TINTA MINDA

MEMBANGUN GENERASI KHAIRA UMMAH TEMA SAMBUTAN JUBLI EMAS JAWI 2024

26/12/2023 10:11 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Datuk Mohd Ajib Ismail

Umat Islam seharusnya berusaha meneladani kecemerlangan generasi terdahulu iaitu para sahabat dan tabi’in dalam usaha pembangunan ummah. Golongan tersebut diiktiraf sebagai umat terbaik kerana iltizam yang tinggi dalam memperkukuh akidah, akhlak dan syariat. Mereka adalah generasi yang dikenali dengan kegigihan menyebarkan dakwah ke pelosok dunia demi memastikan ajaran Islam menjadi rahmat kepada seluruh alam. Usaha menyampaikan risalah Islam berjalan seiring dengan tindakan membanteras kekufuran dan kesyirikan yang berleluasa dalam masyarakat. Perkara tersebut dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Generasi ‘khaira ummah’

Sesebuah masyarakat yang disifatkan sebagai ‘khaira ummah’ mesti berupaya menjadi contoh daripada segi akhlak, menyeru kepada perkara makruf, mencegah perbuatan mungkar dan beriman kepada Allah SWT. Agenda melaksanakan ‘amar makruf’ dan ‘nahi mungkar’ pula harus bermula daripada diri sendiri dan ahli keluarga sehinggalah terbina sebuah masyarakat yang sejahtera sebagaimana maksud sebuah ungkapan berbahasa Arab iaitu “Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain ke arah kebaikan.” Seruan tersebut juga selaras dengan peringatan Allah SWT dalam al-Quran iaitu surah al-Baqarah ayat 44 yang bermaksud “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Justeru generasi ‘khaira ummah’ bukan sekadar mencegah diri sendiri daripada berbuat kejahatan sebaliknya berusaha menghalang orang lain daripada melakukan kemungkaran mengikut kemampuan masing-masing. Dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim dan Ahmad). Dengan cara tersebut, segala bentuk ajaran sesat dan menyeleweng dapat dibanteras manakala kefahaman dan penghayatan Islam dapat dipertingkat.

Ciri-ciri umat yang terbaik

Antara ciri-ciri lain umat yang terbaik adalah melaksanakan segala usaha dan amalan berlandaskan prinsip kehambaan dengan sentiasa meyakini pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 11 yang bermaksud “Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.” Ayat tersebut merupakan jaminan kepada orang yang beriman bahawa walaupun musuh berusaha melakukan perbuatan jahat namun tindakan tersebut tidak akan mendatangkan kemudaratan kerana dijanjikan pemeliharaan Allah SWT.

Umat yang terbaik mempunyai komitmen yang tinggi dalam memastikan hubungan dengan Allah dan sesama manusia sentiasa dijaga. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 112 yang bermaksud “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan).

Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).” Masyarakat yang gagal memelihara hubungan dengan Allah, derhaka, kufur, dan melampaui batas akan ditimpa kemurkaan dan kehinaan. Manakala masyarakat yang menjaga hubungan sesama manusia sama ada melalui perjanjian perdamaian atau ‘muamalah’ yang baik akan melahirkan suasana aman dan sejahtera. Umat berkualiti yang mempunyai ciri-ciri ‘khaira ummah’ sentiasa mengutamakan keharmonian, berkasih-sayang, mempunyai kemantapan rohani, melaksanakan kebajikan, menegakkan keadilan, dan menyantuni kemanusiaan.

Ummah yang terbaik juga mempunyai sifat bersegera dalam melaksanakan kebajikan sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 114 yang bermaksud “Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera pada mengerjakan kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.” Masyarakat yang bercirikan ‘khaira ummah’; bukan semata-mata menjalani kehidupan untuk kebaikan, keselamatan dan kebahagiaan diri sendiri tetapi juga menyumbang manfaat serta memberikan inspirasi kepada orang lain dalam melakukan kebajikan.

Tema sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024

Dalam sejarah umat manusia semenjak berabad, umat Islam diiktiraf sebagai umat yang terbaik kerana ketaatan kepada perintah Allah SWT dan tidak mengabaikan seruan ‘amar makruf’ dan ‘nahi mungkar’. Sempena Jubli Emas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 1 Februari tahun depan, pihaknya memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan yang bermaksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah. ‘Khaira Ummah’ hanya dapat dilahirkan apabila gerak kerja dakwah iaitu amar makruf dan nahi mungkar diimplementasikan dalam masyarakat serta Islam menjadi “way of life”.

Dalam konteks tersebut, azam dan tekad JAWI adalah untuk memperluas fungsi dan peranan selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan. Perkara utama yang perlu diberikan perhatian serius ialah proses peneguhan keimanan berlandaskan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. ‘Khaira Ummah’ yang didambakan oleh semua adalah sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mencapai kemajuan daripada aspek fizikal dan material tetapi juga dipandu dengan nilai akhlak dan nurani selaras dengan misi membangun Malaysia Madani.

-- BERNAMA

Datuk Mohd Ajib Ismail ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)