TINTA MINDA

PUPUK GENERASI MUDA UNTUK TERUS HAYATI ERTI KEMERDEKAAN

21/08/2023 08:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hajah Azizah Haji Abdullah

Oleh: Hajah Azizah Haji Abdullah

Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan hari bersejarah kepada rakyat Malaysia kerana pada hari tersebut telah berlangsung upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengisytiharan yang disusuli dengan laungan “Merdeka” bergema dengan penuh semangat menandakan lahirnya sebuah negara baharu yang berdaulat dan merdeka. Pengisytiharan yang dibuat oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Hajj, Perdana Menteri Pesekutuan Tanah Melayu itu diadakan tepat pada pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.

Penghayatan erti kemerdekaan

Tanggal 31 Ogos 2023 pula merupakan tahun ke-66 kita sebagai warga Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan dengan bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’. Tema Hari Kemerdekaan ke-66 ini diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada 27 Mei 2023. Manakala logo Hari Kebangsaan berkonsepkan panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran negara yang lebih manusiawi. Ia bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

Walaupun telah mencecah 66 tahun negara kita merdeka namun sejauh manakah penghayatan erti kemerdekaan itu tertanam terutama di jiwa generasi muda kita? Mereka merupakan aset kepada negara dan merupakan pemimpin pada masa akan datang. Jika tidak diterapkan nilai-nilai kemerdekaan sejak dari awal mereka akan lupa tentang sejarah pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan. Usaha-usaha perlu dilakukan untuk memberi pemahaman serta penghayatan tentang erti kemerdekaan kepada mereka. Tan Sri Lee Lam Thye selaku ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia mengingatkan generasi muda bahawa penghayatan erti kemerdekaan sebenar mampu menjadi tenaga perpaduan yang boleh membawa rakyat berbilang kaum bersatu padu ke arah satu matlamat.

Tidak hanya berbekalkan semangat patriotik, generasi muda harus memahami, menghargai dan lebih peka dalam menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.Tidak patut untuk generasi kini hanya menganggap hari kemerdekaan merupakan hari kelepasan am, yang mana mereka boleh bercuti serta beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Mendidik generasi muda tentang patriotisme

Perkara pertama yang perlu untuk mendidik generasi muda bersemangat dan berjiwa patriotik adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Kempen-kempen seperti mengibarkan Jalur Gemilang dan Cintai Bendera Kita sama ada di sekolah-sekolah, bangunan-bangunan kerajaan dan swasta, premis-premis perniagaan, rumah-rumah kediaman dan mengibarkan bendera di kenderaan masing-masing adalah cara yang baik untuk mendidik generasi muda serta memberi kefahaman tentang pentingnya bendera kebangsaan dan maksud bendera itu sendiri. Kempen-kempen seperti itu perlu dijalankan sepanjang tahun dan bukan setakat pada bulan sambutan Hari Kemerdekaan sahaja.

Generasi muda masih boleh menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan menganjurkan pertandingan swafoto sempena Hari Kebangsaan. Kanak-kanak baik di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, peringkat universiti serta kelab-kelab kerajaan dan swasta juga boleh mengambil bahagian. Pertandingan cerpen, sajak dan syair kemerdekaan juga boleh diadakan bagi menzahirkan rasa cinta kepada tanah air. Para pendidik juga boleh memberikan penekanan terhadap pentingnya mata pelajaran Sejarah diajar di sekolah-sekolah bagi menanam dan memupuk semangat sayangkan negara dan memupuk jiwa patriotik dalam diri generasi muda.

Program Kembara Merdeka juga boleh diadakan bagi menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan. Masjid-masjid serta surau di seluruh negara juga boleh mengadakan majlis-majlis tahlil dan bacaan Yasin menandakan kesyukuran menyambut Hari Kebangsaan. Bagi generasi muda, penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) juga boleh digunakan untuk memupuk semangat kemerdekaan secara positif dengan menggunakan reka bentuk media grafik digital berkenaan kemerdekaan. Platform media sosial seperti TikTok boleh digunakan oleh golongan muda dalam menzahirkan rasa cinta mereka kepada tanah air tanpa mengira kaum dan bangsa.

Peranan media

Saluran-saluran media elektronik seperti televisyen dan radio perlu memainkan peranan dengan menyiarkan lagu-lagu patriotik ikonik yang digemari rakyat Malaysia seperti lagu Negaraku, Tanggal 31 Ogos, Warisan, Saya Anak Malaysia, ‘Standing In The Eyes of The World’ dan Inilah Barisan Kita. Lagu-lagu seumpama itu mempunyai kepelbagaian melodi dan lirik serta mempunyai impak yang kuat dalam meniup rasa bangga kita menjadi rakyat Malaysia sekali gus rasa sayang kepada tanah air sendiri. Mengulang siar filem-filem berbentuk patriotik seperti Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Paloh, Hati Malaya, Tanda Putera dan yang terkini filem Mat Kilau, kesemua lagu-lagu dan filem ini bagi memberi pendedahan anak belia masa kini tentang perjuangan dan pengorbanan serta kebangkitan menentang komunis, tentera Jepun dan penjajah British.

Sebagai rakyat Malaysia, generasi muda juga boleh mempamerkan semangat patriotik mereka dengan menyumbang pendapat serta pandangan yang sihat dan positif melalui saluran komunikasi dan pendigitalan yang betul. Rasa sayang kepada negara perlu disemai dalam jiwa golongan muda kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk negara pada masa akan datang. Bagi generasi tua pula, Hari Kemerdekaan membawa makna tentang kegigihan dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu menentang penjajah. Walau apapun usaha kita, moga menjelang Hari Kebangsaan ke-66 yang akan disambut pada 31 Ogos 2023 nanti dapat menyemai semangat nasionalisme dan cintakan negara sekali gus dapat mengekalkan perpaduan sesama kita yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

--BERNAMA

Azizah Haji Abdullah ialah Guru Bahasa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)