PENA WANITA

KONSEP 'KERJA SEBAGAI IBADAH' TERAS MEMBASMI BUDAYA RASUAH

06/11/2023 09:43 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Rasuah adalah amalan tidak bermoral yang menyalahi undang-undang. Isu rasuah diibaratkan sebagai isu yang tidak pernah tamat walaupun pelbagai tindakan diambil oleh pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dari masa ke masa, statistik menunjukkan jumlah tangkapan serta pendakwaan terus meningkat sama ada dalam kalangan penjawat awam, ahli politik malah dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) serta Institut Integriti Malaysia (IIM) selain dasar-dasar yang digubal termasuk Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023, dilihat masih tidak dapat mengekang amalan rasuah.

Lebih membimbangkan, SPRM melaporkan berlaku peningkatan kes rasuah berskala besar membabitkan sindiket jenayah dan kartel serta penjawat awam. Peningkatan tersebut dipercayai kesan kegawatan ekonomi yang menyebabkan semakin ramai individu berada dalam keadaan terdesak, malah kelemahan nilai moral dan pemikiran individu itu sendiri termasuk gagal mengawal nafsu dan sikap tamak. Memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, keadaan diburukkan dengan sistem nilai dalam kalangan penjawat awam yang semakin longgar, menyebabkan semakin ramai bersekongkol dengan sindiket dan kartel untuk melakukan rasuah.

Natijahnya, rasuah muncul dalam pelbagai bentuk, antaranya pegawai awam menuntut hadiah sewaktu melaksanakan perkhidmatan; politikus menyalahgunakan wang rakyat dan memberi projek awam kepada kawan, keluarga serta pembiaya mereka serta syarikat merasuah pegawai untuk projek besar. Justeru, istilah under-table, hulur, duit kopi, pengeras, penguat kuasa itu dibeli dan sebagainya seolah-olah sudah menjadi selalu kita dengar.

Di peringkat kerajaan tempatan juga, dilaporkan berlaku kes rasuah apabila terdapat unsur salah guna kuasa khususnya dalam pemberian kelulusan serta tindakan yang mengatasi kehendak perancangan, antaranya meluluskan pembangunan di sensitif alam sekitar seperti lereng bukit, kawasan tadahan air dan kawasan pertanian sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai bencana yang memberi impak bukan sahaja terhadap masyarakat, malah alam sekitar itu sendiri.

Rentetan itu pada tahun 2020, Laporan Transparency International menyenaraikan Malaysia berada di tangga 57 berbanding tangga 51 pada tahun 2019. Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2020 tersebut memberi gambaran bahawa, amalan rasuah di negara ini semakin meruncing sehingga jatuh enam tangga berbanding 180 buah negara yang lain. Jika diamati, dari tahun 1995 hingga 2020, Malaysia tidak pernah menaikkan kedudukannya dalam lingkungan 10 buah negara yang berada di tangga teratas indeks ini. Mengapakah kita sukar menjejak kaki dalam golongan 10 buah negara teratas yang mengawal serta memastikan amalan rasuah tidak bermaharajalela dalam segala aspek kehidupan kita!

Natijahnya, budaya rasuah membawa pelbagai kesan negatif kepada negara, kerajaan dan masyarakat. Paling utama, pembudayaan rasuah merupakan satu ancaman yang memberi kesan ketidakadilan terhadap pengagihan ekonomi negara. Rasuah turut menghakis kepercayaan, melemahkan demokrasi, menyekat pembangunan ekonomi dan seterusnya memburukkan ketidaksamaan, kemiskinan, perpecahan masyarakat dan krisis alam sekitar.

Agenda Mengekang Rasuah

Hakikatnya Malaysia memiliki sistem tadbir urus yang baik, namun dikhianati dan dirosakkan segelintir mereka yang tidak berintegriti. Natijahnya sistem tadbir urus negara sudah melalui banyak perubahan dan transformasi, tetapi sistem yang baik tidak akan ke mana jika pegawai kerajaan yang melaksanakan sistem itu tidak berintegiriti. Justeru, sudah sampai masanya pelaburan dibuat untuk meningkatkan modal insan atau integriti pegawai kerajaan berkaitan pencegahan rasuah sebelum terlambat kerana mereka merupakan tulang belakang negara. Kaedah ini diyakini mampu membentuk penjawat awam atau lebih tepat lagi ‘insan’ yang berintegriti, beriman, serta tahu membezakan antara yang baik dan buruk. Selain itu, ketelusan sistem pentadbiran dan pengendalian projek diperlukan untuk memerangi rasuah.

Kerajaan turut disaran mengambil tindakan tegas yang drastik daripada sudut perundangan sebagai vaksin untuk mencegah rasuah dan bukannya sekadar memberi amaran sahaja. Malah terdapat cadangan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan mahkamah khas rasuah di semua peringkat penghakiman agar kes yang dibawa ke muka pengadilan dapat dipercepatkan perbicaraannya sekali gus dijatuhi hukuman.

Gerakan untuk membasmi rasuah ini perlu dilakukan setiap hari agar ia menjadi peringatan kepada semua pihak. Masyarakat khususnya perlu diberi kefahaman yang lebih terperinci tentang definisi rasuah dan perbuatan serta tindakan yang dapat diklasifikasikan sebagai rasuah. Jika masyarakat faham dan sedar tentang perkara ini, rasa jijik kepada rasuah akan muncul dan akhirnya masyarakat akan menjauhkan diri daripada gejala tersebut.

Paling utama, gejala rasuah dapat dikekang jika setiap daripada kita mengamalkan konsep 'kerja sebagai ibadah', yakni kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk meraih pendapatan dan keredhaan daripada Allah. Berteraskan konsep ini, segala tugas dapat dilaksanakan dengan penuh amanah, dedikasi dan berintegriti kerana dalam diri kita telah tertanam kukuh bahawa usaha kita telah pun diberi ganjaran yang setimpal melalui gaji, maka tidak perlu ‘ganjaran’ tambahan akibat melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Ekoran itu, pendedahan mengenai jenayah rasuah perlu diberi seawal mungkin kepada masyarakat. Kesedaran mengenai keburukan perbuatan rasuah perlu dimasukkan dalam silibus sekolah bermula dari akar umbi lagi. Jika daripada usia muda lagi masyarakat telah dididik tentang jijiknya rasuah dan maksud sebenar rasuah, gejala tersebut dapat dibasmi dengan lebih berjaya. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia juga perlu mempergiatkan aktiviti kesedaran memerangi rasuah dalam kalangan mahasiswa dengan mewujudkan subjek/kursus berteraskan rasuah serta melibatkan agensi-agensi kerajaan dalam memberi pendidikan berkenaan isu rasuah. Sejak sekian lama diakui elemen pendidikan dapat beri kesedaran kepada generasi muda negara tentang keburukan budaya rasuah. Golongan belia misalnya boleh dijadikan paksi kepada usaha membasmi gejala rasuah di negara ini kerana mereka mempunyai daya pemikiran yang kreatif bagi menggerakkan kempen dalam mencegah jenayah terbabit dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya, kesedaran sejak awal serta pendidikan agama mampu menjadi instrumen penting dalam mengekang gejala atau salah laku rasuah. Antara punca rasuah masih berlaku adalah kerana kurangnya iman dan nilai kemanusiaan dalam diri, sekali gus memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek kehidupan seseorang individu. Ternyata kecemerlangan yang digapai dalam akademik sahaja namun lemah daripada sudut spiritual, merupakan antara faktor seseorang itu terjerat. Hanya kefahaman agama dan jati diri yang kuat sahaja mampu menjadi benteng agar individu tidak terjebak dengan gejala rasuah kelak yang sewajarnya disemai dan dipupuk menerusi melalui pendidikan formal dan informal yang berterusan.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kenegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)