KETAMADUNAN

REFORMASI, TRANFORMASI MITRA MEMPERKASA MASYARAKAT INDIA

07/11/2023 08:30 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Datuk Anbumani Balan

Selepas terhimpit dengan pelbagai dilema dan kontroversi sebelum ini berhubung penyalahgunaan dana dan dakwaan pengurusan, imej Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) kini semakin segar, menyerlah melalui proses reformasi dan transformasi yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Khasnya di bawah kepimpinan Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh memikul tanggungjawab yang cukup mencabar umpama 'berjalan dalam api'. Pelantikanya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, April lepas tidak boleh dianggap sebagai pengiktirafan politik untuk beliau.

Memulihkan imej MITRA

Beliau memikul tugas dan amanah yang paling merumitkan dan perlu berdepan dengan pelbagai ancaman dan serangan politik termasuk kecaman daripada masyarakat umum setelah imej dan kredibiliti MITRA telah rosak dan tercalar semakin lama.

Bukan senang untuk 'membersihkan MITRA' dalam sekelip mata. Ramanan dan pasukannya perlu mengharungi pelbagai halangan dan rintangan untuk membina 'kehidupan baru ' untuk unit itu demi menjamin 'nambekei' (harapan) masyarakat India di negara ini.

Sudah banyak sangat cerita-cerita negatif berterbangan berkaitan dengan MITRA sejak beberapa tahun lepas. Banyak juga cerita berkaitan 'tangan - tangan ghaib' yang cuba mendominasi dan menguasai agensi tersebut atas nama ' kepentingan politik' sebelum ini. Pemimpin datang dan pergi tetapi MITRA 'tertinggal' begitu sahaja selepas 'dipergunakan'. Itulah nasibnya.

Ramanan yang menjadi tumpuan negara sebagai ‘giant killer’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 telah diberi kepercayaan untuk menyusun, mereformasi dan mentransformasikan MITRA. Beliau sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas tidak menerima sebarang gaji ataupun imbuhan lain. Beliau bersama empat Ahli Parlimen lain yang dilantik oleh Perdana Menteri menjalankan tugas itu demi negara dan masyarakat India khasnya.

MITRA sebelum ini dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) sebelum dijenamakan semula pada 2018. Unit ini telah diperuntukkan RM100 juta ringgit dalam belanjawan negara sejak 2017 untuk melaksanakan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India. Bagaimanapun, MITRA sering berdepan dengan dakwaan gagal menguruskan RM100 juta setiap tahun apabila berlaku situasi di mana sejumlah dana 'dipulangkan' semula kepada Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, tahun ini, MITRA telah memanfaatkan sepenuhnya dana yang diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif dan program untuk masyarakat India. Ini merupakan satu pencapaian yang terbaik untuk MITRA sejak 2016.

Komitmen memperkasa sosioekonomi masyarakat India

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 baru-baru ini bahawa kerajaan akan memperkasakan dan memperkukuhkan lagi MITRA adalah bukti keprihatinan dan komitmen Perdana Menteri untuk memantapkan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Oleh itu, tambahan peruntukan ini diberikan dengan niat khusus untuk membantu menangani keperluan masyarakat India di kawasan-kawasan ini secara lebih efektif. Ini adalah contoh nyata bagaimana kerajaan berusaha untuk memastikan bahawa sokongan dan bantuan yang diberikan sentiasa berada di tempat yang paling memerlukan dalam masyarakat.

Program pembangunan sosioekonomi bersasar merupakan satu langkah yang sangat berkesan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat India. Program Pembasmian Miskin Tegar akan dilaksanakan secara berfasa untuk Ahli Isi Rumah (AIR) masyarakat India miskin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Langkah ini adalah contoh yang sangat prihatin kepada kebajikan rakyat dan inisiatif ini akan diperluaskan ke seluruh negara dalam masa terdekat, memberikan manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Seramai 1,800 ahli isi rumah telah dikenal pasti melalui sistem e-kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di mana pendapatan per kapita mereka adalah kurang dari RM339. Pendapatan per kapita tersebut perlu ditingkatkan untuk membantu ahli isi rumah tersebut keluar dari kategori miskin tegar. Bagi program tersebut sebanyak RM8.24 juta diperuntukkan. Program tersebut juga adalah selaras dengan arahan Perdana Menteri untuk menoktahkan miskin tegar pada tahun ini.

Langkah proaktif jamin kesejahteraan masyarakat

Selain itu, bagi membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan buah pinggang, Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA adalah inisiatif yang amat penting. Program ini memberikan bantuan kewangan yang besar kepada pesakit buah pinggang berbangsa India, dengan menyediakan sumbangan sebanyak RM9,600 setiap tahun untuk kos rawatan. Sehingga kini, program ini telah berjaya membantu 164 pusat dialisis dan 896 pesakit dengan jumlah bayaran sebanyak RM6.91 juta.

Sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih komprehensif untuk membantu golongan B40 dalam masyarakat India, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi program permohonan geran kewangan kepada organisasi yang memenuhi syarat. Sehingga kini, sebanyak 183 organisasi atau badan bukan kerajaan berasaskan pendidikan, sukan, kebajikan, ekonomi dan latihan kerjaya menerima geran berjumlah RM27.19 juta.

Segala program dan inisiatif ini adalah bukti komitmen yang kukuh terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti India di negara ini. Inisiatif-inisiatif ini memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat India mencapai kesejahteraan yang lebih baik.

Ini adalah langkah proaktif dalam memastikan bahawa sokongan dan bantuan yang diberikan benar-benar menyentuh individu dan kumpulan yang memerlukan.

Melangkah ke hadapan

Saya juga tertarik untuk memetik ucapan Ramanan ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di mana beliau menzahirkan matlamat untuk memastikan masyarakat India, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan terkesan dengan kemiskinan bandar, dapat ditingkatkan kepada taraf yang seiring dengan kemajuan negara.

Sudah pasti, segala usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakan segala program yang dirancangkan. Tanggungjawab bersama untuk meraih kemenangan. Sudah-sudahlah menuding jari antara satu sama lain. Sekiranya ada sebarang kritikan, teguran ataupun amaran, berilah secara rasional dan konstruktif. Gunakanlah peranan media sosial untuk menyebarkan fakta-fakta yang sahih. Jangan kerana 'nila setitik rosak susu sebelangga'. Ingatlah, serangan di media sosial dan putar belit fakta tidak akan memberikan sebarang manfaat kepada komuniti India. Hentikan fitnah!

Pasukan Petugas Khas juga telah menempatkan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Jabatan Integriti serta agensi berkaitan yang lain untuk memantau segala proses dalaman dan luaran MITRA. Ramanan juga telah mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan beliau sendiri akan terlibat secara aktif dan proses pemantauan. Sudah pasti proses perlaksanaan akan menjadi tumpuan selepas ini.

Sudah tiba masanya MITRA mara dengan lebih yakin lagi demi kesejahteraan, kemakmuran dan kegemilangan masa depan masyarakat India di negara ini. Jangan jadikannya untuk agenda politik .

-- BERNAMA

Datuk Anbumani Balan ialah penganalisis politik.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)