Mudik Sungai Pahang, Imbau Sejarah Jalan Sungai

B
ermula dari daerah Jerantut di barat Pahang dan merentasi beberapa daerah lain di negeri itu sebelum berakhir di Laut China Selatan di sebelah timur, Sungai Pahang yang panjangnya 459 kilometer, adalah sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia.

Sungai yang terhasil daripada pertembungan Sungai Jelai dan Sungai Tembeling di Banjaran Titiwangsa itu merupakan nadi kehidupan sebahagian besar penduduk Pahang - sebagai jalan perhubungan utama, sumber rezeki dan air untuk kegunaan harian mereka - pada zaman dahulu.

Malah, menurut cerita orang dahulukala, perbezaan loghat orang Pahang dikaitkan dengan kederasan arus sungai tersebut.

Mereka yang tinggal di kawasan hulu Sungai Pahang seperti Ulu Tembeling, Lipis dan Raub, bertutur dengan laju  - sederas air di hulu sungai yang berjeram - sementara penduduk di hilir pula, iaitu  Kuantan dan Pekan,  bercakap lebih perlahan.   

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang.

Begitu juga dengan istilah yang digunakan. Misalnya “saya”, masyarakat Temerloh membahasakan diri sendiri sebagai “koi” sementara di Pekan “kawey”.

 

MENELUSURI PERJALANAN ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR

Menurut sejarah Kesultanan Pahang, Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah, sultan keempat negeri itu yang menaiki takhta pada 1932 sebelum mangkat pada 1974, begitu gemar memudiki sungai berkenaan saban tahun bagi menyantuni rakyat.

Almarhum adalah nenenda Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sedang bertakhta. 

Antara yang dikisahkan, Almarhum memudiki Sungai Pahang untuk ke Perak bagi meminang Tengku Ampuan Besar Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah.

Namun Almarhum bukan Sultan Pahang yang pertama berbuat demikian kerana sejarah negeri itu juga mencatatkan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah yang memerintah Pahang dari 16 Ogos 1881 hingga 9 Mei 1914, turut mendampingi rakyat dengan memudiki Sungai Pahang selain menunggang gajah.

Selepas berdekad lamanya, pada Mac lepas, Keluarga Diraja Pahang menelusuri perjalanan Sultan Abu Bakar di sungai itu apabila Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang.

Titah Tengku Hassanal ekspedisi bermudik dapat membuka peluang untuk baginda meninjau keadaan persekitaran dan masyarakat di sepanjang Sungai Pahang.

Program empat hari tersebut yang turut disertai wakil media, bermula di Riverfront, Pekan dan berakhir di Kampung Tanjung Gahai, Lipis pada 6 Mac, melibatkan jarak sejauh 400 kilometer.

Dalam tempoh empat hari itu, ahli ekspedisi memudiki Sungai Pahang menaiki bot dan perahu kajang untuk bertemu masyarakat yang tinggal di sepanjang sungai, melibatkan daerah Maran, Bera, Temerloh dan Jerantut.

Pertama kali meneroka Sungai Pahang dengan menaiki bot, penulis melihat kembara berkenaan sebagai sesuatu yang mencabar dan kagum dengan kesungguhan putera sulung Al-Sultan Abdullah itu berkeringat di tengah panas atau kuyup ditimpa hujan dalam merealisasikan program tersebut. 

 

SANTUNI RAKYAT

Perjalanan amat mencabar kerana ada masanya ekspedisi terpaksa “berehat” seketika apabila tiba di kawasan yang berparas air terlalu cetek dan tidak boleh dilalui dengan bot. 

Keadaan itu juga membuatkan tempoh perjalanan yang sudah panjang menjadi bertambah lama. Kalau berkenderaan darat, perjalanan dari satu daerah ke satu daerah di Pahang mungkin hanya sejam dua, namun kembara menggunakan jalan air ini menuntut tambahan masa selama dua hingga tiga jam lagi. 

Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang melibatkan beberapa daerah termasuk Maran, Bera, Temerloh dan Jerantut.

Perjalanan yang jauh serta agak memenatkan bagaimanapun tidak membataskan Tengku Hassanal daripada menyantuni rakyat menerusi beberapa program, seperti menziarahi golongan asnaf di Kampung Belimbing, Pekan;  sesi perkhemahan di Tapak Rumah Warisan Chenor, Maran, berangkat ke kenduri rakyat di Bera serta melakukan lawatan jejak warisan bandar Lipis, di Kuala Lipis.

Titah baginda, ekspedisi bermudik itu dapat membuka peluang untuk baginda meninjau keadaan persekitaran dan masyarakat di sepanjang Sungai Pahang.

Malah, rakyat juga kelihatan teruja menunggu di sepanjang tebing sungai bagi melihat kelibat Tengku Mahkota Pahang itu biarpun tidak berpeluang untuk bersemuka secara dekat. 

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal yang turut menyertai ekspedisi itu, berkata rakyat dilaporkan sanggup menunggu berjam-jam lamanya di sepanjang tebing sungai dan di jeti, bagi melihat secara dekat wajah Tengku Hassanal.

Bermacam gelagat penduduk dirakam sepanjang menunggu “konvoi bot” Tengku Mahkota Pahang itu melintasi kawasan mereka,  antaranya mengibarkan bendera Pahang dan melaungkan “Daulat Tuanku” apabila bot diraja menghampiri tebing.

Rakyat juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan baginda.

“Baginda amat prihatin akan keperluan dan kehendak rakyat. Walaupun penat, tuanku tetap ceria melayani dan menyantuni rakyat,” kata Fadzli kepada media.

Rakyat teruja dapat bersua muka dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal

Pemerhatian penulis juga mendapati Sungai Pahang terus menabur jasa kepada penduduk setempat dengan menjadi punca rezeki bagi mereka mendapatkan hasil sungai. Sepanjang perjalanan itu, kami kerap terserempak dengan kaki pancing yang memburu ikan dan udang galah.

Selain itu,  terdapat juga penduduk yang mengusahakan ternakan ikan sangkar, terutamanya ikan patin yang sinonim dengan negeri berkenaan.

 

BUKUKAN SEJARAH

Dalam pada itu, Tengku Mahkota Pahang turut bertitah agar Muzium Pahang membukukan pelbagai kisah sejarah berkaitan latar belakang dan asal usul sesebuah perkampungan serta daerah di negeri berkenaan, termasuk petempatan yang disinggahi oleh baginda sepanjang ekspedisi.

“Kita pun hendak bukukan sejarah-sejarah Pahang dalam (ekspedisi) Mudik Sungai Pahang ini, dan kalau boleh, berkongsi cerita-cerita zaman dahulu. Saya akan pastikan Muzium Pahang bukukan sejarah yang sepatutnya.

“Mudik Sungai Pahang ini, saya ini bukanlah yang pertama daripada keluarga… tok moyang saya zaman dahulu, Sultan-Sultan Pahang zaman dahulu pun banyak kali dah mudik-mudik sungai ini,” titah baginda.

Ekspedisi itu juga merupakan hasrat Tengku Hassanal untuk merasai sendiri suasana pemerintahan kesultanan pada zaman dahulu yang menjadikan sungai sebagai jalan pengangkutan utama untuk singgah di kampung-kampung.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.