Dapatkan Nasihat Optometris Bertauliah Untuk Masalah Mata

M
ata adalah pancaindera paling berharga, justeru wajar ia dijaga dengan sebaik-baiknya termasuk mendapatkan nasihat pakar apabila timbul masalah penglihatan termasuk rabun jauh atau dekat dan perlu memakai cermin mata.

Lazimnya, mereka yang menghadapi masalah ini akan menuju ke kedai cermin mata tetapi perkara yang perlu diberi perhatian serius ialah sama ada kedai berkenaan dikendalikan individu yang bertauliah atau dalam erti kata lain, mempunyai lesen amalan optometri.

Dalam hal ini, Presiden Persatuan Optometris Malaysia (AMO) Ahmad Fadhullah Fuzai mendakwa, hampir 50 peratus kedai cermin mata yang beroperasi dalam negara tiada optometris bertauliah dan dikendalikan oleh mereka yang tiada latar belakang optometri.

Menurut beliau, angka berkenaan adalah hasil kajian/tinjuan AMO yang dijalankan sekitar tahun 2022.

“Cuba lihat di pusat membeli-belah, ada banyak kedai cermin mata tapi adakah ia dikendalikan oleh individu kompeten, yang ada pamerkan sijil amalan optometri berwarna hijau di premis masing-masing? Itu antara tanggungjawab orang awam untuk memastikan mereka benar-benar didiagnos oleh optometris bertauliah yang berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia (MOC),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Presiden Persatuan Optometrist Malaysia (AMO) Ahmad Fadhullah Fuzai

Menurut portal rasmi MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), “optometris adalah seorang pengamal kesihatan mata yang terlatih dan profesional dalam bidang kepakaran optometri seperti kanta lekap, penglihatan binokular, penglihatan terhad dan kesihatan optometri awam.

“Tugas utama optometris adalah memeriksa mata dan mengesan masalah penglihatan bagi semua peringkat umur (dari bayi hingga dewasa). Optometris mengesan masalah rabun mata (rabun jauh dan dekat), juling dan mengesan penyakit mata seperti mata merah, glaukoma, katarak, retinopati diabetik dan lain-lain lagi.

“Optometris akan menentukan rawatan yang bersesuaian dengan kes sama ada cermin mata, kanta lekap, kanta prisma atau latihan mata/ terapi visual atau kombinasi. Optometris juga memberi khidmat nasihat mengenai jenis kanta dan cermin mata yang sesuai dengan jenis rabun dan masalah mata.”

 

 

PASTIKAN DIAGNOSIS

 

Ahmad Fadhullah turut mendakwa, mereka yang tidak mempunyai lesen amalan optometri namun mempunyai kedai cermin mata sekadar memeriksa mata orang awam, berdasarkan pembelajaran menerusi YouTube atau secara maya tanpa asas yang betul.

Keadaan itu, katanya, mengakibatkan masalah penglihatan serius sekiranya seseorang individu didiagnos dengan kaedah salah.

“Sesiapa sahaja boleh menjalankan perniagaan cermin mata, kerana mereka hanya perlu dapatkan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan. 

“Buat masa ini tidak ada klausa dalam Akta Optik 1991 yang mensyaratkan hanya mereka yang mempunyai sijil amalan  boleh membuka kedai cermin mata,” jelasnya, sambil mendakwa hal itu juga membuatkan kedai cermin mata tidak dikawal selia oleh sebuah badan khusus. 

Berkongsi kisah benar mengenai situasi salah diagnos masalah mata, Ahmad Fadhullah berkata, seorang kanak-kanak yang mengalami masalah rabun dengan ralat refraski (power) 400 namun akibat mendapatkan khidmat individu tidak bertauliah, kanak-kanak itu diberikan cermin mata dengan ralat refraski 200 yang akhirnya mengakibatkan menghidapi penyakit mata malas atau ambliopia.

Optometris wajib memberi khidmat nasihat mengenai jenis kanta dan cermin mata yang sesuai dengan jenis rabun dan masalah mata.

“Bila mata malas ini berlaku, anak itu masih tidak dapat melihat dengan jelas biarpun diberikan power optimum 400….saraf mata anak itu sudah pasif dan tidak dapat bereaksi walaupun diberikan power sepatutnya. 

“Inilah yang berlaku di Malaysia, (tapi) kenapa masyarakat kita ini tiada kecenderungan untuk saman si pelaku, ini kita boleh kata kecuaian dan salah laku. Kalau disaman, baru orang yang tak bertauliah ini akan ada rasa takut untuk praktis optometri. Kecuaian boleh membawa kepada kesan serius seperti masalah buta juga,” tegasnya.

Beliau menambah, bidang optometri juga semakin beralih kepada adaptasi teknologi seiring dengan pengenalan pelbagai komponen canggih antaranya deep learning, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.

Adaptasi teknologi canggih itu, jelasnya, membolehkan akses optometris terhadap organ penglihatan itu lebih menyeluruh, justeru langkah intervensi dapat dilakukan dengan segera jika perlu. 

Antara peralatan yang digunakan dalam bidang optometri adalah kamera Fundus (Fundus photograph instrument) yang dapat mengambil imej retina, saraf optik dan saluran darah retina, seterusnya membantu dan membolehkan optometris membuat analisa dengan lebih tepat dan pantas. 

Turut digunakan oftalmoskop dan Optical Coherence Tomograph (OCT).

 

 

KERJASAMA RENTAS AGENSI

Ahmad Fadhullah berpandangan, KKM yang bertanggungjawab terhadap sektor kesihatan perlu bekerjasama dengan pelbagai kementerian lain dalam usaha mengekang kegiatan individu tidak bertauliah itu.

“KKM boleh bangunkan satu dasar yang diintegrasikan dengan peraturan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) daripada segi pemberian lesen operasi premis dan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu berkaitan dengan syarat  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.

Jelasnya, mana-mana individu yang mahu mendapatkan khidmat optometri juga disaran menyemak sama ada premis memaparkan sijil amalan optometri atau optometris itu sendiri berdaftar dengan MOC.

Ahli masyarakat perlu mendapatkan pemeriksaan mata komprehensif yang merangkumi kesihatan mata secara menyeluruh.

“….sebab itu ada keperluan untuk mengkaji semula Akta Optik 1991, akta itu sudah terlalu lapuk, tidak menepati amalan terkini dan keperluan masa depan. Masa ia diperkenalkan mungkin ada antara 200 hingga 300 optometris sahaja,” katanya.

Sehingga 14 Dis 2023, Bernama dimaklumkan bilangan optometris yang berdaftar dengan MOC adalah seramai 3,184 orang.

 

 

PERLU PINDA AKTA OPTIK 1991

Sementara itu, Setiausaha Agung AMO Sathiya Prakash Sooryanarayana menekankan, pindaan Akta Optik 1991 wajar dilaksanakan segera oleh pihak berkuasa berkenaan kerana yang ada tidak begitu mengutamakan peranan optometris sebagai penyedia penjagaan mata yang utama di peringkat komuniti.

“Di bawah Akta Optik 1991, istilah optometri merujuk kepada terma umum profesion penjagaan mata. Optometri adalah istilah eksklusif yang menggambarkan peranan dan perkhidmatan kesihatan mata serta penglihatan yang ditawarkan oleh seorang optometris bertauliah.

“Selain itu, keperluan untuk membezakan antara kedai optik dan praktis amalan optometri juga tidak ditekankan dalam akta berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Optometri di Universiti UCSI (Kuala Lumpur) berkata, tahap kesedaran masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan optometris bertauliah adalah sangat rendah.

“Rata-rata masyarakat masih tidak mempunyai kesedaran yang penuh berkaitan peranan optometris dalam penjagaan mata. 

“Mereka beranggapan bahawa jumpa optometris hanya untuk mengukur daya penglihatan, kemudian mendapatkan cermin mata dan kanta lekap. Sebaliknya, masyarakat boleh mendapatkan pemeriksaan mata komprehensif yang merangkumi kesihatan mata secara menyeluruh seperti keseimbangan otot mata, tekanan dalam mata, kesihatan permukaan luar dan dalam mata serta kesihatan saraf mata,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mempunyai kesedaran mengenai keperluan mendapatkan khidmat optometris bertauliah.

“Saya dapati masyarakat masa kini tidak begitu mengambil berat berkenaan perbezaan peranan juruoptik dan pegawai optometris bertauliah. Perlu diketahui bahawa pegawai optometris bertauliah boleh menjalankan pemeriksaan mata dengan lebih terperinci bagi menjamin kesihatan mata anda,” katanya. 

Senada, Ahmad Fadhullah berkata, AMO mengesyorkan agar PBT mengeluarkan lesen perniagaan berbeza untuk kedai cermin mata dan kedai optometri yang dioperasikan oleh optometris bertauliah.

“AMO tekankan perkara ini semasa libat urus dengan KKM, bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh kami adalah berbeza dengan yang ditawarkan oleh kedai cermin mata biasa,” katanya.

Sementara itu, satu sumber mengesahkan kepada Bernama bahawa proses pindaan Akta Optik 1991 sedang giat dilaksanakan dan akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.