NOTA KAMPUS

EKSPEDISI PENYELIDIKAN SAINTIFIK MARIN UMT, SINERGI INDUSTRI MARITIM DAN AKADEMIK

28/07/2023 09:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Rozita Alias @ Abdul Latiff

Penyertaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam LIMA’2023 sememangnya tidak asing lagi. UMT telah menyertai beberapa siri ekspedisi penyelidikan saintifik marin yang telah berjaya dijalankan semasa LIMA 2015, LIMA 2017 dan LIMA 2019 dengan mengunakan kapal Research Vessel Discovery atau RV-Discovery yang direka khusus bagi tujuan penyelidikan oseanografi dan sains marin.

Pada tahun ini, sekali lagi UMT menyertai ekspedisi ini yang telah dilepaskan di Duyong Marina Resort serta dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu. Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin bersempena LIMA’23 diadakan di sepanjang Selat Melaka bermula pada 17 sehingga 21 Mei 2023. Pelayaran yang bermula dari Kuala Terengganu pada 14 Mei 2023 singgah di Pelabuhan Klang sebelum memulakan aktiviti persampelan di 19 buah stesen terpilih. Seterusnya bergerak ke Langkawi bagi menyertai program LIMA 2023.

Untuk rekod, ekspedisi penyelidikan ini ditanggung di bawah geran jangka panjang (LRGS) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Ia menggabungkan sembilan penyelidik daripada pelbagai bidang khusus di dalam kajian oseanografi seperti oseanografi fizikal, oseanografi geologi, oseanografi biologi dan oseanografi kimia. Menariknya pelayaran ini diketuai oleh saintis wanita iaitu Dr Nur Hidayah Roseli yang merupakan pakar dalam bidang oseanografi fizikal, disertai dua penyelidik serta dibantu oleh tiga pegawai teknikal dan sembilan pembantu penyelidik di dalam bidang masing-masing.

Pengumpulan sampel kajian

Kerja-kerja persampelan yang dilakukan termasuk mengambil sampel air bagi kajian mengenai plankton, nutrien dan tahap keasidan air laut. Seterusnya, data arus laut dan ciri-ciri fizikal air juga diukur menggunakan alatan berteknologi tinggi bagi mengetahui proses fizikal laut ketika persampelan dilakukan.

Selain itu, data sedimen yang diambil digunakan untuk mengkaji taburan dan jenis hidupan bentik di kawasan itu selain dapat mengenal pasti keadaan masa lampau sedimen termendap tersebut dengan membuat kajian terhadap foraminifera (organisma satu sel). Kesemua data yang diperoleh dibawa ke makmal untuk analisis seterusnya. Hasil dapatan biasanya diterbitkan dalam jurnal saintifik atau dibentangkan dalam persidangan.

Mangimbau sejarah ekspedisi LIMA yang dilaksanakan sebelum ini telah memberikan impak yang besar kepada aktiviti penyelidikan marin dan citra UMT sebagai universiti peneraju di dalam bidang penyelidikan marin dan maritim negara. Malah perjalanan pulang RV-Discovery daripada LIMA dapat dijadikan medium pembelajaran kepada pelajar Ijazah Sains Nautika sebagai amali lapangan yang berkesan di dalam mempraktikkan ilmu yang diperolehi di dalam bilik kuliah.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar juga amat berharap Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Marin pada kali ini memberi hasil dapatan kajian yang lebih terperinci melalui penerbitan jurnal di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tambahnya hasil dapatan ini mampu membantu negara dan Kerajaan Negeri Terengganu khususnya dalam menyalurkan informasi berkaitan dengan status dapatan saintifik terkini penyelidikan oseanografi dari aspek biologi, kimia dan fizikal di perairan semenanjung Malaysia secara lebih informatif dan tepat. Hasil dapatan ini seterusnya boleh diterjemahkan kepada masyarakat untuk membantu meningkatkan taraf hidup khususnya kepada komuniti nelayan dan pesisir pantai negara ini.

Kejayaan ekspedisi penyelidikan saintifik marin ini bertepatan dengan bidang tujahan “Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik”, UMT terus berada dalam kelasnya yang tersendiri dalam kalangan universiti berfokus lain khususnya di Asia.

-- BERNAMA

Rozita Alias @ Abdul Latiff ialah Pegawai Tadbir Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)