KETAMADUNAN

HIJRAH MEMPERKUKUH ACUAN PERPADUAN

09/08/2023 06:36 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M baru-baru ini bertitah agar rakyat sentiasa menjaga kesatuan serta perpaduan. Seri Paduka turut mengingatkan masyarakat agar memastikan tiada perasaan hasad dengki, fitnah memfitnah serta menjauhi pemikiran sempit yang boleh merosakkan bangsa dan negara.

Mesej tersebut jelas ditujukan kepada kita rakyat Malaysia sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan dalam negara yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa.

Mencapai ketamadunan bangsa gemilang

Sebagai sebuah negara dengan nilai demokrasi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, intipati ucapan Al-Sultan Abdullah itu seharusnya diangkat sebagai asas dalam membina peradaban dan ketamadunan bangsa Malaysia. Seperti mana konsep Malaysia Madani itu sendiri adalah satu konsep bagi membina tamadun dan peradaban bangsa serta bukanlah sekadar satu cogankata yang hanya perlu dipaparkan, begitulah juga mesej Yang di-Pertuan Agong.

Apakah kepentingan asas peradaban dan ketamadunan bangsa bagi sesebuah negara? Ciri asas sebuah negara maju dirujuk dari segi perkembangan sosio ekonomi rakyat serta negara merangkumi perkembangan pendidikan, teknologi, ekonomi, budaya hidup serta pelbagai elemen yang memperlihatkan kemajuan tamadun sesebuah negara.

Manakala peradaban secara ringkas boleh difahami sebagai komponen jati diri, budi pekerti, budaya hormat menghormati, peribadi mulia serta memupuk nilai murni dalam kemajmukan sesebuah negara. Kekurangan serta kelemahan sistem acuan pembentukan peradaban dan ketamadunan bangsa negara akan memberikan kesan besar kepada perkembangan identiti rakyat dan negara berkaitan.

Dalam sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada kali ini yang bertema ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ adalah amat bertepatan selaras dengan hasrat pimpinan kerajaan dalam membina asas acuan pembentukan peradaban dan ketamadunan bangsa Malaysia.

Ia harus bermula dari penghayatan terhadap nilai teras Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah induk acuan perpaduan di dalam negara. Di sinilah peranan Yang di-Pertuan Agong dalam sistem demokrasi berperlembagaan harus terus difahami oleh masyarakat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong payung perpaduan

Termaktub di dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara. Seri Paduka juga adalah pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan mengikut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan. Kepentingan dan kebijaksanaan Seri Paduka amat signifikan dalam memelihara perpaduan, kemajuan serta keselamatan rakyat jelata dan negara. Ini adalah bagi memastikan rakyat Malaysia berada dalam sebuah negara yang kekal aman berdaulat serta sejahtera.

Fungsi Yang di-Pertuan Agong dan sistem diraja adalah bagi memastikan tata kelola serta pengurusan negara dinaungi oleh teras berasaskan demokrasi Raja Berperlembagaan dan ini menuntut perlaksanaan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara diterjemahkan sebagai nilai budaya hidup masyarakat Malaysia.

Justeru apabila baginda menitahkan bahawa semangat hijrah yang perlu dijelmakan oleh rakyat jelata adalah dengan menjaga kesatuan dan perpaduan tanpa mengira latar belakang agama dan adat resam demi membangunkan negara pertiwi yang dicintai, ia harus dilaksanakan segera.

Kepelbagaian harus di ketepikan dalam mencapai perpaduan dengan mengambil contoh penyatuan dan kesepaduan Muhajirin dan Ansar 1,400 tahun lalu sebagai pedoman menguruskan kepelbagaian dan kerencaman negara. Aspirasi Seri Paduka amat mendalam dalam menzahirkan kepentingan perpaduan dalam negara kita. Malahan elemen patriotisme turut dititah oleh Al-Sultan Abdullah dengan menggesa rakyat berterusan menyuburkan rasa kasih dan kecintaan pada tanah air sebagaimana cintanya Rasulullah S.A.W. pada tanah kelahiran baginda.

Mesej Seri Paduka amat jelas kerana inilah tanah kelahiran kita dan seharusnya kita mencorakkannya berasaskan kerangka peradaban dan ketamadunan yang sebenarnya. Adalah amat penting titah Yang di-Pertuan Agong itu difahami oleh masyarakat sepenuhnya. Elemen perpaduan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia adalah antara induk utama kesejahteraan negara.

Pelan Al-Falah

Dalam konteks sambutan Maal Hijrah 1445H/2023M Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Malaysia Madani adalah antara pendekatan yang dirancang dalam membimbing perlaksanaan elemen tersebut. Pendekatan Malaysia Madani harus mula difahami sebagai antara asas generasi kini khususnya masa depan dalam membentuk nilai budaya hidup peradaban dan ketamadunan bangsa Malaysia yang perlu dibina serta dikekalkan atas dasar yang betul.

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara tidak boleh diketepikan dari sudut mana sekalipun berkaitan tata kelola pembangunan negara serta amalan kehidupan rakyat Malaysia. Pertikaian mengenai teras negara berkaitan seperti memomokkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan harus dikecam oleh semua lapisan masyarakat Malaysia.

Kematangan dalam sistem demokrasi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen harus dipersembahkan dalam kalangan pimpinan politik serta masyarakat agar kita dapat membina satu ideologi yang boleh mengikat idea nilai serta kepercayaan pemikiran dalam pegangan yang sama.

Kepentingan pegangan ideologi yang berteraskan pemahaman yang sama adalah teras perpaduan dan masyarakat Malaysia perlu berhijrah ke arah tersebut demi memastikan kelangsungan kehidupan yang kekal aman, berdaulat dan sejahtera.

-- BERNAMA

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin adalah Penganalisis Keselamatan & Politik Universiti Teknologi Mara.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)