepada Allah SWT. Perlakuan badan yang menjaga tata susila serta adab ketika tawaf dengan memenuhi syarat serta hati yang sentiasa kehambaan dan tawaduk kepada Allah hendaklah diwujudkan ketika tawaf atau sa’ie.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barangsiapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.” Riwayat al-Tirmizi (960)

Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pendapat kebanyakan ahli ilmu, antaranya, Imam al-Tirmizi: “Dan yang beramal atas perkara ini di sisi kebanyakan ulama. Justeru mereka berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada Allah atau kerana ilmu.” (Sunan al-Tirmizi, 2/285)

Fungsi puasa Ramadhan menanam sifat ikhlas

Ibadah puasa merupakan ibadah yang paling sesuai untuk diikuti bersama bagi menghindari isu ibadah viral ini. Kerana amalan puasa itu sendiri amat unik dan ia tidak sesuai ditularkan seperti ibadah-ibadah lain kerana ia berlangsung sepanjang hari tanpa makan dan minum. Maka antara objektif utama yang digariskan dalam kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, puasa merupakan amalan rahsia dan batin yang tidak dimasuki olehnya perasaan riak. Maka ibadat puasa hakikatnya mendidik umat Islam agar merahsiakan ibadat seharian daripada pengetahuan umum yang akhirnya membawa kepada niat yang ikhlas.

Manakala puasa pada tingkatan khusus iaitu yang lebih tinggi daripada puasa umum memberi kesedaran spiritual yang mendalam. Lapar dan dahaga di siang hari perlu dijaga, begitu juga amalan ibadah viral ini perlu turut dijaga agar tidak meresapi diri. Spiritual yang mampan mampu membantu umat Islam supaya lebih sensitif terhadap apa yang mereka laksanakan ketika ibadah dan memikirkan keutamaan aspek agama mengatasi daripada keuntungan duniawi.

Di samping itu, mengaplikasikan dan komited dalam membuat amalan sunnah ketika ramadhan juga merupakan tunjang utama menghindari isu ini. Nabi Muhammad SAW selalu melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan, tanpa mengharapkan pujian atau pengakuan dari manusia. Beliau mengajarkan umat Islam untuk melakukan amal-amal ibadah dengan ikhlas semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dengan mempelajari kehidupan Nabi Muhammad SAW dan mengikuti sunnah keikhlasan beliau dalam beribadah, umat Islam dapat menemukan panduan yang jelas dalam menghadapi masalah ibadah viral ini. Keikhlasan beliau dalam menjalankan ibadah mengajarkan umat Islam untuk berhati-hati dalam perlaksanaan ibadah, dan sentiasa mengutamakan keikhlasan dalam menjalankan ibadah demi mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”. (al-Baniyyah, 5).

Dalam zaman digital yang dipenuhi dengan kecanggihan internet, umat Islam dituntut untuk menjauhi perkara-perkara trend viral yang tidak selari dengan ajaran Islam, sebaliknya mengikuti contoh keikhlasan Nabi Muhammad SAW. Dengan memahami nilai-nilai sejagat dari puasa dan mengikuti teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, umat Islam dapat menavigasi langkah dengan bijak dalam melayari lautan dunia yang penuh dengan pengaruh digital dan akhirnya menghiasi diri dengan akhlak terpuji selari dengan kehendak Allah SWT.

--BERNAMA

Dr. Abdul Hanis Embong ialah Timbalan Dekan (Bakat & Penyelidikan), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)