NOTA KAMPUS

PENCEMARAN PLASTIK PENGARUHI RANTAIAN MAKANAN

06/03/2023 09:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Ts. Dr Chuah Lai Fatt dan Siti Nur Jannah Mohamad Faisal

Permukaan bumi diliputi 70 peratus air termasuk bongkah ais di kutub, air laut, air sungai, air muara, tasik, tali air, kolam serta perigi, manakala 30 peratus adalah daratan. Keindahan laut negara tercemar kerana sikap tidak peduli masyarakat hari ini yang mengambil mudah dan terus melakukan perkara yang membawa kepada pencemaran laut seperti membuang sampah ke parit atau sungai, akhirnya dibawa ke laut melalui arus dan pasang surut di laut.

Menurut Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), sebanyak 8,300 juta tan sampah plastik dijana dunia setiap tahun, manakala 2.10 juta tan datang dari Malaysia. Sebanyak 10 peratus plastik sampah telah dikitar semula, 14 peratus dibakar, 26 peratus di tapak pelupusan sampah dan selebihnya 50 peratus dibuang ke laut. Ini bermakna lebih kurang 80 peratus sisa dalam laut terdiri daripada plastik.

Sampah plastik musnahkan hidupan laut

Sampah plastik yang dibuang ke laut mampu membunuh hampir 100 juta hidupan laut. Sampah yang terdiri daripada plastik, botol plastik, puntung rokok, lampin bayi, bekas makanan dan minuman plastik berpunca dari darat, kapal dan bot. Sampah plastik terdedah dengan cuaca berbeza seperti cahaya, ombak, arus, udara, pasang surut mikrob dan sebagainya semasa di laut akan membentuk mikroplastik. Mikroplastik (primer dan sekunder) bersaiz tidak lebih dari lima milimeter mampu diserap dan dimakan oleh plankton.

Justeru itu, plankton ini akan dimakan oleh ikan kecil dan ikan besar yang akhirnya masuk dalam rantai makanan manusia. Plastik yang masih belum menjadi mikroplastik akan terapung dan kelihatan seperti rumput laut, obor-obor dan alga. Ia akan dimakan oleh penyu yang menyebabkan kematian akibat sesak nafas termasuk kesukaran proses penghadaman oleh sistem pencernaannya. Sebanyak 80 peratus sumber protein utama untuk manusia adalah daripada hidupan laut. Sekiranya sampah plastik ini berterusan, mikroplastik ini akan mempengaruhi kesihatan manusia.


Plankton yang menjadi makanan ikan dan haiwan laut

Hidupan laut yang termakan mikroplastik akan menyebabkan pengambilan makanan berkurangan, tumbesaran terbantut, pembiakan berkurangan dan tingkah laku tidak normal. Mikroplastik bersifat toksik dan boleh mengakibatkan karsinogenik. Mikroplastik akan dibawa arus dan disebar ke permukaan laut mahupun dasar laut atau pantai di seluruh dunia.

Sistem penguatkuasaan yang tidak efektif terhadap pencemaran marin merupakan faktor masyarakat tidak peka dalam isu penjagaan alam sekitar, keupayaan kitar semula terhad, kekurangan keseragaman dalam penyeliaan berperingkat dan kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat menjadikan isu ini berpanjangan.

Sayangi alam sekitar

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Fakulti Pengajian Maritim telah menganjurkan Program Operasi Maritim, ia bertujuan memberi kesedaran tentang pelupusan sampah terutamanya plastik. Program yang dijayakan oleh mahasiswa dan mahasiswi UMT itu telah diadakan di perkampungan nelayan dan penduduk sekitar Kuala Terengganu.

Tanpa mengira bangsa atau kaum, seramai 100 peserta termasuk komuniti tempatan dan nelayan berganding bahu membersihkan pengkalan nelayan dan persisiran pantai Kuala Terengganu. Sampah-sampah yang ditemui adalah beg plastik, baju, lampin pakai buang bayi dan dewasa, botol plastik, bekas plastik, pemetik api, tin makanan, span sofa, serpihan kaca dan puntung rokok. Sebanyak 600 kilogram sampah berjaya dikumpulkan, 80 peratus daripadanya adalah plastik, ia berasal daripada darat yang dibuang ke laut kemudian kembali semula ke pesisiran pantai.

Kesedaran kepada generasi muda adalah perkara penting bagi mendidik generasi baharu agar sayangi alam sekitar. Namun, tanpa kerjasama daripada pihak berwajib seperti Persatuan Nelayan Kuala Terengganu dan Jabatan Perikanan Malaysia pastinya tidak mencapai matlamatnya. Pelaku jenayah alam sekitar boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672). Perkara ini perlu dihebahkan agar memberi pengajaran kepada masyarakat.


Kesedaran penjagaan alam sekitar perlu diterapkan diperingkat komuniti

Banyak usaha yang perlu dilakukan semua pihak untuk memastikan hidupan laut terjamin. Pihak kerajaan negeri mahupun federal perlu memperketatkan lagi undang-undang terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata seperti denda yang tinggi atau hukuman penjara supaya masyarakat tidak mengulangi kesalahan. Lebih banyak usaha diperlukan untuk memupuk kesedaran masyarakat, kerajaan, penggubal polisi dan juga pemain industri agar masalah pencemaran ini dapat ditangani bersama.

Hanya kerana ia masalah yang kecil dan tidak mudah untuk dilihat atau dirasai, tidak bermakna ia tidak mempengaruhi masalah kesihatan dan persekitaran kita. Jangan biarkan ianya menjadi barah dalam kehidupan. Jangan biarkan plastik yang dibuang datang semula dalam rantaian makanan kita.

--BERNAMA

Ts. Dr Chuah Lai Fatt dan Siti Nur Jannah Mohamad Faisal ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)