SUARA BELIA

PENDAYAUPAYAAN SOSIAL BELIA SEMASA PANDEMIK COVID-19

18/05/2020 08:58 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Mursyid

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang berkuat kuasa 18 Mac lalu, kini memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini, belia adalah antara golongan yang terjejas dalam konteks sosial, ekonomi dan norma kehidupan.

Jika dilihat daripada komposisi belia Malaysia, yang merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 30 tahun dianggarkan seramai 9.2 juta yang mewakili 27.8 peratus daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk Malaysia.

Semestinya golongan belia merupakan kelompok yang sangat terkesan di sebalik tempoh PKPB dan dalam masa yang sama memerlukan pendayaupayaan sosial pasca COVID-19.

Dari sudut sosial, golongan belia terhad untuk melakukan aktiviti di luar rumah seperti melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan-rakan di luar, ke sekolah atau ke kuliah, keluar ke tempat yang menarik, melaksanakan hobi atau melakukan aktiviti kecergasan fizikal di luar rumah seperti kebiasaan.

Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 menunjukkan golongan belia yang berumur 15 hingga 30 tahun merupakan komposisi terbesar kecenderungan melakukan aktiviti fizikal dan sukan.

Namun begitu, persoalannya bagaimana golongan belia perlu mengubah rutin kendiri yang menjadi kebiasaan kepada rutin baharu yang perlu dibiasakan?

Keterlibatan golongan belia

Sedar atau tidak, peranan besar golongan belia Malaysia dapat dilihat sepanjang tempoh PKP dan PKPB. Ramai golongan belia menjadi barisan hadapan dalam membendung penularan COVID-19 melalui agensi kerajaan yang terlibat misalnya Kementerian Kesihatan Malaysia, agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi kerajaan yang lain dan pihak swasta yang terlibat.

Keterlibatan pelajar perubatan dari dalam dan luar negara serta sejumlah besar sukarelawan dalam kalangan belia yang tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 wajar untuk dicontohi.

Tidak kurang juga penglibatan dari golongan belia yang terlibat dalam kerja sukarela yang bernaung di bawah badan bukan kerajaan (NGO).

Mereka juga terlibat membantu masyarakat dengan menjadi pengantar makanan yang ditempah secara maya. Sumbangan besar golongan belia di barisan hadapan ini menjadi bukti golongan belia merupakan tulang belakang kepada negara.

Kekal aktif, serlah potensi diri

Berdasarkan dapatan Kajian Outcome Indeks Belia Malaysia 2017 mendapati kecenderungan belia kepada penggunaan internet adalah tinggi dan golongan belia didapati mampu menghabiskan masa antara tujuh hingga ke lapan jam secara purata dalam sehari dengan internet dan media sosial.

Fakta menarik, 88 peratus golongan belia menggunakan internet dan media sosial untuk tujuan hiburan. Semestinya golongan belia perlu untuk menjadi aktif bagi memastikan mereka sihat.

Namun, dalam mengharungi PKP, bukan semasa-mata perlu aktif, malah golongan belia perlu kekal untuk menjadi positif.

Kunci kekuatan golongan belia untuk menyerlahkan potensi diri adalah menggunakan sepenuhnya aset iaitu kelebihan yang dimiliki oleh golongan belia.

Untuk menjadi belia yang positif, terdapat dua aset utama yang golongan belia boleh gunakan untuk menyerlahkan diri mereka iaitu aset individu dan aset ekologi.

Aset individu merupakan kekuatan dalaman belia yang meliputi kekuatan kognitif, emosi dan tingkah laku manakala aset ekologi adalah aset luaran seperti jaringan sosial, jaringan institusi dan individu di sekeliling. Kedua-dua aset tersebut diperlukan dalam membentuk belia positif.

Manfaat tempoh PKPB tingkat kemahiran

Pematuhan golongan belia dengan tidak melanggar arahan PKPB dapat membuktikan nilai patriotisme dan memupuk nilai disiplin serta semangat sayangkan negara.

Pada masa yang sama, tempoh PKPB memberi lebih ruang kepada golongan belia untuk melakukan perkara yang tidak sempat untuk mereka lakukan sebelum ini dek kerana kekangan masa kerana tuntutan tanggungjawab mereka sebagai pelajar, pekerja, menguruskan perniagaan dan sebagainya.

Golongan belia boleh melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat di rumah dengan melakukan sesuatu yang tidak berpeluang untuk dilakukan sebelum ini.

Sebagai ibu bapa, tempoh PKPB boleh diisi dengan pengukuhan nilai sosial dan adab kepada anak remaja mereka kerana pendidikan sebenarnya bermula dari rumah, selain daripada memberikan sokongan emosi kepada mereka.

Selain itu, golongan belia boleh menggunakan waktu yang terluang ini untuk mendalami ilmu agama, membaca Al Quran, membaca sebanyak mungkin maklumat umum samada melalui buku atau bahan bacaan yang diperolehi dari internet untuk menambah ilmu pengetahuan.

Pada waktu terluang ini juga, golongan belia boleh mengukuhkan aset dalaman dengan meneroka pembelajaran dan latihan dalam talian yang merupakan norma baharu serta mengasah kemahiran pengucapan yang secara tidak langsung dapat membina keyakinan diri.

Pada masa yang sama, mantapkan kemahiran golongan belia dengan aplikasi perisian seperti Microsoft Word, Excel, Power Point, perisian pengubahsuaian grafik seperti Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, perisian suntingan video, aplikasi maya dan sebagainya yang mana kemahiran ini amat diperlukan pada masa kini, baik dalam sektor pekerjaan atau pendidikan.

Dalam menempuh fasa pasca pandemik COVID-19 iaitu selepas berakhirnya tempoh PKPB nanti, golongan belia perlu mempersiapkan diri dalam menempuh cabaran utama yang merangkumi cabaran ekonomi, sosial, teknologi dan politik.

Oleh yang demikian, usaha pengukuhan aset dalaman sepanjang PKPB penting sebagai persediaan golongan belia untuk membina aset luaran. Yang secupak takkan jadi segantang, yang sehasta takkan jadi sedepa.

Tempoh PKPB ini merupakan platform yang terbaik untuk berusaha menyerlahkan potensi mereka sebagai usaha pendayaupayaan sosial golongan belia pasca COVID-19.

-- BERNAMA

Dr Mohd Mursyid Arshad merupakan Pensyarah Kanan (Pembangunan Belia), Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)