SALAM DARI BEIJING

MELAWAT SINOVAC DI CHINA

12/10/2022 10:20 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Ketika COVID-19 mula melanda dunia sekitar awal 2020, kebanyakan negara bagaikan hilang arah apabila virus pembunuh yang mula dikesan di China itu merebak cepat, mengakibatkan hampir semua kegiatan ekonomi dan sosial di banyak negara hampir lumpuh.

Pada ketika itu, hanya satu yang diharapkan iaitu vaksin, bagi membolehkan orang ramai menjalani aktiviti normal semula dan sebagai perisai bagi melindungi diri atau meminimakan kesan jangkitan virus itu.

Kebiasaannya vaksin memerlukan penyelidikan dan ujian bertahun-tahun sebelum sampai ke klinik, tetapi pada 2020, saintis memulakan perlumbaan untuk menghasilkan vaksin coronavirus yang selamat dan berkesan dalam masa yang singkat.

Antara negara yang turut menghasilkan vaksin ialah China menerusi syarikat biofarmaseutikalnya, Sinovac Biotech Ltd (Sinovac) yang menghasilkan vaksin jenis CoronaVac, atau lebih dikenali sebagai vaksin Sinovac. Kemajuan teknologi membolehkan vaksin dihasilkan dalam tempoh yang singkat.

Kesempatan berada di China turut memberi peluang berharga kepada penulis untuk melawat Bengkel Pukal Vaksin COVID-19, Makmal Kawalan Kualiti dan Sinovac Base di ibu pejabat Sinovac di daerah Daxing, Beijing sempena Sinovac Global Media Day pada 30 Sept lepas.


Vaksin Sinovac

Malaysia menerima bekalan vaksin Sinovac pertama pada 27 Februari tahun lepas. Vaksin ini telah digunakan dalam Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga ke hari ini.

Vaksin Sinovac telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan atau bersyarat penggunaan pemasaran oleh lebih daripada 60 negara, wilayah, serta organisasi antarabangsa. Sehingga kini, bekalan global kumulatif vaksin jenis ini adalah hampir 2.9 bilion dos.

Lebih daripada 400 hasil kajian dan laporan daripada ujian klinikal dan kajian dunia mencadangkan bahawa CoronaVac adalah selamat dan berkesan untuk pelbagai kumpulan manusia termasuk kanak-kanak, remaja, wanita hamil dan selepas bersalin dan serta orang tua.

Lawatan Ke Sinovac

Penulis dan 83 rakan wartawan dari 64 negara dibawa melawat ke ​​Makmal Kawalan Kualiti bagi penghasilan vaksin COVID-19 yang meliputi kawasan binaan seluas 3,000 meter persegi. Fungsi utama makmal ini adalah untuk menguji keseluruhan kitaran hayat COVID- 19 vaksin daripada bahan mentah kepada produk siap.

Penulis difahamkan makmal ini telah menguji lebih daripada 3.5 juta dos daripada kira-kira dua bilion vaksin. Selain itu, penulis turut melawat Bengkel Pukal Vaksin COVID-19 (COVID-19 Vaccine Bulk Workshop) yang terdiri daripada empat kawasan iaitu Kawasan Penyediaan Item, Penyediaan Penyelesaian dan Kawasan Kultur Sel serta Purification Area.

Sinovac mempunyai tiga COVID-19 Vaccine Bulk Workshop dengan kapasiti pengeluaran yang dilengkapi peranti automatik dengan ketepatan yang hebat, dan ia merupakan pangkalan pengeluaran vaksin BSL-3 terbesar dalam China.

Bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap vaksin COVID-19 untuk domestik dan pasaran antarabangsa, Sinovac membina pangkalan perindustrian dari 2020 hingga 2021 di daerah Daxing yang boleh mencapai kapasiti pengeluaran sebanyak dua bilion dos untuk vaksin COVID-19.


Bantu Negara Membangun Dalam Kesihatan Awam

Dalam taklimat kepada media sebelum itu, Ketua Pegawai Operasi Sinovac Qiang Gao berkata syarikat itu akan melabur AS$2 bilion dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan AS$3 bilion bagi pengeluaran vaksin dan produk farmaseutikal besar-besaran dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa sama, syarikat itu juga berhasrat menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan serta pangkalan perindustrian di lebih 10 negara untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat tempatan, kerajaan tempatan dan rakyat di seluruh dunia.

Menurutnya setakat bulan lepas, jumlah bekalan global vaksin Sinovac ialah sebanyak 2.88 bilion dos dengan 1.75 bilion dibekalkan untuk China manakala 1.13 bilion lagi kepada negara luar.

Sejak 20 tahun lepas, Sinovac telah membangunkan 13 jenis vaksin yang telah digunakan di lebih 80 negara dan rantau sekali gus memanfaatkan lebih tiga bilion individu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kualiti dan Naib Presiden Sinovac Weining Meng berkata syarikat itu berminat untuk membantu negara lain memperkukuh penyelidikan dan pembangunan vaksin serta perkhidmatan kesihatan awam mereka.

Ini khususnya untuk membantu negara membangun membuat persediaan yang lebih baik bagi menghadapi jika berlaku pandemik seterusnya.


Kerjasama Sinovac Dan Pharmaniaga


Perjanjian kerjasama dimuktamadkan oleh Sinovac dan syarikat farmaseutikal dari Malaysia, iaitu Pharmaniaga pada Januari 2021, membolehkan Pharmaniaga melakukan aktiviti perkilangan isi dan selesai (fill and finish).

Selepas mencapai kerjasama, Sinovac, selain membekalkan vaksin pukal, turut menyediakan Malaysia dengan sokongan teknikal dan perkongsian pengetahuan dalam cara yang berbeza, seperti menghantar pakar.

Pada Nov 2021, Pharmaniaga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa vaksin dengan mengeksport kumpulan pertama vaksin COVID-19 'fill and finish' Sinovac ke Myanmar, yang dikilangkan oleh kilang berteknologi tinggi yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah milik anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

Setakat Nov 2021, Pharmaniaga telah mengagihkan sejumlah 20.4 juta dos kedua-dua vaksin COVID-19 Sinovac yang telah siap dan yang telah diisi dan telah siap kepada 10 juta atau 38.7 peratus daripada populasi di Malaysia.

– BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan bermula Julai.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)