NOTA KAMPUS

PERLU SINERGI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DAN INDUSTRI HALAL

07/06/2023 09:12 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Siti Suriani Othman dan Dr Setiyawan Gunardi

Perkembangan industri halal hari ini amat memberangsangkan berikutan permintaan pasaran produk halal yang diperlukan masyarakat semakin meningkat di seluruh dunia. Statistik menunjukkan bahawa industri halal global dianggarkan bernilai sekitar 2.3 trilion Dolar setahun, tidak termasuk kewangan Islam, menjadikannya industri halal sebagai pasaran dengan perkembangan terpantas di dunia. Antara faktor kepada perkembangan ini, selain peningkatan populasi Muslim itu sendiri ialah penerimaan golongan bukan Islam terhadap produk halal yang dilihat selamat, bersih dan menjamin kesihatan.

Pusat kajian halal

Namun, di pusat pengajian tinggi, kita melihat wujud kepentingan untuk universiti atau pusat kajian bekerjasama dengan pemain industri halal bagi tujuan memastikan kelestarian industri halal dari segi kualiti dan teknologi agar keyakinan pengguna tidak pudar. Tidak keterlaluan jika dikatakan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merupakan satu daripada institusi pendidikan tinggi mempunyai hasrat yang besar dalam memajukan industri halal negara. Melalui Institute of Fatwa and Halal (IFFAH), USIM berhasrat membentuk pusat kajian halal yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan manusiawi seluruhnya.

Dengan hasrat itu, kita melihat keperluan untuk industri halal bergabung tenaga dengan institusi pengajian tinggi, misalnya USIM untuk mensinergi kepakaran syariah dan sains sehingga boleh menggabungkan keduanya iaitu aspek halal syariah dan halal sains yang membawa kepada keselamatan terhadap kualiti produk halalan toyyiban. Di sini, profesionalisme USIM memainkan peranan penting demi mengembangkan hub halal Malaysia di peringkat global. Antara aspek yang diutamakan ialah keselamatan terhadap produk halal berkaitan dengan integriti kepakaran yang amanah sehingga boleh menjaga status halal sepanjang masa tanpa syak.

Perkembangan baharu yang penting dan menarik dalam kajian dan kemajuan industri halal ialah menggunakan kekuatan bidang syariah dan sains untuk mengembangkan industri halal. Bidang syariah mempunyai metod pendekatan ilmu fikah, usul fikah, qawaid fikah dan maqasid syariah sebagai alat intinbat hukum dalam menentukan status produk halal dan pada masa yang sama menjauhkan pencemaran daripada elemen haram. Sementara itu, sains pula menawarkan aspek kefahaman teknikal iaitu terjemahan istilah sains yang mudah difahami agar dapat pengguna memilih produk halal dengan tepat dan cepat.

Di sini kita melihat peranan banyak insitusi pengajian tinggi dan tidak ketinggalan USIM menjadi sangat jelas dalam menentukan piawaian produk yang dihasilkan oleh industri. Teknologi di makmal halal yang terkini berupaya membantu penyelidikan untuk menentukan produk halal bagi memastikan produk halal tersebut memang halal dan tidak berlaku sebarang pencampuran antara halal dan haram sehingga boleh jatuh kepada syubuhat yang membawa kepada haram.

Sinergi industri halal, USIM

Tidak keterlaluan jika dikatakan sinergi antara industri halal dan USIM harus dilakukan dengan permulaan mudah iaitu merujuk kepada USIM untuk isu-isu kompleks yang mungkin memerlukan khidmat nasihat atau kepakaran tertentu untuk diselesaikan. Kekuatan USIM dalam bidang sains dan agama seharusnya “digunakan” oleh industri halal untuk sama-sama memastikan produk halal memang halal dan tidak diragukan serta mendapat keyakinan tinggi daripada pengguna.

Dalam pada itu, USIM juga menawarkan program pembelajaran dan pengajaran halal melalui fakulti. Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) di USIM menawarkan program Sarjana Muda Syariah (Industri halal) (SMSIH). Pelajar didedahkan kepada ilmu syariah yang menjadi panduan halal dan aspek-aspek lain, seperti undang-undang kepenggunaan halal dan sains teknologi serta ekosistem ekonomi halal. Pengajian ini termasuklah pengurusan pensijilan halal yang diperlukan pihak industri halal.

Apa yang dapat dilihat di sini ialah, keseluruhan proses dan pengedaran sesuatu produk halal memerlukan rujukan ilmiah bagi memastikan setiap produk halal yang dihasilkan dan diedarkan kepada pengguna selamat digunakan. Hasil kajian oleh universiti tempatan berkaitan halal wajar dijadikan panduan asas oleh industri halal untuk kemaslahatan ummah. Kekuatan di pihak universiti mungkin boleh dilihat daripada aspek teori dan praktis industri halal, iaitu industri halal itu mungkin lebih menjurus kepada praktis semata-mata.

Kita tidak menganggap itu sebagai satu kelemahan, tetapi menggabungkan kekuatan teori dan praktis dalam memahami sesuatu proses atau fenomena pastinya dilihat sebagai kaedah terbaik dan seimbang dalam mana-mana perkembangan ilmu termasuk industri halal itu sendiri. Hubungan simbiosis ini harus dilihat sebagai satu peluang besar dalam mengembangkan industri halal tempatan ke peringkat global. Di pihak USIM sendiri, kami berharap agar suatu hari nanti USIM akan menjadi rujukan utama dalam memajukan industri halal negara di peringkat global.

--BERNAMA

Dr Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Dr Setiyawan Gunardi ialah Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)