PENA WANITA

SIHATKAH RAKYAT MALAYSIA BERKERJAYA?

09/06/2021 09:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : ChM Dr Raseetha Vani Siva Manikam

Kepesatan pembangunan di Malaysia telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan bidang ekonomi. Menurut Survei Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, pada Februari tahun ini, bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 15.27 juta orang berbanding 15.24 juta pada Januari.

Angka itu sememangnya merupakan petunjuk optimis kepada prospek ekonomi ketika negara berdepan pandemik COVID-19, namun kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang dikeluarkan pada Disember tahun lepas melaporkan sebilangan besar tenaga kerja Malaysia mempunyai masalah kesihatan, merupakan indikasi yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurut laporan itu, pada 2019, pekerja tanpa gaji/suri rumah mempunyai kadar hipertensi tertinggi (34.7 peratus) berbanding kumpulan pekerjaan lain (pekerja kerajaan/separa kerajaan) pada 29.4 peratus; pekerja swasta pada 18.8 peratus; bekerja sendiri pada kadar 30.7 peratus.

Jadi, bagaimana sebenarnya tahap kesihatan rakyat Malaysia bekerjaya tanpa mengira sektor pekerjaan?

Penyakit pekerjaaan dan risikonya

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam kajian berterusan dari 2015-2020 menunjukkan trend peningkatan penyakit yang dikaitkan dengan pekerjaan masing-masing. Sebanyak 65 peratus peningkatan kes yang dilaporkan adalah berkaitan dengan penyakit dan keracunan di tempat kerja iaitu 9,860 kes (tahun 2019) berbanding 5,960 kes (tahun 2015).

Penyakit yang dilaporkan adalah hasil daripada risiko pendedahan yang berpunca daripada aktiviti berkaitan dengan kerja yang dilakukan. Contoh penyakit yang berpunca daripada jenis pekerjaan yang dilakukan adalah masalah pendengaran, masalah pernafasan, masalah berkaitan kesihatan kulit, gangguan muscoskeletal, masalah sosiologi, keracunan, penyakit yang disebabkan oleh agen biologi, agen fizikal dan penyakit kanser.

Pekerja dalam lingkungan umur 30-39 tahun adalah berisiko paling tinggi (28.6%) dan diikuti dengan golongan yang berumur 20-29 tahun (25.6%) jika dibandingkan dengan peringkat umur pekerja yang lain. Bagi perangkaan mengikut jantina pula, riskiko pekerja lelaki lebih tinggi (83%) berbanding dengan pekerja wanita (17%). Maka, golongan belia muda yang sepatutnya mempunyai tahap kesihatan yang tinggi terdedah dengan risiko di tempat kerja dan memberi kesan kepada kesihatan secara sekaligus.

Jika dilihat daripada sektor pekerjaan pula, pekerja dalam sektor pembuatan, pegawai kesihatan/keselamatan (OSHA) dan petugas kesihatan mempunyai risiko kesihatan yang tinggi jika dibandingkan dengan sektor lain.

COVID-19 dan kesihatan pekerja

Di kala pandemik COVID-19 ini, kita boleh lihat dan ambil iktibar daripada beberapa situasi. Contohnya, petugas kesihatan yang perlu berdepan dengan penyakit zoonotik yang boleh menular daripada haiwan kepada manusia oleh virus (COVID-19). Tetapi selain COVID-19, petugas kesihatan kebiasaannya juga mempunyai risiko dengan penyakit berjangkit sepanjang bertugas seperti selsema, demam campak, penyakit mata conjunctivitis, penyakit tangan, mulut dan kaki dan sebagainya.

Jadi untuk memerangi kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat, petugas kesihatan perlu mengenakan pakaian pelindung diri, pelitup muka dan terpaksa meluangkan masa kerja yang berlebihan. Mereka terpaksa melakukan kerja (pemeriksaan kesihatan) secara berterusan walaupun melebihi waktu syif kerja dengan mengambil kira peningkatan kes harian di Malaysia.

Aktiviti lazim pekerja seperti waktu makan, waktu rehat, solat dan perkara mudah seperti berhenti seketika untuk minum seteguk air pun akan terjejas. Secara tidak langsung, ini akan memberi kesan kepada amalan pemakanan harian. Begitu juga dengan pekerja yang terlibat dalam sektor pengangkutan dan logistik sama ada jarak dekat (contohnya: Grab, Food Panda, Shopee, Lazada, Poslaju) atau jarak jauh (contohnya: lori, kontena, DHL) yang terpaksa berada di atas jalan raya untuk jangka masa yang lama selalunya mengabaikan amalan pemakanan yang sihat.

Ini mungkin juga berpunca daripada kesukaran kerana tidak dibenarkan duduk dan makan (dine-in) di musim PKP. Walaupun makanan boleh dibungkus, akan tetapi ianya sukar dijamah apabila kita berada di dalam kenderaan. Maka makanan segera lebih cenderung dijadikan pilihan.

Sibuk bukan alasan amal pemakanan seimbang

Walaupun bekerja, rutin harian dalam aspek pemakanan perlu dititik-beratkan. Kita patut memberi fokus untuk manjamah tiga sajian penting iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam secara teratur mengikut masa. Jika kita terlalu memberi tumpuan kepada kerja yang dilakukan dan tidak mengambil sajian penting ini, ianya akan memberi kesan kepada tahap kesihatan kita.

Pada waktu begini, kita lebih suka makan makanan ringan atau makanan segera. Tetapi kita lupa bahawa kandungan garam yang tinggi dalam makanan seperti ini tidak akan memberi kesan jangka pendek. Ianya akan memberi kesan kepada kesihatan apabila usia kita meningkat dan penyakit berbahaya seperti darah tinggi, strok dan penyakit berkaitan kesihatan jantung mungkin tidak dapat dielakkan. Penyakit ini adalah disebabkan kelalaian dari kita sendiri dan bukan berpunca daripada aktiviti pekerjaan kita. Jadi sistem imunisasi badan perlu diberi perhatian agar kesihatan terpelihara.

Sebaiknya jika kita amalkan pengambilan makanan asli (yang tidak diproses) kerana ianya mempunyai semua nutrient (vitamin, mineral, antioksidant etc) yang diperlukan dan lengkap untuk memperkuatkan sistem imunisasi badan. Sebagai contoh, saya ambil antioksidan. Antara pemangkin yang diperlukan untuk antioksidan ialah phenolic acids. Antioksidan ini membantu melambatkan proses penuaan dan mempercepatkan proses pemulihan jika kita luka/cedera/sakit/stress. Contohnya, apabila kita terluka, reactive oxygen species (ROS) yang sememangnya sudah ada dalam badan kita akan melebihi komposisi antioksidan, dan ini yang akan melambatkan proses pemulihan (untuk pulih daripada luka) jika kandungan antioksidan dalam badan tidak diperbaharui.

Maksudnya, perlu ada keseimbangan antara ROS dan antioksidan dalam badan. Maka bagaimana kita memperbaharuinya? Kita patut amalkan pengambilan diet sayur dan buah-buahan yang mempunyai kandungan phenolic acid yang berbeza. Peneutralan ROS akan berlaku dan pengurangan kesan kepada luka dapat dilihat. Jadi ini boleh membantu mengimbangi dan kuatkan sistem imunisasi dalam tubuh badan kita.

Antara punca lain yang mempengaruhi kesihatan kita termasuklah tidur yang cukup, pengambilan air masak yang secukupnya, senaman dan penjagaan kesihatan mental dan emosi yang betul. Adalah sebaiknya kita cuba mengawal kadar stress dalam kehidupan seharian agar kesihatan secara menyeluruh terjamin.

-- BERNAMA

ChM Dr Raseetha Vani Siva Manikam merupakan pensyarah Program Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)