SALAM DARI BEIJING

MENJEJAKI KAMPUNG HALAMAN PANDA SHENG YI DAN YI YI DI CHENGDU

22/09/2023 04:09 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Nurhafizah Tan

Begitu cepat masa berlalu. Tanpa disedari kini sudah lebih sebulan penulis berkelana di kota Beijing. Di sebalik kesibukan melaksanakan pelbagai tugasan bagi memenuhi program yang disertai, pihak penganjur Program China Asia Pacific Press Center 2023 kali ini membawa pula kumpulan peserta dari negara Asia Pacific ke ibu kota Sichuan iaitu Chengdu, yang juga sinonim sebagai rumah giant panda atau panda gergasi. Kami berkunjung ke sini kira -kira seminggu selepas anak panda gergasi Sheng Yi dan Yi Yi yang dilahirkan di Malaysia dihantar pulang ke China pada 30 Ogos lepas.

Jadi apabila melihat itinerari yang kami akan ke pusat panda, perkara pertama terbayang di minda adalah peluang untuk 'menziarahi' kedua-dua anak panda gergasi tersebut yang telah selamat pulang ke 'kampung halaman' mereka. Sebagai wartawan, peluang itu juga dilihat sebagai bahan berita yang baik memandangkan anak panda itu menjadi simbol tersurat diplomasi China dengan Malaysia.

Program untuk melawat panda ditetapkan pada hari keempat, dan kesemua peserta dan pengelola program begitu teruja untuk melihat mamalia comel berwarna hitam putih itu secara berdepan. Sehari sebelum lawatan, baru terdetik di hati penulis yang mungkin dua anak panda tersebut mungkin ditempatkan di pusat berbeza.

Jadi setelah mendapat makluman daripada pemandu pelancong dan meminta pengesahan daripada pihak Zoo Negara, rupanya harapan untuk 'menziarah' Yi Yi dan Sheng Yi tidak kesampaian memandangkan mereka tidak berada di pusat yang akan dilawati. Kedua-dua anak panda itu dihantar ke Gengda Shengshuping Panda Base manakala kami akan melawat ke Chengdu Research Based of Giant Panda Breeding, yang difahamkan terletak di dua daerah berbeza.

Walaupun begitu, keterujaan untuk melihat beruang yang juga digelar xiong mao itu tetap membara, kumpulan kami bertolak dari hotel yang terletak di tengah ibu kota tepat 8.30 pagi.Menurut pemandu pelancong, haiwan ini akan disimpan di tempat simpanan berhawa dingin jika suhu telah mencecah melebihi 26 darjah celsius kerana sifat semulajadi habitat yang biasanya di hutan gunung.Memandangkan suhu pada masa itu masih boleh mencecah 30 darjah celsius, jadi datang awal pagi adalah antara cara yang boleh meningkatkan peluang untuk bertemu haiwan tersebut di luar bilik kaca.

Ni Hao Mao Dou

Mengambil masa lebih kurang 40 minit untuk sampai, kumpulan kami sangat bertuah kerana diberi laluan VIP dan tidak perlu beratur panjang untuk masuk ke pusat tersebut. Apabila melangkah masuk ke pusat tersebut, terdapat beberapa tempat kepungan haiwan seperti di zoo tapi belum ada panda yang muncul. Selepas berjalan lebih lima minit, kami akhirnya menemui panda pertama yang membuat kemunculan diberi nama Mao Dou.


Kredit : Travelogue of China

Mao Dou merupakan panda gergasi jantan berusia tujuh tahun yang pernah patah kaki (hind limb fracture) sehingga perlu menjalani pembedahan. Namun kini Mao Dou telah pulih selepas menjalani pembedahan dan boleh bergerak lincah termasuk memanjat pokok sendiri.

Gelagat lucunya yang tidak henti-henti memakan buluh menambat hati semua pengunjung yang terhibur dengan kecomelan aksinya. Menurut pihak pengurusan, terdapat hampir 200 panda yang ditempatkan di pusat itu, namun kami hanya berpeluang melihat sekitar lima ekor yang 'membuat kemunculan' di tempat kepungan haiwan. Ada juga yang tidak aktif, bersembunyi dan tidur dalam kepungan namun ramai pengunjung yang masih tidak putus asa menunggu mereka membuat kemunculan.

Semua pengunjung tidak kira peringkat umur sentiasa teruja dengan aksi-aksi spontan yang menjadi tabiat semulajadi haiwan tersebut antaranya ketika mematahkan buluh yang mahu dimakan. 'Wow', 'whoah' dan macam-macam lagi suara dari penonton yang seperti 'kagum dengan kebolehan' haiwan tersebut. Pengunjung juga berpeluang melihat bayi panda menerusi cermin penghadang, dan setiap pengunjung hanya berpeluang melihat kira-kira 30 saat sahaja disebabkan barisan yang panjang.

Chengdu : Ibu Kota yang 'Dipenuhi' Panda

Chengdu merupakan antara tiga bandaraya terpadat di bahagian barat daya China dan terletak lebih 1,500 kilometer dari Beijing juga dikenali sebagai land of panda kerana menjadi habitat haiwan itu. Mungkin disebabkan jolokan tersebut, anda bukan sahaja boleh menemui panda di pusat konservasi sebaliknya di seluruh pelusuk kota raya tersebut dengan beribu patung dan hiasan termasuk mural yang menghiasi. Yang paling menarik perhatian penulis adalah pondok perhentian bas yang direka bentuk berasaskan gambar dan ilustrasi haiwan tersebut.

Malah sebaik tiba di lapangan terbang, binaan seperti tugu panda dan berpuluh patung telah siap sedia menyambut kedatangan pelancong.Gambar dan imej panda juga menghiasi teksi, papan iklan, taman-taman awam serta di kaunter hotel.

Makanan Enak dan Suasana Romantis

Chengdu juga terkenal dengan makanan yang pedas dan hidangan hotpot yang mana kami juga berpeluang mencuba sendiri Sichuan hot pot yang sangat mencabar tahap toleransi dengan makanan pedas.Selain cili, rata-rata makanan juga 'dihangatkan' lagi dengan campuran lada hitam, dan beberapa perasa lain yang menjadikan rasa pedas dan masam.

Rencah makanan amat berbeza dengan hidangan cina yang pernah saya cuba di Beijing. Di Sichuan ia lebih memenuhi citarasa dan seakan sama dengan negara Asia Tenggara. Chengdu juga merupakan ibu kota yang 'hidup', ceria dan meriah pada malam hari dengan limpahan cahaya gemerlapan. Pengunjung boleh mengambil angin dan menjamu mata di sekitar Sungai JinJiang dan menariknya, pelbagai kemudahan di sekitar kawasan itu juga direka dalam bentuk hati termasuk lampu isyarat.


Kredit : Travelogue of China

Pengalaman menelusuri sungai juga adalah yang paling tidak dapat dilupakan dan menjadi kenangan manis semua peserta. Elemen budaya cina juga diterapkan dalam perjalanan menelusuri sungai tersebut, termasuk persembahan permainan alat muzik tradisional di dalam bot. Budaya lain seperti persembahan opera berubah wajah juga antara yang tidak patut dilepaskan jika berkunjung di sini.

-- BERNAMA

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)