Haiwan Peliharaan Atau Terbiar Juga Boleh Diserang Strok Haba

J
udith Xavier mempercepatkan langkahnya, suara mengiau anak kucing semakin kuat kedengaran, sejurus dia berdiri di tepi sebuah longkang, di dalamnya terdapat si bulus, berbulu putih dengan beberapa tompok hitam.

Dia membongkok untuk mengambil anak kucing yang kelihatan begitu lemah dan menggigil, mungkin sudah sekian lama terdedah kepada bahang panas dan hujan.

“Mungkin umur anak kucing itu sekitar dua minggu dan seakan-akan baru membuka matanya, ” kongsinya dengan Bernama dan menambah, dia membawa anak kucing ke doktor haiwan tetapi malangnya, si kecil mati kerana terlalu lemah, tidak boleh makan atau minum.

Judith bertugas sebagai pengurus Seri Talam Cat Gallery and Cafe di Taman Sri Rampai (Kuala Lumpur) yang mengambil kucing terbiar, dan mempunyai pengalaman bertahun-tahun menyaksikan kematian anak kucing serta kucing dewasa dalam usaha menyelamatkan haiwan itu.

Namun kematian anak kucing itu benar-benar menyentuh perasaannya kerana dibuang pada usia yang kecil dan terpaksa menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu. 

Pastikan kucing dan haiwan kesayangan lain di dalam rumah untuk keselamatan mereka daripada gelombang haba dan bahaya lain. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2024) HAKCIPTA TERPELIHARA

Menurut Judith, kucing di galeri kucing, yang menempatkan 140 ekor kucing, turut terkesan dengan bahang cuaca panas dan lebih suka bergelimpang di lantai bilik air yang sejuk. Di luar, semakin banyak kucing terbiar yang mencari tempat berlindung di bangunan yang turut menempatkan kafe berkenaan.

Meskipun gelombang haba - yang berlaku apabila suhu mencapai 35 darjah Celsius dan ke atas dicatat lebih tiga hari berturut-turut -  yang melanda Malaysia sejak Mac mula menurun, Judith dan pakar haiwan lain mengingatkan, pemilik haiwan peliharaan dan pencinta haiwan masih perlu mengambil langkah untuk melindungi kesejahteraan serta kesihatan haiwan kesayangan mereka.

 

STRES HABA

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada Selasa 23 April, ia melaporkan gelombang haba hampir sampai ke penghujungnya. Walaupun begitu, banyak lagi tempat di Malaysia mencatat suhu tinggi. Setakat ini, sebanyak 51 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan termasuk 13 kes strok haba. Terdapat tiga kes kematian berkaitan haba.

Meskipun tidak ada data kesan haba terhadap haiwan peliharaan dan haiwan terbiar tetapi haiwan berkenaan memang terkesan akibat gelombang haba. Menurut kumpulan pencinta haiwan, kebanyakan haiwan terbiar di Malaysia adalah haiwan peliharaan yang diabai atau dibuang, dan jumlahnya meningkat selepas pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia Dr. Tan Check Nam dan anjing kesayangan. Gambar ihsan.

Presiden Persatuan Veterinar Haiwan Kecil Malaysia Dr Tan Check Nam memberitahu Bernama, bahang cuaca panas lazimnya memberi kesan kepada anjing, kucing dan arnab.

“Dan gejala paling biasa haiwan terkesan dengan stres haba ialah dehidrasi. Dan juga jika kita tidak menguruskan keadaan ini dengan baik, haiwan itu boleh diserang strok haba, ” sambungnya.

Gejala lain termasuk muntah, mengeluarkan air liur yang banyak daripada biasa dan tanda neurologi seperti sawan dan cirit-birit. Haiwan yang tidak diberi rawatan boleh mati atau mengalami kerosakan hati dan buah pinggang. Obesiti juga boleh memberi kesan sejauh mana haiwan boleh menangani haba.

Memandangkan tabiat semula jadi anjing dan kucing untuk memuntahkan makanan, bulu atau bahan yang tidak diperlukan bagi membersihkan sistem badan, mungkin sukar untuk pemilik haiwan memastikan sama ada haiwan mereka batuk, memuntahkan bebola bulu, sebagai contoh, atau kerana sakit akibat haba.

Dalam kes sedemikian, Dr Tan berkata, pemilik haiwan perlu memeriksa sama ada muntah itu disertai gejala lain seperti kelesuan dan hilang selera makan.

Untuk mengelakkan penyakit berkait haba, beliau berkata, haiwan peliharaan perlu disimpan di dalam rumah selama mungkin dengan diberi minuman air bersih yang banyak Beliau menekankan bahawa arnab juga memerlukan air.

“Pemilik fikir arnab tidak perlu minum air. Mereka fikir (arnab) boleh mendapat air daripada buah-buahan, daripada sesetengah jenis sayur. Jadi mereka tidak pernah memberi air untuk minuman arnab peliharaan mereka,” katanya. 

Beliau juga memberi amaran bahawa arnab yang terkena strok haba akan mempamirkan gejala yang berbeza daripada kucing dan anjing. Gejala utama ialah lumpuh.

Arnab perlu minum air, terutamanya dalam keadaan panas. --fotoBERNAMA (2024) COPYRIGHT RESERVED

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) R Kalaivanan memberitahu Bernama, nasihat yang sama adalah untuk haiwan terbiar.

“(Sekiranya boleh,) haiwan berkenaan perlu dibawa masuk ke dalam rumah, atau letakkan haiwan itu di tempat yang teduh dengan pengudaraan yang baik. Haiwan itu juga perlu mendapat air bersih,” katanya.

Beliau menambah, bulu haiwan itu juga perlu disisir untuk membuang bulu yang gugur dan ini boleh menyejukkan badan haiwan berkenaan.

SAFM, kata beliau, yang juga menerima laporan tentang penderaan haiwan, menyediakan air minuman di pusat memberi makan haiwan terbiar di beberapa tempat di Lembah Klang. Kegiatan lain termasuk program memberi makan untuk haiwan terbiar dan membantu tempat perlindungan haiwan.

Kalaivanan menambah, pemilik haiwan atau pencinta haiwan perlu mengelak daripada membawa haiwan mereka untuk aktiviti luaran ketika cuaca panas.

Mengunci atau meninggalkan haiwan di dalam kereta di bawah panas terik matahari juga perlu dielakkan.

Dengan menyifatkan keadaan di dalam kereta yang diletak dalam keadaan panas terik seperti ketuhar, Dr Tan berkata, seperti anak kecil, keadaan haiwan boleh menjadi teruk dalam masa 10 hingga 15 minit.

Bahaya haiwan peliharaan dan haiwan terbiar sewaktu gelombang haba bukan sahaja setakat strok haba.

Dr Tan yang mempunyai klinik veterinar di Johor berkata, beliau melihat anjing lebih banyak terkesan dengan penyakit berkait haba berbanding kucing, meskipun jumlah kes stok haba dalam kalangan haiwan peliharaan berkurangan berbanding sebelum wabak COVID-19 melanda.

 

MASA PERCUTIAN

Meskipun strok haba kurang memberi kesan kepada kucing berbanding anjing, bahaya kepada kucing boleh berlaku dalam banyak cara.

“(Berada) di luar adalah ancaman lebih besar kepada kucing berbanding strok haba,” kata Dr Tan. “Jika anda tinggalkan kucing anda di luar rumah, bagi saya (haiwan itu berdepan dengan risiko tinggi) dilanggar kereta atau digigit anjing.”

Anjing liar. Gambar hiasan. --fotoBERNAMA (2024) HAKMILIK TERPELIHARA

Judith bersependapat, sambil menyatakan, beliau banyak kali melihat kucing yang bersembunyi di bawah kereta untuk berlindung daripada cuaca panas, mati dilanggar kereta berkenaan.

Oleh yang demikian, para pakar itu menggesa famili agar jangan membiarkan haiwan peliharaan mereka diabai apabila mereka pergi bercuti, sebagai contoh semasa cuti sekolah. Tahun ini, cuti penggal pertama sekolah bermula 24 Mei dan berakhir 2 Jun.

 

Menurut Judith, bahaya untuk membiarkan haiwan peliharaan mereka melata dan terbiar, biasanya kucing. Sekiranya haiwan itu tidak dimandulkan, mungkin akan menjadi bunting dan anaknya kemudian dibuang.

“(Haiwan peliharaan anda) yang anda buang tak tahu nak jaga diri dan pertahankan diri. Risiko yang dihadapi lebih tinggi,” katanya.

Beliau menambah, jumlah haiwan terbiar di sekitar kafenya meningkat sewaktu cuti panjang.

Satu pilihan ialah meletakkan haiwan peliharaan di hotel haiwan peliharaan. Bagaimanapun, Dr Tan mengingatkan bukan semua haiwan sesuai diletakkan di tempat seumpama itu kerana sesetengah haiwan peliharaan bersikap cepat berasa cemas dan mungkin sukar menangani bau atau bunyi bising yang asing.

“Sekiranya saya yang buat keputusan, persekitaran terbaik untuk haiwan peliharaan adalah di rumah kerana jika dibawa ke pusat penjagaan, sudah tentu persekitaran berubah. Ini pencetus stres bagi haiwan,” katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.