Usahawan Bumiputera Perlu Proaktif Senario Pasaran Terkini

U
sahawan bumiputera perlu bijak menyusun pengeluaran produk, berani mengambil peluang serta ruang yang disediakan di samping mempelbagaikan produk keluaran sejajar dengan permintaan pasaran terkini. 

Mereka juga jangan hanya selesa dengan apa yang ada tetapi turut mengaplikasi teknologi terbaru sejajar dengan situasi semasa.

"Contoh, sekiranya permintaan produk dari industri halal menunjukkan permintaan yang tinggi, usahawan bumiputera perlulah berusaha untuk memenuhi pasaran. Hasilkan produk yang memenuhi permintaan pasaran halal itu, " demikian pandangan Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohd Rahim Khamis.

Beliau bagaimanapun memberitahu Bernama, senario sekarang menunjukkan tidak ramai usahawan bumiputera menceburi industri halal berbanding bukan bumiputera,

Dr Mohd Rahim Khamis.

"Sebelum ini Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Dr Ameer Ali Mydin dipetik berkata, pada tahun 2023 hanya 3,562 syarikat bumiputera mendapat penarafan halal berbanding bukan bumiputera iaitu 5,600. Rentetan daripada laporan tersebut, saya berpendapat bahawa pengusaha bumiputera perlu lebih agresif menceburi industri halal agar bilangan syarikat bumiputera yang mendapat penarafan halal ke atas produk yang dihasilkan meningkat terus meningkat setanding bukan bumiputera, " jelasnya.

Beliau menambah, untuk membuka prospek perniagaan yang lebih luas kepada semua usahawan bumiputera, kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi mengadakan pelbagai ekspo dan karnival antaranya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), Karnival Barangan Malaysia, Expo Usahawan Wanita Antarabangsa dan Festival Usahawan Nusantara. 

"Kesemua aktiviti ini bertujuan membantu usahawan tempatan khususnya bumiputera untuk meneroka pasaran baharu bagi produk yang mereka keluarkan termasuk ke peringkat antarabangsa. 

"Dengan pendekatan ini, usahawan bumiputera mampu menjalin hubungan perniagaan bukan sahaja dengan pelabur dalam negara malahan antarabangsa. Melalui hubungan yang dibina sudah pasti dapat membantu usahawan bumiputera memperluaskan jaringan pasaran produk yang dihasilkan," katanya.

 

ARUS PASARAN SEMASA

 

Mengulas lanjut tentang aplikasi digital, Mohd Rahim menjelaskan, ia bukan sahaja terhad kepada aktiviti pengeluaran, tetapi juga aspek pasaran dan transaksi jual beli. 

Menurut beliau, kerajaan melalui agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), bertanggungjawab mempromosikan penggunaan teknologi digital dalam usaha meningkatkan inovasi, produktiviti serta daya saing dalam kalangan usahawan. 

Usahawan bumiputera perlu bijak menyusun pengeluaran produk, berani mengambil peluang serta ruang yang disediakan.

"Usahawan bumiputera mesti mengambil peluang mempelajari bagaimana untuk mengubah aktiviti perniagaan yang dijalankan daripada tradisional kepada digital. Dengan adanya perubahan yang dilakukan sudah pasti prospek produk yang dikeluarkan akan lebih luas dan akhirnya dapat membantu mereka dalam melestari produk yang dihasilkan," katanya.

Ketika diminta mengulas saranan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) agar produk keluaran bumiputera diberi keutamaan dalam pemberian hadiah atau cenderahati dalam sebarang acara kerajaan,  beliau berpandangan, langkah itu mampu memupuk dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai produk yang dihasilkan. 

"Inilah masanya untuk membuktikan sokongan kita kepada produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan. Jangan terlalu bermegah dengan produk luar sehinggakan kita lupa bahawa keluaran anak tempatan juga tidak kurang hebatnya. 

"Mungkin selama ini kita kurang mengenali produk yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera akibat kekangan kewangan untuk mempromosikan barangan yang dikeluarkan," katanya menambah, dengan adanya inisiatif berkenaan sudah pasti membantu pengusaha tempatan bumiputera mempromosikan hasil mereka dalam pasaran yang sangat kompetitif. 

Peluang yang diberikan itu juga, tegasnya, mampu memastikan perusahaan yang dijalankan terus lestari dan berdaya saing serta terus memberi motivasi kepada golongan ini untuk berusaha menghasilkan produk berkualiti tinggi.

 

PELUANG DAN MANFAAT

 

Menurut Mohd Rahim, apabila produk tempatan keluaran bumiputera mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa, ia sekali gus dapat membantu golongan ini memacu pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.

"Secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada produk import yang sudah pasti memberi kesan kepada ekonomi negara. Apabila banyak peluang dibuka untuk diteroka oleh usahawan bumiputera, sudah pasti akan meningkatkan pengeluaran produk tempatan dan seterusnya menyuntik pertumbuhan ekonomi bukan sahaja setempat tetapi negara. 

"Senario ini penting bagi semua pengusaha yang mengeluarkan produk dalam pasaran. Apabila berlaku peningkatan kedudukan produk tempatan dalam pasaran semakin kukuh dan dikenali, peluang untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat global juga semakin cerah," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya pengiktirafan peringkat global atau tertinggi, sudah pasti dapat membantu usahawan bumiputera memperluas rangkaian pelanggan seterusnya memperkukuhkan produk mereka dalam pasaran. 

"Apabila pasaran produk kukuh ini, mudah untuk mereka mencari rakan kongsi untuk pelaburan demi kelestarian perniagaan yang dijalankan.Di samping itu, usahawan bumiputera juga dapat memperkukuhkan jati diri dan meningkatkan kesedaran dengan peluang yang diberikan. 

"Justeru usahawan bumiputera perlu memberi perhatian dan komitmen dalam penghasilan produk yang diusahakan seperti kualiti, keunikan dan kepelbagaian produk. Dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek ini sudah pasti jati diri seseorang usahawan dapat dibina," katanya. 

Usahawan bumiputera perlu menjalin hubungan perniagaan bukan sahaja dengan pelabur dalam negara malahan antarabangsa.

Bagaimanapun, Mohd Rahim saranan Perdana Menteru itu sukar untuk dijadikan satu dasar kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.

"Sekiranya ia dijadikan satu dasar, dikhuatiri menimbulkan persepsi yang kurang baik daripada kaum bukan bumiputera. Tetapi sekiranya kerajaan ingin menjadikan dasar ia perlu dilakukan dengan berhati-hati dan perlu dijelaskan kepada segenap lapisan masyarakat. 

"Ini kerana kita tidak mahu sesuatu dasar yang dilakukan itu memberi impak negatif kepada masyarakat yang akhirnya berlaku ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

“Kita mahu melihat setiap dasar yang mahu dilaksanakan perlulah memberi impak yang positif kepada masyarakat dan negara. Jangan hanya kepada sebelah pihak sahaja kerana boleh mengakibat ketidakseimbangan dalam masyarakat," katanya.

 

DASAR SERTA SYOR 70 PERATUS

 

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan Datuk Dr Ameer Ali Mydin agar kerajaan mewajibkan 70 peratus pembelian barangan bagi program bantuan rasmi kerajaan seperti kotak banjir, bakul makanan dan Jualan Rahmah terdiri daripada produk halal milik bumiputera, Mohd Rahim berpandangan ia satu idea yang baik dalam usaha membantu usahawan bumiputera meningkatkan pengeluaran produk mereka.

Bagaimana pun, beliau berkata, langkah serta kaedah untuk mempraktikkan perkara berkenaan perlulah jelas dan mudah. 

Usahawan bumiputera mesti mengambil peluang mempelajari bagaimana untuk mengubah aktiviti perniagaan yang dijalankan daripada tradisional kepada digital.

"Ini kerana apabila kerajaan mewajibkan 70 peratus ia membawa maksud setiap kali sesuatu program bantuan ingin dilaksanakan, ia perlu memenuhi kriteria 70 peratus barangan hasil pengeluaran bumiputera. Sekiranya produk yang dihasilkan oleh usahawan ini terhad dalam pasaran jadi bagaimana untuk memenuhi kriteria 70 peratus..

"Ia boleh menjadi kekangan kepada mereka yang menyertai program bantuan ini. Apabila saranan terbabit ingin dilaksanakan seharusnya kita melihat keupayaan usahawan bumiputera sendiri dalam memenuhi kriteria 70 peratus itu. Adakah mereka mempunyai keupayaan untuk meningkatkan hasil keluaran produk mereka," katanya.

Mohd Rahim berkata, apabila saranan berkenaan dilaksanakan, pastinya memberi impak besar kepada produk hasil pengeluaran usahawan bumiputera sama ada kesan daripada segi peningkatan pengeluaran produk serta kepada keuntungan perniagaan yang dijalankan. 

"Apabila terdapat peningkatan permintaan dalam pasaran menerusi program yang dilaksanakan sudah pasti pengeluaran juga perlu dipertingkatkan demi memenuhi permintaan dalam pasaran. Sekiranya tidak, akan berlaku ketidakseimbangan dalam pasaran. 

"Apabila pengeluaran dapat ditingkatkan secara tidak langsung impak kepada keuntungan perniagaan turut akan dirasai. Ini membuatkan perniagaan yang dijalankan akan terus berkembang dan lestari dalam jangka masa yang panjang," katanya.

 

LEMBARAN BAHARU

 

Mohd Rahim menyimpulkan, KEB2024 (berlangsung pada 29 Mac-2 Februari) adalah satu pendekatan terbaik kerajaan dalam mengembalikan martabat para usahawan terutama usahawan bumiputera setanding usahawan lain. 

Menurut beliau, sebenarnya senario ekonomi bumiputera pada masa kini bukanlah satu senario yang boleh dibanggakan kerana ia masih perlu diperkukuh dan dibaiki.

" Sebagai contoh isu pemilikan aset bukan kewangan (hartanah) dan ekuiti dalam kalangan bumiputera. Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada tahun 2015 melaporkan kadar pemilikan hartanah bagi golongan bumiputera berada pada kadar 39.5 peratus sahaja berbanding 53.4 peratus oleh bukan bumiputera manakala pemilikan komersial pula golongan bumiputera berada pada kadar yang sangat rendah iaitu 9.8 peratus berbanding bukan bumiputera pada kadar 46 peratus," jelasnya.

Pihak media pernah melaporkan pada tahun 2019, hanya 40 peratus syarikat dimiliki oleh usahawan melayu dan bumiputera daripada hampir satu juta syarikat yang didaftarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemubual Bernama menjelang KEB 2024 juga memberitahu setakat Januari lepas, 29.8 peratus atau 357,863 jumlah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaftar, dimiliki oleh bumiputera.

Mengulas lanjut, Mohd Rahim berkata, situasi berkenaan terjadi berkemungkinan disebabkan oleh sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk menjadi usahawan. 

"Seharusnya sebagai usahawan, sikap kebergantungan kepada kerajaan perlu dikurangkan kerana kejayaan sebenarnya bergantung kepada daya usaha, kemahiran dan inisiatif mereka sendiri untuk merebut peluang dan ruang meskipun terdapat banyak bentuk sokongan daripada kerajaan. 

"Kegagalan dan kurangnya pemilikan syarikat dimiliki oleh usahawan kaum bumiputera ini  berpunca daripada beberapa faktor antaranya kurangnya latihan dan kemahiran, dorongan dan minat untuk meneroka peluang baharu selain mempunyai masalah capaian kepada sumber kewangan dalam memajukan sesebuah perniagaan yang diceburi," katanya,

Sementara itu usahawan wanita, Intan Hazlina Shamsul Badri menyifatkan cadangan perdana menteri pada kongres berkenaan sebagai satu usaha baik terutama dalam keadaan ekonomi yang agak genting ketika ini.

KEB 2024 diharapkan dapat memberi ruang dan penglibatan yang lebih luas kepada usahawan bumiputera.

"Fokus juga harus diberi kepada usahawan bumiputera terutama daripada kalangan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki potensi tetapi tidak mampu melangkah lebih jauh ekoran kekangan dari segi modal serta peluang. 

"Selain itu persaingan yang tidak setara menjadi faktor usahawan kecil  tidak mampu bersaing dengan syarikat ternama selain terpaksa berdepan dengan cabaran peluang, modal serta kerenah birokrasi yang menyekat penyertaan bumiputera," kata pemilik anakkita.cookies, yang mempunyai 20 pekerja dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

Intan Hazlina mengharapkan dengan KEB 2024, dapat memberi ruang dan penglibatan yang lebih luas kepada usahawan bumiputera.

"Mungkin selepas ini kerajaan boleh mensyaratkan agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk melantik usahawan bumiputera sebagai rakan niaga mereka bagi projek atau tender yang bernilai kecil.

"Sebenarnya peranan ini lama dimainkan oleh GLC melalui projek tanggungjawab sosial korporat mereka. Seperti mana kita ada Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang banyak membantu terutama pelajar bumiputera untuk menyambung pelajaran.

"Usahawan bumiputera pula jangan hanya tertumpu kepada usahawan di arus perdana sahaja. Ia boleh dipecahkan kepada usahawan desa, asnaf,mualaf,orang asli dan OKU," katanya.

KEB yang pertama diadakan pada 7 Jun 1965 dirasmikan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, antara lain berjaya melahirkan MARA yang menjadi entiti istimewa bagi memeta hala tuju dan gerak kerja memajukan orang Melayu serta bumiputera dalam segenap bidang terutama ekonomi, pendidikan dan sosial.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.