TINTA MINDA

KELESTARIAN LEMBAGA TABUNG HAJI SEBAGAI INSTITUSI KEWANGAN ISLAM YANG UNGGUL

11/12/2023 10:06 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Ustaz Imran Mohammad Khayat

Memperoleh haji mabrur adalah harapan setiap umat Islam ketika menjalani ibadah haji di Tanah Suci. Oleh itu, setiap umat Islam yang ingin mengerjakan ibadah haji perlu memastikan sumber pendapatan yang digunakan untuk perbelanjaan haji adalah halal.
Lembaga Tabung Haji (TH) telah memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat di negara ini menabung secara patuh syariah sebagai persiapan untuk menjalani ibadah haji. Selain itu, TH kekal komited untuk mencapai misi dengan memberikan pulangan yang halal dan ‘toyyib’ kepada pendeposit.

Pada era pra-penubuhan TH pada tahun 1962, rancangan penubuhan TH dibentangkan kepada Sheikh Mahmoud Shaltout, Rektor Universiti Al-Azhar serta delegasi dan cendikiawan dari universiti berkenaan. Ini kerana, masyarakat Islam di Malaysia ketika itu begitu cakna tentang pengharaman riba, justeru mereka mengelak menyimpan wang di perbankan konvensional. Rancangan penubuhan TH kemudian mendapat kelulusan serta penghargaan daripada Sheikh Mahmoud Shaltout serta delegasi dan cendikiawan universiti itu. Ini menunjukkan komitmen terhadap prinsip-prinsip syariah telah menjadi nadi penubuhan TH.

Perkembangan Tadbir Urus Syariah di TH
Setelah melalui enam dekad penubuhannya, TH telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan operasinya berjalan dengan cekap agar terus berada pada barisan hadapan sebagai agensi patuh syariah yang dihormati bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh TH untuk memperkukuh tadbir urus adalah dengan memperkenalkan amalan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah dan menubuhkan panel Jawatankuasa Penasihat Syariah yang terdiri daripada pakar-pakar syariah dan kewangan Islam.

Tadbir urus syariah terus diperkukuhkan lagi dengan pelantikan pakar syariah sebagai antara ahli panel pelaburan TH. Secara umumnya, di bawah Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah ini juga terdapat fungsi-fungsi syariah yang lain seperti Perundingan dan Kajian Syariah, Semakan dan Pemantauan Syariah, Pengurusan Risiko Syariah dan Audit Syariah dalam memastikan kepatuhan syariah secara komprehensif. Selain itu, TH juga telah melancarkan Rangka Kerja Pengawasan (RKP) TH pada bulan September 2021.

Penubuhan RKP dan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah menjadi asas kawalan tadbir urus TH bagi memastikan mandat pengurusan haji dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan supaya ia kekal sebagai entiti pengurusan haji bertaraf dunia.

Penerapan Kefahaman Konsep Istito’ah Dalam Ibadah Haji
Ibadah haji memiliki keunikan tersendiri kerana ia menggabungkan dua aspek, iaitu aspek material dan fizikal. Ini berbeza dengan solat dan berpuasa yang hanya memerlukan aspek fizikal, seperti menahan lapar dan dahaga. Manakala, zakat memerlukan aspek material, iaitu mempunyai harta yang mencukupi nisab dan mencapai tempoh masa yang tertentu.

Secara umumnya, umat Islam yang belum mencapai tahap ‘istito’ah’ (kemampuan) adalah tidak diwajibkan untuk menjalankan ibadah haji. Konsep istito'ah bukanlah sesuatu yang baru dan telah dibincangkan oleh para ulama dan fuqaha' daripada empat mazhab sejak dahulu.
Konsep istito'ah merangkumi tiga aspek, iaitu kemampuan kewangan (istito'ah al-maliyah), kemampuan fizikal (istito'ah al-badaniyah) dan kemampuan keselamatan diri (istito'ah al-amniyyah).

Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa istito’ah adalah satu daripada syarat umum wajib haji, maka individu yang tidak mempunyai istito’ah, kewajipan hajinya tergugur. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran, Ayat 97 yang bermaksud:
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Menurut Imam Al-Syarbini, syarat istito’ah adalah mencakupi aspek keupayaan kewangan yang cukup bagi perbelanjaan untuk berangkat ke Mekah dan pulang ke rumah, kemampuan kewangan dalam memberi nafkah kepada ahli keluarga yang ditinggalkan serta melunaskan hutang-piutang sebelum pergi berangkat melaksanakan haji.



Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa kewajipan haji adalah kepada individu yang mempunyai kestabilan kewangan. Konsep istito’ah ini penting untuk difahami setiap Muslim. Jika keupayaan kewangan tidak mencukupi untuk menampung kos haji, maka gugurlah kewajipan menunaikan haji.

Bagaimanapun, usaha dan tekad menunaikan haji sepatutnya ditanamkan dalam fikiran dan sanubari hati setiap Muslim. Sebagai umat Islam, mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab dan hendaklah berusaha bersungguh-sungguh memastikan kewangan mencukupi dan memenuhi syarat istito’ah bagi membolehkan mereka mengerjakan haji sebagai rukun Islam kelima.

Dalam konteks Bantuan Kewangan Haji yang diberikan saban tahun, ia adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh TH dan kerajaan berdasarkan budi bicara, bukannya hak yang diberikan kepada jemaah haji. Tanggungjawab untuk mencukupkan bayaran haji adalah bergantung kepada kemampuan individu itu sendiri.
Mandat TH adalah untuk menjalankan operasi haji dan juga pengurusan dana ataupun pelaburan. Di dalam mandat tersebut, tidak termaktub pemberian Bantuan Kewangan Haji kepada bakal-bakal jemaah haji negara bagi mencukupkan keperluan menunaikan ibadat tersebut.

Peranan TH Meneruskan Legasi Kejayaan

Kejayaan penubuhan TH sejak 60 tahun yang lalu sebagai Institusi Kewangan Islam pertama di Malaysia, telah memainkan peranan besar dalam mentransformasikan sistem ekonomi umat Islam dengan menyediakan instrumen kewangan, penyertaan umat Islam kepada ekonomi sebenar dan pelaburan yang berlandaskan syariat. Kejayaan ini telah menjadikan TH sebagai model kepada negara-negara Islam yang lain.

Oleh yang demikian, imej TH sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia kerana ia meningkatkan imej Malaysia di persada dunia. Keruntuhan TH sebagai Institusi Kewangan Islam boleh dianggap sebagai kegagalan yang mewakili sebahagian besar umat Islam di Malaysia terutama pendeposit yang setia dengan TH.

Kita boleh mengambil iktibar sebuah institusi kewangan Islam di Turki, iaitu Ihlas Finance House yang terpaksa ditutup pada tahun 2001 kerana masalah kecairan dan kemelut kewangan. Dengan saiz dana TH yang besar hampir mencecah RM90 bilion, umat Islam di Malaysia perlu mengambil iktibar akan kes kegagalan institusi perbankan Islam tersebut. Dalam konteks TH, maslahah yang paling utama ialah memelihara kelestarian TH itu sendiri. Ketika ini, TH menanggung lebih 60 peratus daripada jumlah kos sebenar setiap jemaah menunaikan haji. Ia boleh menjejaskan kemampuan kewangan TH pada masa hadapan. Tanggungan bayaran kos sebenar tersebut dilihat boleh menjejaskan keupayaan TH untuk membayar agihan keuntungan yang lebih kompetetif kepada para pendeposit.

Oleh demikian, tiga perkara perlu menjadi pertimbangan kerajaan dan pengurusan TH dari sudut maslahah dan maqasid penjagaan harta. Pertama, kelestarian TH itu sendiri sebagai sebuah entiti yang menguruskan sejumlah dana yang besar. Kedua, maslahah umum keseluruhan pendeposit berbanding sebilangan kecil bakal jemaah haji yang akan menunaikan haji pada tahun tertentu dan yang ketiga aspek istito’ah yang menjadi syarat wajib haji itu sendiri.

Tindakan melihat kepada aspek maslahah adalah selaras dengan kaedah fiqh iaitu:
تَصَرُّفُ الْأِمَاِم عَلَى الرَّاعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Tindakan dan keputusan pemerintah ke atas rakyat bergantung kepada kemaslahatan umum. Kestabilan TH sebagai institusi kewangan Islam yang terunggul perlu dipelihara dan ianya penting demi menjaga imej serta kepentingan umat Islam di negara ini.
-- BERNAMA
Ustaz Imran Mohammad Khayat dari Bahagian Kumpulan Syariah, Tabung Haji.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)