SALAM DARI BEIJING

CUCUK TEKAK SELANG SEHARI, RERUAI UJIAN COVID-19 MERATA DI CHINA

11/08/2022 01:16 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Hasnah Jusid

Ni hao..

“Ini bukan culture kau nak normalise normalise,” begitulah ayat popular dalam aplikasi TikTok yang sering dijadikan bahan kandungan, merujuk kepada sesuatu perkara di luar kelaziman yang dijadikan budaya.

Sebenarnya penulis tiba-tiba teringat ayat tersebut, sebaik tiba di Beijing pada 28 Julai lepas setelah menjalani kuarantin di Nanchang, wilayah Jiangxi selama tujuh hari.

“Kamu kena pastikan sentiasa membuat ujian COVID-19 dua hari sekali (48 jam), kalau tidak kamu tidak boleh berada di tempat awam,” kata seorang pegawai kerajaan di sini kepada penulis.

Benar, inilah budaya yang perlu penulis ‘normalisekan’ ketika berada di negara Tembok Besar ini, iaitu ujian COVID-19.

Pergerakan terbatas tanpa keputusan ujian COVID-19

Sepanjang berada di China, termasuk ketika berada di Nanchang selama 10 hari, Shandong (enam hari) dan di Beijing lebih kurang seminggu, rasanya sudah hampir 20 kali penulis membuat ujian RT-PCR.


Ujian COVID-19 dibuat hampir setiap kali, bagi memastikan keputusan negatif berada dalam tempoh sekurang-kurang 48 jam dalam aplikasi sistem kesihatan.

Perkara ini sama sekali berbeza dengan penulis alami di Malaysia, di mana ujian COVID-19 hanya dibuat ketika menjadi kontak rapat atau sebelum menghadiri sesuatu tugasan rasmi - pendek kata hanya ketika diminta berbuat demikian oleh pihak yang mewajibkannya.

Namun di sini, tanpa keputusan negatif dalam tempoh 48 jam dalam sistem Health Kit penulis, penulis pasti tidak dibenarkan masuk ke satu-satu premis, seperti restoran, tempat membeli belah, pengangkutan awam, hotel, bahkan untuk bergerak dari satu bandar ke satu bandar. Sudah pasti ia sama seperti yang diamalkan Malaysia dan kebanyakan negara lain suatu ketika dahulu.

Strategi China cegah COVID-19

Namun sebenarnya lebih daripada itu, penulis sebenarnya kagum dengan sistem ujian COVID-19 yang diamalkan negara dengan populasi terbanyak dunia ini.

Reruai (booth) ujian COVID-19 ‘bersepah’ di mana-mana!


Itulah hakikatnya di sini, terutama di bandar-bandar besar. Kerajaan China menyediakan beribu-ribu booth atau khemah ujian COVID-19 bagi membolehkan orang ramai menjalani ujian RT-PCR.

Bukan itu sahaja, ianya percuma!

Di Beijing misalnya, penulis melihat begitu banyak booth ujian COVID-19 ini dan orang ramai beratur menunggu giliran menjalani ujian tanpa mengira cuaca panas terik mahu pun hujan. Booth atau khemah ujian ini terletak di kaki lima sepanjang jalan seluruh Beijing dan bandar lain, dikendalikan petugas kesihatan yang lengkap dengan pakaian alat pelindung diri (PPE).

Ia beroperasi pada sebelah pagi dan petang, malah di sesetengah tempat ianya beroperasi sehingga malam.

Peta dalam talian dilengkapi tanda lokasi reruai ujian COVID-19

Penulis juga mudah untuk mencari lokasi bagi melakukan ujian COVID-19 ini melalui peta dalam talian (online map) seperti yang disediakan penyedia perkhidmatan enjin carian di China, iaitu Baidu.

Ia akan memaparkan maklumat seperti waktu operasi stesen ujian serta jarak dari lokasi semasa dengan sehingga kini, terdapat lebih 5,000 stesen ujian COVID-19 yang terdapat di Beijing.

Menerusi pemerhatian penulis, booth berkenaan memiliki dua lubang khas dengan sarung tangan latex panjang untuk petugas kesihatan yang mengendalikan saringan dengan melakukan calitan tekak pada orang ramai yang berdiri di hadapan mereka. Proses berkenaan hanya mengambil masa kurang seminit, bermula daripada penulis menunjukkan kod QR pengenalan diri dan kemudiannya menjalani calitan pada tekak.

Langkah penyediaan kemudahan ini merupakan sebahagian strategi sifar COVID-19 di China yang diamalkan negara ini sejak awal pandemik sehingga kini, sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memerangi virus ini habis-habisan.

Keputusan ujian pula akan dikemaskini dalam sistem Health Kit yang digunakan penulis, yang merupakan versi English kepada Jiankang Bao yang digunakan rakyat China di Beijing. Keputusan berkenaan biasanya dipaparkan bersama maklumat lokasi ujian COVID-19 dibuat, masa dan tarikh, selain maklumat peribadi pada keesokan harinya.

Sekiranya positif, seseorang individu itu akan dibawa ke hospital atau pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Data Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (National Health Commission) menunjukkan Tanah besar China merekodkan 399 kes baharu pada Isnin (8 Ogos) dengan 350 dikaitkan dengan penularan tempatan dan 49 dari luar negara.

“Saya rasa China telah melakukan yang terbaik dari aspek kawalan COVID-19 dengan mewujudkan banyak booth ujian COVID-19 untuk memudahkan orang ramai membuat ujian. Kesemua pihak baik kerajaan mahu pun penduduk mengambil bahagian dalam menjayakan sifar COVID-19,” komen rakan penulis dari Laos, Sengthong Phasavath.

-- BERNAMA

Hasnah Jusid merupakan wartawan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)