NOTA KAMPUS

50 TAHUN, DIRGAHAYU MASSCOMM

21/03/2022 03:09 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Fadzillah Aishah Ismail

Sedar tidak sedar, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) menyambut jubli emasnya pada tahun ini.

Bagi penulis sendiri selaku alumni FKPM atau lebih dikenali sebagai Masscomm, bermula dari Matrikulasi, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana sudah pasti banyak menghimpun koleksi nostalgia manis dan pahit tersendiri.

Penulis pernah merasai pengalaman menghadiri kuliah di Kolej Meranti, Seksyen 2 Shah Alam, Level 13, Menara Sultan Abdul Aziz Shah dan merupakan kumpulan (batch) pertama ‘merasmikan’ bangunan terkini FKPM.

Lantaran, sudah pasti fakulti berusia 50 tahun ini dekat di hati penulis.

Kongsi pengalaman, sahut seruan alumni UiTM

Alhamdulillah, tanggal 1 Mac 2021, penulis kembali semula ke fakulti keramat ini, bukan sebagai penuntut tetapi melangkahkan kaki sebagai pendidik bagi menyahut seruan UiTM supaya alumni UiTM kembali menyumbang kepada universiti ini dan sudah pasti FKPM khususnya.

Bukan tidak sayang dengan profesion terdahulu, namun pada hemat penulis sudah sampai masanya segala pengalaman yang diperoleh dalam industri dikongsi bersama penuntut FKPM.

Latar belakang FKPM, tambahan program baharu

Sedikit sejarah mengenai FKPM yang dahulunya dikenali sebagai Kajian Sebaran Am yang menjadi perintis kepada pendidikan komunikasi dan media sejak 1972.

FKPM menawarkan lima program peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu Kewartawanan (Journalism), Penyiaran (Broadcasting), Penerbitan (Publishing), Pengiklanan (Advertising) dan Perhubungan Awam (PR).

Seiring dengan peredaran masa, FKPM menambah empat program baharu iaitu Komunikasi Instruksional dan Latihan (Instructional Communication and Training), Komunikasi Interpersonal (Interpersonal Communication), Pengurusan Komunikasi dan Polisi (Communication Management and Policy) and Komunikasi Media Baharu (New Media Communication).

FKPM turut menawarkan dua program Diploma iaitu Diploma Komunikasi dan Media dan Diploma Komunikasi Media Baharu selain program peringkat Sarjana iaitu Sarjana Komunikasi Massa, Sarjana Media dan Perang Saraf dan Sarjana Kewartawanan serta program peringkat Doktor Falsafah iaitu Ijazah Doktor Falsafah Komunikasi Massa dan Ijazah Doktor Falsafah Media dan Perang Saraf.

Graduan FKPM multi-tasking, relevan, kebolehpasaran yang tinggi

Graduan FKPM pula berada di mana-mana sahaja dalam atmosfera industri media negara.

Penulis berani katakan, sebutlah mana-mana organisasi pasti akan ada alumni FKPM di sana, malah organisasi media juga majoritinya dipelopori oleh graduan FKPM.

Bukan mendabik dada riak, hakikatnya itulah resume kejayaan fakulti keramat ini menghasilkan lebih 20,000 graduan sehingga kini, yang memenuhi permintaan pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Terkini, seiring dengan perkembangan teknologi, FKPM mencipta satu lagi sejarah dalam penggabungan ilmu bersama fakulti lain yang bertujuan memberi nilai tambah kepada fungsi FKPM sebagai ‘content curator’ sekaligus mampu menghasilkan graduan yang multi-tasking, kekal relevan dan mempunyai kebolehpasaran tinggi serta mesra industri.

Secara tidak langsung, penggabungan ilmu menerusi penubuhan kolej pengajian ini menyahut seruan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk TS Dr Roziah Mohd Janor yang ingin melihat masa depan UiTM memfokuskan kepada ‘blockchain technology’ dan ‘big data analytics’.

Buat semua alumni FKPM atau Masscomm, usah bimbang dan khuatir dengan perkembangan terbaharu ini.

Apapun perubahan yang berlaku tidak akan mengubah identiti fakulti ini meskipun tidak lagi disebut sebagai ‘Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media’ selepas ini.

Datanglah apa sahaja perubahan, DNA Masscomm tetap tersemat kukuh di hati setiap warga, pelajar dan alumninya.

Selamat Menyambut Ulangtahun ke-50 tahun. Dirgahayu MASSCOMM, selamanya tetap di hatiku!

--BERNAMA

Fadzillah Aishah Ismail merupakan Pensyarah Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)