SALAM DARI BEIJING

MENGHAYATI SUNGAI KUNING CHINA DALAM ALUNAN SIMFONI

19/10/2022 11:04 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Suhu di luar mencecah 8 darjah celcius, berangin, sejuk mencengkam ke tulang, ketika China, khususnya Beijing, baru sahaja menyambut kedatangan musim luruh yang agak lambat tahun ini.

Namun dalam kedinginan itu, penulis, bersama hampir seribu penonton dalam Pusat Seni Persembahan Kebangsaan (NCPA) China bagaikan berada dalam dunia sendiri, khusyuk dan tenang - dihangatkan dengan persembahan orkestra daripada China Broadcasting Chinese Orchestra.

Gabungan artistik lebih 100 artis membuat persembahan pimpinan konduktor kelas pertama China, Peng Jiapeng yang mendapat gelaran konduktor genius, bertajuk Chinese Yellow River with Nine Bends, benar-benar memukau penulis dan penonton yang hadir pada malam itu.


Irama muzik dimainkan kumpulan orkestra menggunakan gabungan pelbagai jenis instrumen muzik tradisi China seperti guzheng, erhu, dizi, pipa, guqin, hulusi, suona, xiao, drum dan bianzhong benar-benar terasa sampai ke jiwa penulis.

Persembahan berkenaan meliputi sembilan lagu yang berkisarkan Sungai Kuning di China, yang dicipta komposer terkenal China, Bai Haoyu.

Walaupun setiap mereka menggunakan instrumen berbeza di bawah pimpinan konduktor, Peng Jiapeng, mereka memiliki tujuan sama iaitu menciptakan muzik harmoni untuk dinikmati pendengar. Dua jam berlalu tanpa rasa bosan.

“Himpunan kumpulan artis berbakat dengan pelbagai instrumen bersama-sama memberikan aura tersendiri dunia yang berbeza - dunia di mana segala-galanya tenang, menyentuh hati, indah dan sangat menakjubkan," kata rakan penulis, Chanmolika Seng yang merupakan Timbalan Ketua Pengarang Bahasa Inggeris di Fresh News, Kemboja.


SUNGAI KUNING - ‘MOTHER RIVER’ BAGI CHINA

Yellow River, atau Sungai Kuning di China bukan sekadar sungai ikonik China, tetapi juga simbol semangat China.

Menurut agensi berita rasmi China, Xinhua, jalan air sepanjang 5,464 km memberi manfaat kepada kira-kira 12 peratus penduduk China, mengairi kira-kira 15 peratus tanah pertanian yang menyumbang 14 peratus daripada KDNK negara, dan membekalkan air kepada lebih 60 bandar.

Berasal dari Wilayah Qinghai, Sungai Kuning yang dikenali sebagai "Sungai Ibu" China dan tempat lahirnya tamadun China, mengalir melalui sembilan wilayah dan wilayah autonomi termasuk Shaanxi dan Henan sebelum mengalir ke Laut Bohai di timur wilayah Shandong.

Sungai ini mendapat nama Huang He (kuning) dalam bahasa Cina kerana airnya berwarna kuning dan berlumpur yang kelihatan semasa mengalir melalui Dataran Tinggi Loess di barat laut China.

Lelaki primitif, termasuk fosil Homo Erectus yang ditemui di Kaunti Lantian, Wilayah Shaanxi, didapati tinggal di lembangan Sungai Kuning lebih daripada 1.1 juta tahun yang lalu, yang mempunyai sejumlah besar tapak budaya purba.

CHINA BROADCASTING CHINESE ORCHESTRA

Diasaskan pada tahun 1949, kumpulan orkestra ini merupakan satu daripada lima sub-organisasi China Broadcasting Art Organisation dan mempunyai reputasi hebat di dalam dan luar negara dengan sejarah yang panjang dan terbilang.

Banyak karya yang dihasilkan dan dipersembahkan oleh orkestra ini telah menjadi karya klasik yang berkekalan. Ia telah mengambil bahagian dalam rakaman beribu-ribu filem, program TV, program radio, pita dan CD, memberikan sumbangan sewajarnya kepada industri radio, filem dan televisyen di China.

Penulis difahamkan sebagai jenama terkenal muzik Cina dan simbol budaya Cina, kumpulan orkestra ini telah mempamerkan kepada dunia kekayaan sejarah dan budaya China dengan persembahan luar biasa.


Turut menarik perhatian penulis ialah kehebatan konduktor pada malam tersebut iaitu Peng Jiapeng. Tenaga, aura, gerak tubuh dan kelincahannya dalam memimpin anak buahnya pada malam tersebut cukup memukau.

Beliau ialah Pengarah Artistik dan Konduktor Utama Orkestra Cina Penyiaran China, Orkestra Simfoni Oriental China dan Orkestra Cina Macau, serta konduktor tetamu tetap Filharmonik Kebangsaan Ukraine.

Pada Ogos 1996, sebagai satu-satunya konduktor muda dari Asia, Peng dijemput menyertai Kelas Induk Konduktor Kirill Kondrashin Antarabangsa ke-35 yang diadakan di Belanda, di mana beliau diselia oleh konduktor terkenal Edward Downes dan Peter Eotvos.

PUSAT SENI PERSEMBAHAN KEBANGSAAN CHINA - ‘THE GIANT EGG’

Selesai menyaksikan persembahan orkestra, penulis turut mengambil kesempatan mengabadikan kenangan di hadapan NCPA yang dirasmikan pada 22 Dis 2007 itu. Bangunan ini mendapat gelaran ‘The Giant Egg’, kerana seni binanya berbentuk kubah seakan-akan sebiji telur yang terapung di atas permukaan air, kelihatan amat cantik terutama pada waktu malam.


NCPA ialah institusi seni kebangsaan yang berpusat di Beijing, yang telah mengadakan lebih 10,000 persembahan komersial yang mencecah lebih 22 juta penonton setakat 2020. Permukaan bangunan ini terdiri daripada lebih 18,000 panel titanium serta di kelilingi oleh tasik buatan dengan keluasan 35,500 meter persegi.

NCPA telah menghasilkan 97 karya, termasuk 70 opera, 18 drama, lima opera Cina, tiga drama tarian dan satu drama muzik.

-- BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)