NOTA KAMPUS

MENJADIKAN STEM TUNGGAK PENDIDIKAN MASA HADAPAN

27/12/2022 12:12 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Kanjna Paranthaman

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan elemen penting dalam usaha menyediakan pelajar untuk memenuhi kehendak masa hadapan, dan sering dianggap sebagai cara untuk meningkatkan daya saing sejagat sesebuah negara. Menurut kajian oleh UNESCO pada tahun 2018, negara-negara dengan ramai pelajar yang memilih untuk menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang STEM seperti Oman, India, Jerman, Singapura, Algeria, Iran, Myanmar dan Malaysia - kesemuanya menghasilkan lebih daripada 30 peratus graduan STEM.

Laporan Tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia 2020 menyatakan bahawa seramai 47 peratus pelajar universiti di Malaysia mengambil subjek-subjek STEM, dan 20 peratus daripada mereka mengambil subjek STEM Sains Tulen, manakala selebihnya adalah dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) .

Hal ini menimbulkan persoalan - mengapakah begitu banyak negara yang mengutamakan pendidikan STEM? Sebab utama ialah kita memerlukan graduan STEM untuk membantu mencari penyelesaian bagi pelbagai masalah global - sama ada perubahan iklim, penyakit, ataupun jenayah siber. Subjek-subjek STEM juga melengkapkan pelajar dengan kemahiran berfikir secara kritikal, kemahiran menyelesaikan masalah, serta kemahiran pembelajaran secara penerokaan yang menyiapkan mereka untuk kerjaya yang penuh jaya dan membantu menyokong pembangunan ekonomi negara.

Menggalakkan minat dalam STEM melalui Cambridge Pathway

Penting untuk pelajar memahami kepentingan STEM dalam kehidupan seharian dan mengambil kira kesemua peluang kerjaya yang boleh diteroka melalui STEM. Ini telah mendorong Cambridge International untuk memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang dibangunkan untuk memupuk minat dalam subjek-subjek STEM melalui Cambridge Pathway. Kami menawarkan subjek-subjek sains dan matematik sepanjang tempoh Cambridge Pathway untuk pelajar-pelajar berumur daripada lima sehingga 19 tahun. Silabus kami membantu para pelajar mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk tahap pendidikan mereka yang seterusnya serta untuk kemudian hari, dan mempunyai pelbagai pilihan yang menepati setiap tahap kemahiran serta aspirasi kerjaya.

Sesetengah pelajar mungkin menghadapi kesukaran dalam memahami pelbagai teori sains dan memerlukan pendekatan amali dalam pembelajaran. Sumber digital Everyday Science baharu kami membuktikan bahawa sains praktikal bukan hanya terhad kepada makmal sahaja. Ia membantu pelajar menjalankan penyiasatan spesifik menggunakan material yang boleh didapati di rumah atau kawasan sekitar mereka. Everyday Science mengambil kira konsep-konsep utama yang patut dikuasai oleh pelajar sebagai sebahagian daripada silabus pembelajaran Sains Cambridge IGCSE, O Level dan International AS & A Level mereka. Ia juga memupuk rasa ingin tahu mengenai kaedah-kaedah saintifik. Hal ini seterusnya memberikan mereka kemahiran-kemahiran praktikal yang menambahkan lagi pemahaman saintifik dan menyediakan mereka untuk kerjaya dalam bidang sains.

Untuk memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan membantu mereka mengembangkan kemahiran praktikal dan penyiasatan mereka, Cambridge International juga telah melancarkan Cambridge Upper Secondary Science Competition. Pertandingan luar kurikulum peringkat antarabangsa ini adalah khas untuk para pelajar yang sedang dalam usaha mendapatkan sijil Cambridge IGCSE dan Cambridge O Levels mereka dan memberikan mereka peluang untuk bekerja sebagai sebuah kumpulan dan membentangkan hasil kajian mereka. Para pemenang pertandingan ini berpeluang untuk memenangi anugerah ‘Terbaik di Rantau’ dan ‘Terbaik Di Dunia’ yang diingini ramai.

Matematik, yang merupakan asas kepada pelbagai bidang saintifik dan teknologi juga merupakan satu bahagian penting dalam pembelajaran STEM. Melalui Cambridge Pathway, Cambridge International menggalakkan pelajar untuk mempunyai pemahaman yang lebih holistik berkenaan subjek tersebut, di samping menjadi cekap dan membantu mereka mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam kehidupan seharian. Kami menawarkan subjek-subjek matematik pada setiap tahap Cambridge Pathway dan menyediakan laluan kemajuan untuk setiap tahap kemampuan. Kami juga baru-baru ini telah membuat perubahan kepada silabus-silabus Cambridge IGCSE dan O Level Mathematics kami berdasarkan maklum balas yang diterima daripada sekolah-sekolah kami. Kesemua perubahan ini akan memberikan para pelajar peluang terbaik untuk berjaya, hasil daripada struktur yang telah ditambah baik serta bahasa yang telah diringkaskan.

Dengan inisiatif-inisiatif baharu daripada Cambridge International, kami harap dapat memberikan inspirasi kepada generasi pelajar Malaysia yang akan datang dan menyediakan mereka untuk kerjaya dalam Industri 4.0 dan seterusnya. Usaha oleh institusi-institusi pengajian di Malaysia adalah penting untuk menyuntik minat pengambilan STEM dalam kalangan generasi muda, sebuah usaha yang pastinya akan membuahkan hasil dan membentuk generasi arif STEM di masa hadapan.

--BERNAMA

Kanjna Paranthaman ialah Pengarah Rantau Asia Tenggara & Pasifik, Cambridge International

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)