TINTA MINDA

PENGURUSAN PERUBAHAN IKLIM MELALUI PENGGUNAAN TEKNOLOGI TERBAHARU

20/12/2023 10:31 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Profesor Rusli Abdullah

Perubahan iklim kini telah menjadi antara topik utama yang dibicarakan oleh semua pihak terutamanya yang berkepentingan dalam mengurus fenomena atau kesan perubahan iklim secara sistematik khususnya bagi menghindari bencana yang mungkin berlaku akibat perubahan iklim.

Bentuk bencana yang biasanya berlaku meliputi bencana alam seperti banjir besar, pemanasan global yang menyebabkan keadaan muka bumi mudah terbakar dan pelbagai isu lain yang boleh berlaku di luar jangkaan.

Dalam hal ini, pengurusan perubahan iklim yang baik dengan bantuan peralatan sokongan teknologi terbaharu seperti sistem kecerdasan buatan (artificial intelligence -AI), teknologi data raya (big data), perkomputeran awan (cloud computing) dan internet benda (Internet of Things - IoT) serta teknologi lain yang berkaitan dilihat dapat membantu pihak berkepentingan seperti ahli kaji cuaca, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan masyarakat awam untuk sama-sama mengurus dan membangunkan sistem amaran awal (Early Warning System - EWS) bagi sesuatu kejadian atau bencana yang tidak diingini dari berlaku dan juga mengambil tindakan atau langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya.

Seterusnya, maklumat lain yang disimpan di dalam pangkalan data raya juga boleh dianalisis dan dipersembahkan kepada mereka yang terlibat dalam masa nyata (real time) bagi mengetahui data dan maklumat yang terkini supaya tahap kesediaan bagi menghadapi bencana dapat dijamin untuk semua pihak dengan fenomena perubahan iklim ini.

Peranan teknologi terbaharu sebagai alatan sokongan pengurusan perubahan iklim

Peranan teknologi terbaharu dalam pengurusan perubahan iklim yang mengakibatkan banjir besar dan sebagainya boleh dikaitkan dengan pembangunan sistem pengurusan maklumat bersepadu (SPMB) terutamanya bagi memperkukuhkan program atau aktiviti pengurusan dan pentadbiran perubahan iklim tersebut. Ia merangkumi fungsi seperti alat ramalan peristiwa kecemasan atau bencana yang dilengkapi dengan sistem AI dan alatan pengesan IoT bagi mengeluarkan maklumat awal seperti titik panas kesan daripada pemanasan global dan membuat panggilan kecemasan kepada mereka yang berkepentingan melalui penggunaan sistem aplikasi mudah alih yang boleh dicapai di mana-mana dan pada setiap masa.

Melalui sistem itu, data peringkat global yang disambungkan kepada organisasi di peringkat antara bangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu melalui Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) dan Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) membolehkan pihak terlibat membuat kajian dan pemodelan serta ramalan bagi permasalahan yang timbul kesan daripada perubahan iklim ini.

Justeru, kewujudan SPMB itu dapat dimanfaatkan yang berfungsi untuk menyimpan semua rekod termasuk jenis bencana dan rekod mangsa serta barangan keperluan mereka di dalam pangkalan data raya terutamanya di pusat penempatan bagi tujuan perancangan perolehan, penggunaan dan segala aspek yang berkaitan dengannya.

Di dalam hal ini, pengagihan makanan dan bekalan ubatan juga dapat dimanfaatkan melalui sistem aplikasi SPMB yang disambungkan dengan sistem pembekal melalui sistem rantaian bagi tujuan perolehan dan pengagihan kepada penerima dengan mudah dan berkesan.

Di samping itu, penggunaan sistem aplikasi turut dilihat dapat mempertingkatkan fungsi kawalan ekosistem dan sistem pemantauan penempatan mangsa seperti banjir melalui sistem aplikasi dan peranti bergerak seperti drone dan CCTV yang dilengkapi dengan sistem talian rangkaian komputer terkini iaitu sistem telekomunikasi 5G.

Seterusnya, sistem ramalan keadaan cuaca juga dapat dihebahkan kepada mereka yang berkepentingan melalui sistem pintar yang menggunakan teknik atau teknologi AI bagi membolehkan pengguna membuat tindakan awalan bagi menghadapi permasalahan yang mungkin timbul serta langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, program atau aktiviti tambahan di pusat pemindahan sementara (PPS) dapat diikuti dengan sambungan kepada sistem CCTV dengan mempelbagai program tertentu untuk pendidikan dan hiburan di PPS melalui teknologi masa nyata (Virtual Reality -VR).

Pada masa yang sama, pihak pengurusan bencana juga boleh mendapatkan maklum balas dengan cepat terhadap perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan mereka melalui sistem itu yang dihubungkan dengan pengkomputeran awan iaitu samada secara setempat atau global ataupun kedua-duanya sekali.

Isu dan cabaran pelaksanaan teknologi terbaharu

Di dalam pelaksanaan teknologi terbaharu bagi memperkukuhkan mutu pengurusan dan meningkatkan daya tahan sistem pengurusan perubahan iklim ini, terdapat beberapa isu dan cabaran yang perlu diambil penekanan dengan teliti di samping membuat perancangan dan keputusan yang strategik oleh pihak yang berkepentingan yang berkenaan.

Ini termasuk isu utama yang melibatkan penyediaan infrastruktur yang baik bagi memastikan pengurusan dan perkhidmatan yang diperolehi melalui sistem aplikasi mudah alih yang disambungkan dengan SMPB dapat berfungsi pada bila-bila masa dan dicapai di mana-mana sahaja.

Selain itu, mereka yang terlibat dengan SPMB bagi pengurusan perubahan cuaca juga perlu bersikap terbuka di dalam meningkatkan tahap pengetahuan (upskilling) mereka dengan menghadiri latihan dari semasa ke semasa terutama yang melibatkan penggunaan teknologi terbaharu yang sentiasa berubah supaya mutu perkhidmatan sistem ini dapat dilestarikan dan menjadi lebih kompetitif.

Seterusnya, isu privasi data dan penggunaan sistem yang beretika juga perlu dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Ini adalah kerana ianya akan memberi nilai tambah kepada SPMB dan meningkatkan kepercayaan mereka yang terlibat untuk tujuan pelaksanaan pada masa terdekat atau juga untuk masa panjang.

Di samping itu, pihak yang berkepentingan perlu memastikan proses pendigitalan juga berlaku secara inklusif terutamanya bagi memastikan semua pihak di dalam mengarungi arus perdana penggunaan teknologi terbaharu yang terkini mencapai sasaran tertentu dan berjalan dengan lancar.

Teknologi terbaharu perkukuh pengurusan perubahan iklim

Kesimpulannya, penggunaan teknologi terbaharu dilihat sangat berupaya dalam memperkukuhkan pengurusan perubahan iklim ke tahap yang lebih baik terutamanya bagi memastikan semua urusan dapat dilaksanakan dan diselenggarakan secara digital dengan efisyen dan berkesan.

Kemunculan teknologi terbaharu itu akan mengubah norma lama pengurusan dan pemantauan kepada norma baharu yang menekankan kepada aspek atau urusan yang lebih berbentuk proses pendigitalan yang lebih terurus dan bersistematik.

Seterusnya, semua pihak yang terlibat dengan sistem aplikasi SPMB diyakini dapat memperolehi banyak manfaat yang lebih komprehensif di samping memperbaiki prestasi mutu perkhidmatan dan sistem penyampaian ke arah pendigitalan pengurusan perubahan iklim untuk lebih berdaya saing serta berdaya maju pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Profesor Rusli Abdullah ialah Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM, Ahli Pemikir di Institut Pengajian Sosial (IPSAS), UPM dan Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)