KETAMADUNAN

TOLERANSI BERAGAMA ASAS PERPADUAN MALAYSIA MADANI

22/09/2023 10:07 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Khairul Hamimah Mohammad Jodi dan Oo Cheng Keat

Malaysia merupakan sebuah negara unik yang memiliki kepelbagaian kepercayaan, agama, adat, budaya, bangsa, ras dan etnik. Kepelbagaian ini seharusnya dirai dan dipelihara agar perpaduan dan keharmonian dapat dikekalkan. Peradaban inilah yang diidamkan oleh kerajaan ketika ini demi membentuk Malaysia Madani seterusnya menjadi contoh kepada negara luar. Namun, apabila sesetengah pihak atau individu ‘menjentik’ isu sensitif khususnya perkara berkaitan agama dan kepercayaan, maka tidak mustahil peradaban madani yang diharapkan tidak mampu tercapai.

Sebelum perbincangan diteruskan, mari kita telusuri apa yang dimaksudkan dengan madani? Madani didefinisikan sebagai kehidupan masyarakat berasaskan kepercayaan, mempunyai agama, bertindak berlandaskan undang-undang, berakhlak, maju daripada segi pemikiran, material dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan bagi membina sebuah masyarakat. Ini secara tidak langsung membina satu peradaban atau tamadun iaitu kehidupan masyarakatnya mencapai taraf kehalusan tatasusila, minda kelas pertama dan bertoleransi.

Asas pembentukan peradaban madani

Apakah peradaban atau tamadun yang diimpikan oleh Malaysia? Antara elemen yang diharapkan dalam membina madani ialah negara dan penduduknya mencapai taraf kemajuan baik daripada segi material, fizikal, spiritual dan pemikiran yang meliputi sosial, budaya, politik dan sebagainya. Dalam membina sebuah peradaban madani ini, pastinya meletakkan adab, etika, moral dan akhlak sebagai asas pembentukan seterusnya mencerminkan kehidupan, perpaduan, keharmonian masyarakat sesebuah negara. Memandangkan kerencaman budaya, agama dan etnik dimiliki oleh Malaysia, mahu atau tidak, toleransi perlu diterap, dididik, dipupuk dan disuburkan agar perpaduan dan kesejahteraan kekal terpelihara.

Malaysia mempunyai populasi penduduk seramai 32.7 juta orang. Bumiputera merupakan penduduk majoriti iaitu 69.4 peratus, diikuti Cina, 23.2 peratus, India 6.7 peratus dan 0.7 peratus mewakili etnik lain. Pecahan agama pula menunjukkan agama Islam merupakan agama majoriti yang dianuti penduduk Malaysia iaitu 63.5 peratus diikuti agama Buddha (18.7 peratus), agama Kristian (9.1 peratus), agama Hindu (6.1 peratus), Atheist (1.8 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).

Agama Islam telah diangkat sebagai agama rasmi negara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 (1) yang jelas menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Namun pada masa sama, agama-agama lain bebas dan boleh diamalkan tanpa gangguan seperti yang dijelaskan dalam Perkara 11 (1) iaitu ‘tiap-tiap orang adalah berhak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya serta tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya’.

Keharmonian dan kedaulatan sesebuah negara bukan sahaja bersandarkan kestabilan politik, kekuatan ekonomi, sosial, keselamatan, integriti pemerintah, bahasa dan sebagainya. Malah, toleransi beragama dalam pelbagai kaum turut menjadi prasyarat kepada keharmonian dan pembentukan peradaban negara bagi generasi kini dan akan datang. Toleransi beragama di Malaysia sudah lama dipraktikkan, bermula dengan kontrak sosial, dasar pendidikan, dasar ekonomi, dasar sosial dan pembentukan Rukun Negara yang mencerminkan keunikan identiti negara dipersada antarabangsa.

Toleransi beragama

Toleransi beragama bukanlah bermaksud penganut sesebuah agama perlu meleburkan keyakinan agama masing-masing demi menjaga hati sesama sendiri, dan bukanlah mempunyai sikap insklusif dengan mengakui kebenaran agama orang lain kerana ini bertentangan dengan prinsip agama yang dianuti oleh penganutnya. Toleransi beragama yang perlu difahami ialah seseorang bersikap terbuka untuk mendengar pandangan yang berbeza, berkomunikasi secara dua hala, iaitu mengemukakan dan menerima pandangan. Pada masa sama tidak merendahkan atau mempertikaikan pegangan agama orang lain dalam ruang lingkup yang telah disepakati bersama.

Setiap penganut agama seharusnya tidak menyentuh isu sensitif seperti kalimah Allah, laungan azan, ibadat korban ketika Aidiladha, perarakan keagamaan, murtad, halal dan haram dalam makanan, sambutan perayaan, hukum hudud, lawatan ke rumah ibadah dan sebagainya yang mampu meruntuhkan tembok keharmonian yang dibina sejak sekian lama. Isu-isu tersebut perlu difahami, dibincangkan dalam bentuk dialog, dihormati dan diselesaikan secara rasional serta diplomasi. Kurangnya sikap bertoleransi berpunca daripada tidak memahami, kecetekan pengetahuan, berprasangka buruk terhadap agama lain selain tidak menghormati hak-hak orang Islam daripada penganut-penganut agama lain sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga sikap masyarakat Islam sendiri, tidak perlu menyentuh sensitiviti agama lain seperti agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam, penganut agama Buddha yang menziarahi kubur nenek moyang, penganut agama Sikh yang mengamalkan 5K (Kesh, Kara, Kanga, Kaccha, dan Kirpan), pemaparan lambang salib di gereja oleh penganut agama Kristian dan sebagainya.

Pembinaan Malaysia madani

Pembinaan Malaysia madani yang diidamkan menuntut kerjasama semua masyarakat bertoleransi dengan mengamalkan sikap terbuka, berlapang dada, saling menghargai pilihan orang lain, serta kesiapsiagaan menerima segala perbezaan, termasuklah dari segi bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa, budaya, adat dan agama serta berpegang teguh terhadap agama masing-masing. Toleransi beragama perlu mengandungi kesabaran, bertolak ansur, seimbang, lemah lembut, timbang rasa, bijaksana dan waspada. Selain itu, bersedia mendengar pandangan, menghormati kepelbagaian tanpa menjejaskan prinsip agama masing-masing dalam ruang lingkup yang dipersetujui bersama dalam masyarakat yang akhirnya membentuk kepercayaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa semua agama di dunia menganjurkan kepada umatnya untuk mengamalkan toleransi beragama dalam kehidupan seharian. Begitu juga di Malaysia yang mempunyai kepelbagai kepercayaan dan agama. Agama Islam mengajar penganutnya saling menghormati penganut agama lain seperti yang diterangkan dalam surah al-Kafirun (ayat satu hingga enam) yang bermaksud “aku tidak sembah apa yang engkau sembah, dan aku tidak akan beribadat cara kamu beribadat, bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. Begitu juga, dalam agama Buddha, dalam Four Divine Abodes atau Brahmavihara yang merupakan satu set nilai murni dan amalan yang diajar kepada penganutnya untuk memupuk kualiti positif dan menggalakkan kesejahteraan diri sendiri dan orang lain.

Empat kualiti itu antaranya ialah kasih sayang (Metta), belas kasihan (Karuna), empati (Mudita), dan ketenangan (Upekkha). Keempat-empat kualiti ini dapat membantu memecahkan halangan, memupuk persefahaman, dan menggalakkan semangat penerimaan dan penghormatan terhadap individu dari semua pertalian agama. Peraturan Emas (The Golden Rule) dalam agama Kristian menyatakan, "Buatlah kepada orang lain seperti yang kamu kehendaki mereka berbuat kepadamu." Prinsip ini menggalakkan penganut Kristian supaya hormat-menghormati dengan semua orang tanpa mengira perbezaan latar belakang agama. Ia berfungsi sebagai asas untuk memupuk persefahaman dan toleransi.

Pendekatan acuan Malaysia madani

Justeru, bagi mencapai perpaduan mengikut acuan Malaysia madani, beberapa pendekatan dicadangkan untuk dilaksanakan iaitu;

Pertama; Dialog intra agama dan dialog inter agama. Pendekatan ini memerlukan gandingan bahu daripada pelbagai pihak dan bidang khususnya pendidikan. Pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan kemudian diteruskan ke peringkat institusi pengajian tinggi dan dilanjutkan sehingga tempat kerja. Dialog ini memerlukan perancangan yang teliti agar tidak menimbulkan ketegangan. Pihak yang terlibat dengan dialog ini juga perlu mempunyai kemahiran, ilmu, maklumat serta bersikap berlapang dada dengan pandangan yang berbeza.

Kedua; Memperkenalkan subjek perbandingan agama sebagai mata pelajaran wajib atau dimasukkan dalam silibus pendidikan Islam dan pendidikan moral. Pendedahan ini perlu untuk memberi pengetahuan dan pemahaman pelajar sekolah terhadap kepelbagaian agama dan kepercayaan yang wujud di Malaysia. Pada masa yang sama memahami sosiobudaya masyarakat beragama di samping mendidik mereka berfikiran terbuka. Subjek ini wajar dilanjutkan sehingga institusi pengajian tinggi yang disesuaikan silibus mengikut tahap pengajian.

Ketiga: Perbanyakkan kajian antara agama atau Inter-religious Studies. Melalui penyelidikan yang dilakukan oleh institusi pengajian tinggi dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGOs) diharap dapat mengendurkan ketegangan dan salah faham dalam kalangan penganut pelbagai agama di Malaysia. Selain itu, melalui penyelidikan juga mampu memberi penambahan maklumat berkenaan isu-isu semasa seterusnya mengelakkan prejudis yang menyebabkan pembentukan Malaysia madani terbantut.

Keempat: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk toleransi beragama di rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan rasa hormat dan penerimaan terhadap orang yang berbeza agama daripada mereka. Dengan menunjukkan sikap berfikiran terbuka dan toleransi, secara tidak langsung mereka menunjukkan contoh positif untuk diikuti oleh anak-anak mereka. Bukan itu sahaja, ibu bapa harus menangkis sebarang perasaan atau pandangan stereotaip dan prasangka berdasarkan agama dalam sanubari anak-anak. Mereka boleh menangani sebarang salah tanggapan atau berat sebelah yang mungkin ada pada anak-anak dan membantu mereka membangunkan perspektif yang adil.

Kelima: Kepimpinan melalui teladan. Para pemimpin terutamanya ahli-ahli politik harus memimpin melalui teladan dan menunjukkan rasa hormat dan toleransi terhadap individu dari semua agama. Mereka harus mengelak daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memecahbelahkan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya yang berbeza. Penganjuran festival pelbagai budaya, perayaan keagamaan, atau projek khidmat masyarakat yang melibatkan orang daripada pelbagai latar belakang agama dapat membuka peluang untuk interaksi, pemahaman dan membina hubungan.

Sesungguhnya, toleransi beragama merupakan antara elemen penting dalam membentuk peradaban negara Malaysia. Sikap bertoleransi mampu menjadi kaedah pengurusan konflik sebuah masayarakat yang mempunyai pelbagai rencam budaya dan agama. Dengan wujudnya interaksi dan persefahaman, perpaduan, keharmonian akan terbentuk seterusnya menunjukkan ketinggian akhlak dan tatasusila penduduknya. Malaysia madani tidak dipasakkan atas kepentingan dan peranan satu bangsa, budaya, agama sahaja. Malaysia madani perlu dikukuhkan atas kepercayaan dan usaha bersama daripada semua pihak bagi memastikan kedaulatan negara kekal utuh, tidak goyah, tidak tergugat oleh anasir-anasir luar yang mencemburui keharmonian dan perpaduan negara ini. Malaysia perlu mengekalkan indeks perpaduan kini iaitu 0.567 yang dianggap tinggi dan diharapkan angka ini akan terus meningkat pada setiap tahun.

-- BERNAMA

Khairul Hamimah Mohammad Jodi ialah Prof Madya di Fakulti Pendidikan Open Universiti Malaysia (OUM) dan Oo Cheng Keat ialah pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Open Universiti Malaysia (OUM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)