SUARA BELIA

MEMBERI NAFAS BAHARU KEPADA PENDIDIKAN SABAH

21/07/2023 10:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Danial Farook

Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa apabila seseorang ingin keluar daripada kitaran kemiskinan, pendidikan adalah jalannya. Melalui pendidikan, seseorang itu dapat untuk mencari peluang pekerjaan yang lumayan serta menjadi nilai tambahan sewaktu permohonan pekerjaan. Meskipun sedemikian, sejauh manakah perkara ini berlaku?

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (JPM) kadar kejadian kemiskinan mutlak di Sabah pada 2020 adalah 25.3 peratus iaitu peningkatan yang tinggi dibandingkan dengan 19.5 peratus pada 2019. Hal ini menjadi lebih merisaukan apabila kadar kejadian kemiskinan mutlak kebangsaan 2020 adalah 8.4 peratus. Data ini menggambarkan betapa ramainya penduduk di Sabah yang mempunyai pendapatan isi rumah yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas seperti makanan, perlindungan uniform sekolah dan uniform kokurikulum.

Maka tidak hairanlah apabila JPM menerusi indeks kemiskinan telah menyenaraikan lapan daerah di Sabah sebagai daerah termiskin di Malaysia. Daerah-daerah ini adalah Tongod, Pitas, Telupid, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud dan Nebawan. Biarpun tidak tersenarai, daerah seperti Semporna juga harus diambil perhatian, kerana mempunyai Pekali Gini 0.474 iaitu berlakunya ketidaksamarataan agihan pendapatan antara yang kaya dan miskin. Semakin hampir pekali ini dengan 1, ianya menunjukkan ketidaksamarataan yang lebih teruk.

Isu kemiskinan dalam pendidikan

Oleh kerana kemiskinan yang melanda bumi Sabah, banyak pihak mendakwa bahawa kekurangan partisipasi pelajar di sekolah adalah disebabkan oleh kemiskinan. Dakwaan ini telah disokong oleh UNICEF apabila kajian dijalankan menjumpai lebih satu daripada tiga pelajar yang meninggalkan sekolah rendah dan menengah adalah disebabkan faktor kewangan.

Perkara ini tetap berlaku walaupun pendidikan di sekolah rendah dan menengah adalah percuma, hal ini kerana kos tambahan yang diperlukan oleh pelajar seperti pakaian sekolah, alat tulis, dan pengangkutan akan membebankan keluarganya. Apabila ibu bapa tidak mampu untuk menampung kos ini, mereka memilih untuk mengeluarkan pelajar tersebut dari sekolah dan menyuruh mereka untuk masuk ke alam pekerjaan di awal usia. Tawaran ini lebih menguntungkan keluarga kerana dapat menjadi pendapatan tambahan dibandingkan dengan pendidikan yang lebih membebankan.

Rentetan daripada perkara ini, kerajaan telah menjalankan pelbagai inisiatif serta menyalurkan beberapa bentuk bantuan ke arah mengecilkan jurang pendidikan di antara negeri-negeri lain dan Sabah khususnya di bahagian luar bandar. Antara usaha yang dijalankan adalah pembekalan perkakasan ICT di sekolah iaitu merangkumi komputer riba, projektor, pencetak dan troli pengecasan yang akan diagihkan pada Mei 2023, melibat 3,455 sekolah seluruh negara.

Menyediakan persekitaran kondusif

Selain itu, inisiatif pemerkasanaan perlaksaan projek sekolah daif turut dilaksanakan melalui penubuhan jawatankuasa khas di peringkat kementerian, ini merupakan antara bukti kerajaan komited untuk membantu sekolah-sekolah yang serba kekurangan. Tidak terhenti sekadar pelan naik taraf pembangunan bagi 380 buah sekolah, penyediaan kemudahan yang mesra OKU juga dititik beratkan bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi setiap pelajar.

Sekalipun usaha-usaha ini dijalankan, ianya hanya menekan perihal kemudahan yang ditawarkan di sekolah iaitu kemudahan pembelajaran dan digital. Tidak dinafikan kedua-dua elemen ini diperlukan tetapi faktor kewangan yang menjadi penyebab keciciran pelajar harus diberi perhatian yang sewajarnya agar tiada pelajar dihalang hak mendapat pendidikan. Kolaborasi yang lebih rapat perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan, syarikat-syarikat, komuniti, badan bukan kerajaan dan universiti bagi merealisasikan impian ini.

Penyaluran data yang lebih telus dan terbuka hendaklah dibuat oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada awam agar inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dijalankan dengan lebih berimpak.

Keterbukaan ini bukanlah berniat untuk memburukkan sebahagian pihak tetapi ianya akan lebih menggalakkan usaha-usaha mobiliti pelajar dan sukarelawan ke kampung yang berkeperluan tinggi. Data yang diterima akan membantu mengenal pasti masalah serta keberkesanan inisiatif dicadangkan.

Tajaan kurangkan jurang pendidikan

Di samping itu, agensi kerajaan bersama syarikat mampu mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa secara drastik melalui saluran bantuan barangan dan kewangan. Tajaan terhadap pakaian uniform kokurikulum, uniform sekolah, mahupun kasut sekolah dapat menjimatkan puluhan ringgit bagi sesebuah keluarga, sekaligus meningkatkan motivasi para pelajar untuk pergi ke sekolah.

Pelajar universiti dan sukarelawan pula hendaklah lebih giat dalam berkongsi peluang pendidikan percuma kepada para pelajar. Pelbagai tajaan dan bantuan kewangan yang boleh diraih oleh pelajar cemerlang di Sabah, walaupun begitu, limitasi informasi serta panduan yang diterima khususnya di kawasan luar bandar menjadi penghalang peluang ini dimanfaatkan. Justeru itu, melalui mobilisasi pelajar ke kawasan pedalaman, ianya mampu membuka mata masyarakat di sana mengenai kos sebenar pendidikan.

Antara syarikat yang berusaha ke arah mengecilkan jurang pendidikan adalah seperti Petronas dan Axiata Group Berhad melalui yayasan di bawahnya. Misalnya, Yayasan Petronas yang telah menyokong lebih 7,000 program pendidikan dan turut menyalurkan dana bagi pembinaan dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Ranau, Sabah dan Bintulu, Sarawak. Usaha ini telah memberi kesan kepada lebih 7,272 orang dan semestinya dijadikan model bagi syarikat lain.

Axiata Foundation pula telah menggerakkan projek CSR di bawah Smart dengan kerjasama UNESCO untuk menawarkan pendidikan kepada belia di Kemboja yang meninggalkan sekolah untuk bekerja, usaha ini telah mendapat manfaat kepada 2,102 orang pelajar.

Para pelajar diberikan internet percuma dan akses kepada bahan pelajaran dalam talian secara percuma. Perkara ini jika dilaksanakan di Sabah semestinya akan memberi impak yang besar terhadap golongan miskin.

Komitmen dan sokongan daripada setiap pemegang taruh pendidikan adalah penting bagi menjamin pendidikan yang berkualiti sekaligus membasmi keciciran pelajar.

-- BERNAMA

Danial Farook merupakan Pengarah Edu Community Outreach (ECO) 2023: Semporna, Sabah Mission Fakulti Pendidikan UiTM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)